Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Jamil Johari turut bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Kelantan mengenai pendidikan agama sebagai program penting bagi pencegahan jenayah.
Katanya, cadangan itu dikemukakan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa berkunjung ke pejabatnya bersama Ketua Polis Kelantan, Dato' Mohd Yunus Othman, semalam.
Sehubungan itu, beliau akan mencadangkan idea menteri besar tersebut ke peringkat lebih tinggi di Kuala Lumpur.
"Masalah pentadbiran bermula dari peringkat rumah tangga dan seterusnya ke peringkat kampung, daerah, negeri dan negara," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, pendidikan agama merupakan elemen paling penting dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di Kelantan terutamanya di kalangan remaja.
"Pihak kerajaan seharusnya mengadakan satu undang-undang khusus yang mengambil berat soal-soal aqidah serta ajaran-ajaran Islam seperti yang diajar oleh Rasulullah Saw. Kerajaan Pusat boleh mulakan tanggungjawab tersebut dengan cara yang lebih serius," katanya.
Menurutnya, jika perkara tersebut bermula di peringkat pusat, sudah tentu seluruh negeri-negeri lain akan mematuhi arahannya.
Beliau berkata, perkara tersebut memerlukan kerjasama dari semua pihak terutamanya ibu bapa dan para pemimpin masyarakat di setiap kampung dan daerah.
Menteri Besar menegaskan hanya cara memperbanyakkan program-program bercorak keIslaman sahaja yang dapat membendung atau mengurangkan kadar jenayah.
Katanya, jenayah yang menular di negara kita sekarang kebanyakan terpengaruh dari dari media eletronik yang sering memaparkan budaya kurang sihat dari barat.