Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Fathi Aris Kecewa Agaknya!

Fathi Aris Kecewa Agaknya!
(Respon Pendedahan AFA: JIM sedang merosakkan reformasi & KeAdilan)

Membaca kritikan Fathi Aris yang memimpin malaysiakini.com agak menyenakkan. KeAdilan terus diburu sebagai orang salah. Tidak cukup dengan itu, sambil menendang-nendang parti setahun jagung itu, Fathi turut menjentik-jentik PAS, PRM dan DAP. Komentarnya agak bernas. Tidak dinafikan. Fathi mahu mendedahkan dirinya untuk dikritik balik oleh orang lain. Itu memang sikapnya.

Provokasi Fathi itu, tidak lebih dari langkah untuk mencipta sejarah penulisan sekalipun beliau adalah pendokong reformasi jalanan. Ini tidak bermakna, kritikan Fathi tidak bertempat atau gagal menepati hakikat sebenar. Banyak yang beliau tahu tentang kelemahan dan percakaran dalaman antara pemimpin dalam KeAdilan. Ulasannya, yang berepisod-episod, mungkin berjilid-jilid tentang kelemahan dan sakit KeAdilan itu, rasanya tidak mungkin mampu memulihkan atau menguatkan parti reformasi jalanan ini menjadi gagah perkasa.

Saya rasa, Fathi sudah terjerat dengan perangkap media kelolaannya. Tidak salah untuk mengkritik. Celahan dan teguran Sayuti Omar terhadap komentar dan analisis Fathi berkenaan kepincangan KeAdilan patut juga menjadi renungan. Kalau wewang Fathi mendedahkan kelemahan KeAdilan dalam media terbuka begini, maka mudahlah Umno dan kuncu-kuncunya masuk jarum untuk memecahkan dan memburaikan parti berkenaan. Memang banyak kelemahannya. Dari A sampai Z, semua orang tahu.

Fathi mungkin juga terlanggar batu kecewa dengan KeAdilan. Jika, tidak, mengapa sebagai pendokong reformasi jalanan yang juga sebahagian dari nafas KeAdilan itu, Fathi sanggup menyusahkan diri, memeningkan kepala mengkritik parti itu hingga terentak ke tepi dinding. Rakyat tidak mahu mendengar tentang percakaran pemimpin atau kejumudan dalam mengandalikan organisasi. Mereka mahu, penentangan terhadap Mahathir dan BN diteruskan. Ketepikan sahaja, masalah dalaman. Persetankan sahaja percakaran pemimpin. Kalau Ezam berhenti, Chandra letak jawatan, Marina merajuk, ketua-ketua perhubungan cabut, Hamdan Taha belah, Tian Chua bosan, Anuar Tahir jemu…siapa lagi yang nak tadbir KeAdilan?

Dari sumber kawan-kawan, Fathi adalah insan yang pelik. Minatnya amat mendalam dalam mengemukakan gagasan idea dan kritikan pedas terhadap sasarannya. Semua parti tak betul dan tidak serasi dengan jiwanya. Dia bukan ahli PAS, jauh sekali anggota DAP. Pada mulanya, minatnya terhadap PRM atas kekagumannya dengan Dr. Syed Husin Ali dan Rustam Sani, menjajah dirinya. Namun begitu, sebagai ahli JIM dan bekas pegawai JIM Pusat, Fathi tentunya memiliki ruh Islam dan mengerti tentang harakah Islamiyyah. Jiwanya mungkin lebih dekat dengan PAS. Tetapi, beliau pendokong Anwar yang kuat. Baginya, demontrasi jalanan adalah pilihan. Menjerit dan menyorak adalah pendekatan untuk menentang kerajaan yang zalim!

Persoalannya, mengapa Fathi beriya-iya benar mendedah dan membongkar ketempangan KeAdilan, sekalipun iya?

Fathi Baihaqitullah
Bukit Damansara, Kuala Lumpur
23 Jun 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com