KOTA BAHARU, 24 Jun - Kejohanan bola keranjang Nike 3 on 3 Challenge peringkat Pantai Timur di Kelantan pada Jumaat ini menyaksikan jumlah penyertaan terbesar selepas Kuala Lumpur.
Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Kelantan (KABA), Ooi Siong Hwa, berkata sehingga hari ini jumlah penyertaan yang diterima adalah 250 pasukan.
"Ini merupakan kejohanan terbesar selepas Kuala Lumpur dan apa yang paling membanggakan sebanyak 40 pasukan terdiri daripada pemain bukan Cina," katanya pada sidang akhbar mengenai kejohanan itu di sini, Sabtu.
Ooi berkata ini adalah kali kedua Kelantan menjadi tuan rumah kejohanan tahunan itu selepas 1996, yang ketika itu hanya 150 pasukan sahaja bertanding.
Katanya kejohanan itu akan berlangsung selama sehari mulai 7 pagi hingga petang di hadapan Kompleks Seri Mutiara di sini.
"Sebanyak lapan gelanggang disediakan dan kira-kira 5,000 pemain dan penonton akan menghadirinya," katanya.
Ooi berkata bagi menghargai sumbangan media yang banyak membantu mengadakan publisiti kejohanan itu, sebuah pasukan yang diwakili para wartawan akan mengadakan pertunjukan persahabatan dengan pilihan pemain.
Kejohanan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penutupnya akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hubungan Antara Kaum, Kesihatan dan Alam Sekitar, Anuar Tan Abdullah.
"Para pemenang akan bertanding di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur bulan depan dan pemenang di peringkat itu pula akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Manila, Filipina," katanya.
Beliau berkata Jalan Sultan Yahya Petra iaitu berhadapan dengan kompleks berkenaan akan dibuka sehala sahaja iaitu sewaktu acara perasmian dan penutup.