Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Jika Hanya Berharap Undi Melayu,Tiada Negeri Ketiga Buat PAS

Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition

Muktamar tahunan PAS di Terengganu berlangsung penuh ceria dengan suasana pemimpin PAS saling mengucap tahniah antara satu sama lain di atas kejayaan cemerlang pilihan raya lalu. Segala keperitan selama ini, khususnya bermula era kepimpinan ulamak 1982, terubat sudah. Ia tambah manis dengan penguasaan mutlak PAS di negeri kaya minyak itu. PAS kini mampu mendakwa mewakili majoriti orang Melayu, mengambil alih kedudukan Umno sejak merdeka.

Di Terengganu, PAS menang 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan membolot semua lapan kerusi Parlimen (termasuk Kemaman yang ditandingi calon keADILan). Keseluruhannya, PAS menguasai 98 kerusi DUN dan 27 Parlimen, satu catatan terbaik PAS sejak pilihan raya 1955. Sebagai bandingan, di Terengganu, pada 1986, PAS kalah semua kerusi Parlimen dan menang hanya dua kerusi DUN . Di peringkat pusat, PAS hanya berjaya mempertahankan kerusi Pengkalan Chepa di Kelantan. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat turut kecundang di Bachok. (PAS mengadakan muktamar buat pertama kali di Terengganu pada 1987, selepas kalah teruk pilihan raya 1986).

Selepas PAS menawan Kelantan 1990 dan Terengganu sedekad kemudian, kini parti Islam itu terpaksa berdepan dengan cabaran lebih getir. Dari segi komposi penduduk, hanya untuk dua negeri itu PAS dapat bergantung sepenuhnya dengan pengundi Melayu. Tiada lagi negeri ketiga yang PAS dapat tawan jika ia hanya mengharapkan sokongan orang Melayu.

Sememangnya pilihan raya 1999 menyaksikan dominasi PAS (dan juga keADILan) ke atas pengundi Melayu. Di peringkat Parlimen, daripada 25 kerusi yang mana pengundi Melayunya melebihi 90%, Barisan Alternatif menang 21 kerusi, sedangkan Umno hanya 4. DAP pula, walaupun prestasinya tidak cukup membanggakan, namun bagi enam kawasan Parlimen yang pengundi Cinanya melebih 90% daripada jumlah pengundi, DAP menang 5.

Pencapaian BA di kawasan campuran begitu ketara sekali kelemahannya, misalnya bagi yang peratusan pengundi Melayu antara 30 - 70 peratus yang menawarkan 74 kerusi Parlimen, BA hanya menang tiga sahaja.

Di satu peringkat, PAS boleh berbangga dengan sokongan pengundi Melayu kepadanya, sehinggakan bekas ahli MT Umno, Dr Affifuddin Omar menganggarkan lebih 70% pengundi Melayu menolak Umno, manakala Menteri Pembangunan Luar Bandar, Azmi Khalid memberikan angka 64%. Dan bayangkan di Terengganu, daripada 32 kerusi DUNnya, 20 daripadanya (yakni lebih separuh) mempunyai peratusan pengundi Melayu lebih 98%! Dan 9 kerusi lagi pengundi Melayu lebih 92%. Tiga kerusi berbaki ialah Chukai (Melayu 79.19%), Sura (Melayu 87.44%) dan Bandar (Melayu 60.18%)

Justeru, bagi melebarkan pengaruh PAS, khususnya di Pantai Barat, tidak dapat tidak, satu pendekatan baru yang lebih harmonis dengan pengundi bukan Melayu mesti dicari segera. Namun ia tidak harus dilihat hanya mempunyai matlamat politik jangka pendek yang tebal kerana tanpa strategi yang tepat dan bijaksana tidak mustahil pengundi Cina akan mempersoalkan kejujuran PAS.

Misalnya, jika PAS Kedah (negeri Presidennya, Ustaz Fadzil Mohd Noor) berhasrat menawan kubu Presiden Umno di utara Semenanjung itu, langkah mendekati pengundi Cina tidak wajar dilakukan bermusim, yakni hanya menjelang tarikh pilihan raya nanti. Kedah dikatakan negeri ketiga paling kuat PAS, selepas Kelantan dan Terengganu. Kekuatan asas di Kedah tidak kurang dari 35% jumlah keseluruhan pengundi.

