Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Hrkh) - Sebuah suruhanjaya khas bagi menyiasat tingkah laku hakim di negara ini perlu diwujudkan untuk menjamin keadilan dalam sistem kehakiman dan perundangan.
Cadangan itu rentetan daripada isu yang ditimbulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Rais Yatim yang mengulas gambar Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin bergambar bersama peguam V.K Lingam ketika bercuti krismas di New Zealand, pada tahun 1994.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, dalam isu Eusoff, beliau sepatutnya tahu etika kehakiman iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan syak wasangka terutama dengan pihak yang terlibat dalam kes-kes mahkamah yang dikendalikan oleh hakim-hakim berkenaan.
Tambah beliau, apabila rakyat menaruh syak wasangka terhadap Ketua Hakim Negara sebagai tonggak kehakiman di negara ini, rakyat tidak boleh disalahkan kerana rakyat memerlukan penjelasan lanjut untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman di negara ini.
"Kita amat bersetuju dengan cadangan Majlis Peguam untuk mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat tingkah laku Ketua Hakim Negara bagi menyelesaikan masalah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, dekat sini, pagi tadi.
Sementara itu, bekas Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenjung (Gamis), Zaharuddin Abdul Rahman pula menjelaskan, Suruhanjaya Khas perlu diwujudkan kerana hakim tidak bebas daripada melakukan kesalahan.
Oleh itu, mereka tidak terlepas dari membuat kesilapan tambahan dalam keputusan kes-kes yang diadili itu melibatkan kepentingan masyarakat.
"Perlu ada check and balance untuk menyiasat tingkah laku hakim dan mereka tidak perlu takut dengan apa jua tekanan pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tugas," katanya.