Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Chandra Wajar Bersara ?

Melihat kepada isi surat tulisan Hajjah Marina Yusof, amat jelas kepada penyokong keADILan siapa yang sebenarnya menjadi duri dalam daging yang menghalang pergerakan parti itu daripada menjana kehendak dan keinginan penyokong parti menuntut keadilan dengan tersusun dan berkesan. Surat tersebut juga mengesahkan kebenaran tentang wujudnya pergesaran dan ketidaksehaluan di kalangan pucuk pimpinan parti.

Di dalam suratnya Marina menegaskan beberapa isi penting. Antaranya ialah tuduhan Chandar Muzaffar yang mendakwa Marina telah cuba menolak pencalonan kepada wakil wakil daripada kaum India. Marina juga mendakwa Chandra telah memberikan tekan terhadapnya dan menghalangnya daripada melakukan kerja kerja yang sepatutnya sebagai ahli jawatankuasa pilihanraya.

Antara lainnya, Marina juga menyatakan bahawa Chandra telah menaburkan pembohongan terhadapnya dan mengeluarkan kenyataan yang memburukkannya demi mempengaruhi pihak atasan parti. Disebabkan terpengaruh dengan pembohongan dan laporan negatif, beberapa pihak atasan parti telah kecewa dengannya. Akibatnya, Mohd Ezam Mohd Nor telah hampir meletakkan jawatannya sebagai ketua pemuda. Beliau bagaimanapun telah melupakan niatnya di atas desakan dan pujukan Tian Chua.

Marina juga mendakwa Chandra telah meletakkan beberapa orang penyokongnya di dalam biro politik. Chandra juga dikatakan telah melantik berapa orang penyokongnya yang di antara mereka bukanlah ahli parti KeADILan sebagai ahli di dalam Jawatankuasa Pembaharuan. Yang amat menyedihkan lagi, tegas Marina, ialah layanan kurang hormat yang Chandra berikan kepada Datin Wan Azizah.

Mungkinkah Chandra sebenarnya mempunyai niat ikhlas terhadap parti tetapi disalahtafsirkan oleh penyokong parti? Cadangan Chandra mengenengahkan calon calon daripada kaum India boleh dilihat sebagai usahanya untuk memancing sokongan kaum India menentang kerajaan.

Pergerakan KeADILan di peringkat awal penubuhannya banyak bergantung kepada isu penganiayaan terhadap Anwar Ibrahim. Dengan adanya calon calon daripada kaum India, KeADILan tidaklah akan dilihat sebagai parti yang hanya memperjuangkan isu Anwar dan keadilan kaum Melayu sahaja.

Mungkinkah Chandra ialah seorang yang ingin mengambil kesempatan di atas penubuhan dan pergerakan KeAdilan sebagai pentas untuknya menjadi jaguh baru kaum India? Berlatarbelakangkan pengalaman daripada penglibatannya dalam pertubuhan bukan kerajaan dan juga pendedahan langsung yang kurang dalam arena politik, Chandra bukanlah seorang yang layak mewakili suara kaum India jauh sekali untuk memimpin satu pertubuhan politik.

Persoalan yang agak penting juga untuk difikirkan ialah tentang keikhlasan Marina dengan pendedahan surat yang dibuatnya. Adakah ia merupakan hanya satu mainan politik yang lain yang sebenarnya didalangi oleh pihak yang gerun dan tergugat dengan kewujudan gerakan KeADILan?

Marina yang difahamkan masih mempunyai hutang yang besar dengan salah satu institusi kewangan dalam negara boleh disangsikan niatnya. Atau adakah tindakan Marina adalah hanya manifestasi kepada sifat kesensitifan yang beliau miliki?

Permasalahan dalaman yang melanda KeADILan dilihat sebagai suatu yang rumit. Kalau tidak diusahakan dan dicari penyelesaiannya secepat yang mungkin, perkara ini akan menambahkan kerumitan. Kesan yang kita tidak ingini ialah apabila timbulnya kekecewaan di kalangan para penyokong untuk terus berjuang di bawah parti.

Dalam menangani permasalahan politik dalaman yang melanda KeADILan, pucuk pimpinan parti hendaklah mengamalkan sikap yang terbuka. Hendaklah diadakan satu jawatankuasa bertindak yang bebas daripada mana mana pengaruh supaya tindakan yang sesuai boleh disepakat dan diambil dalam menyelesaikan ketegangan yang berlaku. Dalam mencari jalan penyelesaian, suara majoriti tidaklah boleh diketepikan.

Pucuk pimpinan parti hendaklah tidak mudah melatah dan mengikut perasaan. Tindakan yang terburu buru hanya akan merugikan masa depan parti. KeADILan yang merupakan salah satu komponen terbesar pakatan BA tidaklah patut membiarkan parti terus bergelumang dengan pergeseran. Yang kusut hendaklah diluruskan.

Kalau boleh, jalan penyelesaian yang dipersetujui hendaklah bermatlamatkan kepada meminimumkan keretakan yang sudah sedia ada. KeADILan merupakan nafas baru kepada rakyat Malaysia menentang penyelewengan. Tanganilah permasalahan dalam parti seumpama menarik rambut dalam tepung supaya kesudahanya, tepung tidak akan rosak, rambut juga tidak akan putus.

Johari Alwi
Marang Terengganu.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com