KOTA BAHARU, 23 Jun - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tidak mahu anggota Parlimen kawasan Sik, Datuk Shahnon Ahmad meletakkan jawatan kerana tidak mahu menyusahkan rakyat yang terpaksa memilih calon baru melalui pilihan raya kecil.
Beliau berkata, sekiranya diadakan pilihan raya kecil, parti-parti politik yang turut bertanding merebut kerusi kawasan berkenaan akan turut susah.
"Lebih-lebih lagi untuk menjaga keharmonian rakyat di kawasan itu daripada kemungkinan berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini sekiranya pilihan raya diadakan," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat PAS di sini, hari ini.
Nik Aziz berkata demikian sebagai mengulas cadangan Shahnon minggu lepas yang beliau berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan Sik kerana uzur.
Nik Aziz berkata, sekiranya Shahnon tidak boleh menjalankan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan berkenaan, beliau boleh melantik orang lain sebagai wakilnya untuk memikul tanggungjawab itu.