Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahir rasa sangat kesal di atas tindakan Kerajaan Umno/BN yang merancang untuk menghapuskan perkataan Islam pada nama PAS. DPP Pusat akan mempertahankan kesucian Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan PAS daripada dicabuli secara semborono oleh para sekularis Umno/BN yang zalim dan berfahaman politik sempit.
DPP Pusat melihat tindakan dangkal Umno yang bertentangan dengan semangat aqidah Islam ini adalah berpunca daripada penolakan pengundi Melayu/Islam terhadap Umno dalam pilihanraya yang lalu. Umno telah menyedari bahawa keadilan Islam yang dibawa oleh PAS telah melumpuhkan segala bentuk kemungkaran, kezaliman, penindasan, kerakusan, penyelewengan dan tipu daya yang ditaja oleh ideologi sekular kapitalis anutan Umno/BN. Kerana itu mereka berusaha untuk mempastikan Islam yang syumul dan adil tidak lagi ditampilkan sebagai ideologi perjuangan parti politik yang sudah tentu menggugat kelangsungan kezaliman mereka.
DPP Pusat ingin mengingatkan kepada Umno/BN bahawa perbuatan mereka ini adalah bermaksud untuk memecah-mecahkan Islam dengan mengasingkan kehidupan politik dengan kehidupan beragama. Ini adalah sangat bercanggah dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Islam sebagai agama Ilahi yang komprehensif mencakupi semua bidang kehidupan dan sebarang usaha untuk memisahkan mana-mana aspek kehidupan manusia daripada Islam adalah boleh mengancam aqidah umat Islam. DPP Pusat mengajak Umno/BN untuk memperhatikan fatwa bekas mufti Turki, Sheikh Mustofa Sobri yang menyebutkan bahawa jalan pintas yang paling mudah kepada murtad ialah dengan memisahkan politik daripada agama Islam.
DPP Pusat mengajak Umno/BN supaya berfikir sejenak dan tidak menjadikan semangat kebencian dan kepentingan politik sempit yang sementara sebagai asas untuk menghapuskan nama Islam daripada PAS sebagai kerangka strategi untuk menghapuskan pengaruh PAS di negara ini. Tindakan Umno/BN ini memungkinkan masyarakat Islam pada masa akan datang akan memahami bahawa Islam dan politik tidak boleh dicampuradukkan sedangkan fahaman ini secara terang-terangan bercanggah dengan aqidah Islam. Umno/BN mesti bertanggungjawab di hadapan Allah sekiranya berlaku fahaman demikian kepada umat Islam negara ini pada masa akan datang.
DPP Pusat mempersoalkan mengapakah Umno/BN begitu dangkal untuk melakukan sesuatu yang boleh menjerat aqidah mereka sendiri semata-mata untuk kepentingan yang sempit. Adakah ini sebagai manifestasi daripada hubungan sulit Umno dengan Yahudi yang dijalinkan sejak kebelakangan ini? Atau adakah Umno sudah kehabisan idea untuk berhadapan dengan kebenaran yang dibawa oleh PAS dengan berteraskan Islam? Atau syaitan apakah yang sedang menghasut fikiran para pemimpin Umno sehingga mereka sanggup menggadaikan aqidah demi kepentingan politik? Atau adakah Umno bercadang untuk menyebarkan agama baru kepada negara ini sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka di negara ini?
DPP Pusat telah berkali-kali bersuara tentang kejadian murtad yang memalukan umat Islam, tetapi tidak ada sebarang tindakan positif yang diambil oleh Kerajaan BN. Keruntuhan akhlak dan moral muda-mudi Islam juga turut disumbangkan oleh dasar sesat Umno/BN. Tetapi mengapakah itu tidak dijadikan sasaran untuk pembinaan negara pada masa hadapan, sebaliknya kesucian Islam cuba dicabuli setelah ulama digam, masjid dikunci, hukum-hakam dipertikai, sunnah Nabi dipersenda, kumpulan anti-hadis dibiar, kumpulan Islam dilabelkan dengan nama negatif yang pelbagai dan sebagainya. Apakah ini dalil yang kuat untuk mengatakan Umno cuba menyebarkan ideology baru sebagai anutan masyarakat negara ini?
Umno/BN masih berhujah dengan maksud untuk mempertahankan kesucian Islam lalu nama Islam pada PAS mesti diharamkan, sedangkan sudah terbukti siapakah yang sedang mencemarkan Islam dengan tangan rakus mereka. Adakah orang-orang yang zalim, korup, rakus dan tidak amanah seperti pemimpin Umno/BN layak untuk menjaga kesucian Islam sedangkan segala tindak-tanduk mereka bukan sahaja memalukan bahkan menghina maruah umat Islam. Apakah setelah kita bersekongkol dengan Yahudi, kemudian kita menghina para nabi dan ulama, mencerca hukum-hakam, menutup masjid dan majlis ilmu, membawa masuk artis-artis yang melalaikan, melakukan penganiayaan, menindas, menyalahgunakan kuasa dan undang-undang, melakukan korupsi, kronisme, nepotisme dan sebagainya boleh dianggap menjaga kesucian Islam?
DPP Pusat mengajak seluruh pemimpin Umno supaya segera bertaubat dan kembali kepada Allah setelah mereka tersasul jauh daripada maksud sebenar penciptaan dan pengutusan mereka ke muka bumi ini. Umno tidak perlu merasa malu untuk berpaling ke jalan yang benar kerana kebenaran ini akan menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Ahli-ahli Umno sewajarnya tidak lagi terpengaruh dengan para pemimpin mereka yang rakus dan menjadi sokongan ahli-ahli mereka sebagai asas untuk meneruskan kerakusan ini. Ahli Umno mesti bertanggungjawab terhadap salah laku pemimpin mereka dan mereka sepatutnya bersegera untuk memisahkan dari daripada Umno yang telah tersesat jauh dari landasan perjuangan yang benar.
DPP Pusat juga mengingatkan para pemimpin Umno/BN bahawa para Pemuda Islam sekali-kali tidak akan berdiam diri terhadap sebarang usaha yang cuba dilakukan yang boleh mencabul maruah dan kesucian Islam. Kami juga sanggup melakukan apa sahaja sekiranya Umno boleh berbuat apa sahaja dengan kuasa yang ada pada mereka. Jangan provok kami untuk melakukan sesuatu yang di luar batasan undang-undang. Kami sanggup mati demi mempertahankan Islam. Bagi kami tidak ada erti kehidupan ini jika Islam terus dicabuli sesuka hati oleh orang-orang yang bencikan Islam melainkan kami bertindak sehingga titisan darah yang terakhir!
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat