Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


KELANTAN INGIN JADI JELAPANG MAKANAN

KOTA BAHARU, 23 Jun - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Kelantan mampu menjadi negeri "jelapang makanan terbesar" pada masa depan melalui penggemblengan usaha kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan swasta.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan kawasan sebagai tapak projek, kerajaan persekutuan pula menyediakan peruntukan serta kepakaran manakala pihak swasta akan menjadi pemasar hasil pertanian.

"Saya berharap kerajaan pusat ikhlas menjayakan konsep berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Isnin lepas kerajaan negeri dan kerajaan pusat menandatangani memorandum persefahaman di sini bagi membolehkan kerajaan persekutuan membantu kerajaan negeri memajukan sektor pertanian dengan peruntukan RM100 juta.

Nik Aziz berkata, jika rancangan itu tidak dihalang, tiada sebab Kelantan tidak boleh mencapai kejayaan untuk menjadi "Taman Kekal Pengeluaran Makanan" utama di negara ini.

Beliau juga berkata pasar borong yang akan dibina oleh kerajaan pusat di Kampung Tunjung dekat sini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta akan menjadi antara enam pasar terbesar di Malaysia.

"Pasar borong berkenaan akan merangsangkan lagi sektor pertanian di Kelantan," katanya.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com