Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Menghalang Tugas BPR: Dakwa Mahathir!

KENYATAAN AKHBAR
Y.B. DATO' FADZIL MOHD. NOOR
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
13 JUN 2000

Menghalang Tugas BPR: Dakwa Mahathir!

Keterangan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shafie Yahya dalam mahkamah semalam bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah memarahi beliau kerana menggeledah pejabat bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, sungguh memeranjatkan dan menggemparkan negara. Arahan Perdana Menteri supaya BPR menutup siasatan ke atas bekas Ketua Pengarah UPE adalah satu jenayah untuk menutup amalan rasuah yang melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Kami mencabar Peguam Negara mengambil tindakan segera menyiasat skandal ini di mana seorang pegawai tinggi kerajaan dihalang daripada menjalankan tugasnya oleh ketua kerajaan sendiri. Kata-kata yang dihamburkan oleh Perdana Menteri kepada Datuk Shafie jelas berniat untuk membelakangkan kebenaran dan keadilan serta membantutkan perjalanan proses undang-undang. Sebelum ini bekas Timbalan Perdana menteri dijatuhkan hukuman atas alasan yang sama bahawa beliau telah menghalang pegawai kerajaan daripada menjalankan tugas mereka. Jika Peguam Negara enggan memulakan tindakan ke atas Dr Mahathir, kerajaan BN yang memerintah tiada lagi kewibawaan dan patut ditolak oleh seluruh rakyat.

Kes terbaru ini merupakan yang paling keji dan mencabar kesabaran rakyat setelah kes laporan Datuk Seri Anwar terhadap Dr Mahathir kerana dakwaannya bahawa beliau (Dr Mahathir) telah menghalang siasatan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas tuduhan rasuah tidak diambil tindakan oleh kerajaan. Kes tersebut telah mengesahkan adanya pencabulan pihak eksekutif ke atas pihak perundangan. Memang tepat sindiran yang kerap kita dengar bahawa hanya 'ikan bilis' yang ditangkap sementara 'jerung' terus bebas kerana campur tangan pemimpin tertinggi sendiri.

Keterangan Datuk Shafie dalam mahkamah bahawa Dr Mahathir memarahinya kerana siasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan membuktikan betapa kenyataan-kenyataan Mahathir sebelum ini tentang perlunya pemimpin itu bersih hanya lakonan beliau semata-mata untuk mengabui mata rakyat termasuk perwakilan Umno dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini. Malaysia harus berasa amat malu mempunyai seorang perdana menteri yang bertindak sedemikain.

Peguam Negara masih mempunyai peluang utnuk membersihkan imej beliau yang sangat dicemari oleh begitu banyak peristiwa sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan memulakan siasatan terhadap Dr Mahathir kerana menghalang tugas BPR itu. Kami mahu mengingatkan pemimpin negara bahawa kemarahan rakyat terhadap penyelewengan sebegini sudah sampai ke kemuncaknya.

DATUK FADZIL MOHD NOOR
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
13 Jun, 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com