Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Tangkap Azlina Abas: Lagi sokongan kepada JAIS

Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, sewaktu membidas tindakan JAIS menahan seorang penyanyi kelab malam, Azlina Abas, beserta 24 orang Islam yang lain di Restoran The Ship, Damansara Utama, tengahmalam 11 Jun lalu, mendakwa bahawa tidak menjadi kesalahan bagi setiap Muslim untuk bekerja di tempat menjual arak.

Lalu dipersoalkan, kalau dianggap salah seseorang bekerja atau duduk di premis yang arak dihidangkan, bagaimana dengan pekerja dan pengunjung hotel, pekerja dan pengunjung pasaraya, pekerja dan pengunjung kedai-kedai seperti 7-eleven, penumpang atau krew pesawat MAS dan sebagainya lagi? Sesuatu yang lazim diamalkan tidak bermakna ia bukan satu kesalahan. Bukan hukum yang mesti diubah supaya sesuai dengan selari dengan perkembangan semasa, tetapi keadaan atau senario yang bercanggah dengan hukum itulah yang terlebih dahulu mesti dipinda dan dirombak supaya selari dan selaras dengan tuntutan agama.

Sebagai Muslim yang patuh dan tunduk dengan apa saja ketentuan daripada Ilahi, apabila tercetus isu-isu kontroversi, maka hukum Allah yang perlu dirujuk, bukannya kelaziman ataupun logika yang menentukan.

Apa masalah besar untuk membuang segala arak di premis runcit 7-eleven misalnya? Dan menjadi lebih mudah dan suci jika semua pesawat Penerbangan Malaysia dibebaskan sepenuhnya dari najis arak. Dan di hotel-hotel pula, harus dipisahkan restoran yang membenarkan arak dihidangkan untuk bukan Islam dengan restoran yang suci daripada arak. Apa payahnya berbuat demikian jika kita boleh menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam misalnya, begitu juga di restoren-restoren terkemuka atau premis berhawa dingin!

Ingatlah firman Allah, Al-Maidah: 90-91, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan menenung nasib adalah dari perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu mendatangkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan minuman arak dan judi serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mengerjakan solat, tidakkah kamu mahu berhenti.”

Tentulah Dollah akur dengan larangan untuk umat Islam minum arak, tetapi bagaimana pula dengan orang yang melazimi dirinya dengan majlis yang terhidang arak di dalamnya, seperti penyanyi di kelab malam? Dr Yusof al-Qardhawi dalam bukunya “Halal dan Haram dalam Islam”, halaman 119 mengungkapkan kembali sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk pada suatu hidangan yang diedarkan di situ minuman arak.” (riwayat Ahmad)

Pernah diriwayatkan dari Umar Abdul Aziz bahawa khalifah yang adil itu pernah menjatuhkan hukuman sebat kepada para peminum arak, dan juga orang-orang yang duduk bersama-sama dengan mereka, meskipun mereka tidak minum bersama-samanya.

Dalam satu peristiwa, ditangkap beberapa orang yang minum arak, lalu Umar telah menjatuhkan hukuman sebat kepada mereka. Ada yang berkata bahawa di antara yang ditangkap itu seorang yang berpuasa, yang hanya duduk-duduk saja dengan mereka yang meminumnya.

Berkata Umar Abdul Aziz: “Mulakan sebat dengan orang yang berpuasa itu dahulu. Tidakkan kamu mendengar firman Allah, an-Nisa’: 140: ‘Dan Allah yang telah menetapkan ke atas kamu di dalam Kitab (al-Quran), bahawa apabila kamu mendengar bukti-bukti Allah ditentang dan diejek-ejeknya, maka janganlah sampai kamu duduk dengan mereka itu sehingga mereka mengubah kepada bicara yang lain (kalau tidak), maka sesungguhnya kamu juga adalah sama saja dengan mereka.”

Jelas dan nyata bahawa menjadi kesalahan bagi seorang Muslim duduk, apatah lagi melazimi dirinya dengan majlis-majlis arak seperti kelab malam misalnya. Hukum Islam sudah terang menyuluh hal itu. Soal banyak premis yang ada sekarang menghidangkan atau menjual arak bukannya alasan untuk membenarkan kemungkaran itu.

Saya cadangkan agar pegawai penguatkuasa JAIS melakukan serbuan ke atas premis-premis yang lain juga jika mereka melakukan kesalahan sama. Pedulikan segala kritikan tidak berasas yang dilontarkan meskipun datangnya dari PM. Dan jangan hadkan kepada premis kecil-kecilan tetapi harus meliputi kilang-kilang arak juga. Jangan lupa di Langkawi arak lebih murah daripada minuman ringan dan dijual secara terbuka.

– Luqman Hakim


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com