Di Kedah, dari 36 kerusi DUN, hanya separuh darinya (18 kerusi) mempunyai peratusan pengundi Melayu lebih 85%. Dan dalam pilihan raya lalu, PAS menang 12 darinya. Di peringkat Parlimen, PAS menang 8 kerusi dan hanya dua orang calonnya kalah kepada Umno di Langkawi dan Kubang Pasu. Umno hanya menang 5 kerusi Parlimen di Kedah.

Semuanya itu mendesak supaya kepemimpinan PAS lebih ikhlas dan jujur bagi menangani kerencaman komposisi pengundi di Malaysia. Tindakan Jawatankuasa PAS Pusat menangguhkan perbincangan mengenai keahlian anggota bukan Islam disambut baik banyak pihak, apatah lagi dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Haji Hadi Awang bahawa golongan bukan Islam yang berminat dengan PAS boleh saja menyertai DAP kerana semua komponen parti bergerak atas nama BA. PAS harus menyedari bahawa orang Melayu baru saja mahu mendekati PAS, maka janganlah ditimbulkan isu-isu sensitif yang mungkin menganggu keghairahan yang berputik itu.

Sementara Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang dilihat semakin mendekati konsep perjuangan Negara Islam PAS (rujuk kenyataannya di Australia baru-baru ini), pemimpin PAS pula wajar lebih terbuka membincangkan isu-isu sensitif ini, bermula dari sekarang, dan tidak menunggu hingga saat-saat akhir tarikh pilihan raya diisytiharkan. Jika PAS sudah bersedia mengkaji semula larangannya terhadap calon wanita untuk bertanding pilihan raya, mungkin lebih banyak lagi perubahan dapat dibuat dalam rangka menghadapi realiti baru politik Malaysia. Kerjasama PAS-DAP -- yang pernah disifatkan Ahli Parlimen PAS, Mohamad Sabu sebagai perkara ajaib kelapan selepas tujuh benda ajaib di dunia - harus terus dimantapkan.

PAS juga diharap dapat menggerakkan dengan lebih cergas lagi Sekretariat Barisan Alternatif. Inisiatif awal tertanggung di atasnya, khususnya merealisikan sistem dua parti, bagi menyuntik keyakinan baru kepada pengundi bahawa BA sememangnya satu alternatif terbaik kepada BN. Pemimpin PAS juga perlu membuktikan 'keberanian' mereka untuk bereksperimen dalam pentas politik yang sentiasa berubah ini. Presidennya, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah merintis jalan bermula kerjasama politik dengan Semangat 46 pada 1990, bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, yang kemudiannya berkerjasama dengan DAP melalui Gagasan Rakyat, yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Tiada lagi keyakinan palsu bagi sesetengah ahli-ahli PAS bahawa parti itu dapat memerintah negara ini secara bersendirian. Penubuhan Gerak yang menggabungkan parti-parti pembangkang dan NGO selepas Anwar ditahan ISA pada 20 September 1998 membuat laluan kepada cetusan Barisan Alternatif. Dan perkembangan selepas pilihan raya lalu menunjukkan Majlis BA tetap aktif meskipun tiada liputan media terhadapnya. Berbanding BN yang hanya mengadakan mesyuarat dua kali setahun, BA lebih berpotensi bergerak secara kesatuan. Pilihan raya Sanggang membuktikan bagaimana petugas DAP di bandar Mentakab berkempen habis-habisan, siang dan malam, seolah-olah calon yang bertanding bukannya Dato' Hishamuddin Yahaya tetapi Lim Kit Siang sendiri!

Selama ini, ramai pemerhati politik membuat tanggapan, kepemimpinan PAS yang datang dari Terengganu mempunyai pendekatan politik agak radikal, dan sukar bekerjasama dengan pihak luar seperti S46 satu waktu dulu, kini ia nampak berubah. Kit Siang dan Haji Hadi boleh berpelukan, manakala program pertama dialog dengan kerajaan Terengganu di KL dibuat atas inisiatif DAP di Dewan Perhimpunan Cina.

AHMAD LUTFI OTHMAN, bekas pengarang majalah Detik yang diharamkan, merupakan penulis politik yang prolifik, selain pengarang dan penerbit bahan-bahan bacaan yang berani berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri. Beliau juga merupakan bekas pengarang Harakah dan aktivis pelajar.

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com