Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Siapa Yang Memulakan Penghinaan terhadap Kehakiman?

Sumber :
Laman tMK

Mujurlah Presiden Majlis Peguam, Sulaiman Abdullah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menghina mahkamah. Jika tidak, akan tercatat dalam sejarah perundangan negara ini di mana seorang hakim membuat keputusan yang zalim.

Sayang sekali institusi kehakiman di negara ini telah runtuh dalam segala segi. Kewibawaan hakim-hakimnya dipersoalkan. Kebebasannya sudah tidak ada lagi. Ketua Hakimnya tidak dihormati. Rasuah disyaki berlaku di kalangan hakim-hakim tertentu. Hakim-hakim sepatutnya adil, tenang dan bijaksana. Tetapi yang kelihatan hakim-hakim mengendalikan perbicaraan secara tidak adil, mengugut-ugut peguam dengan ancaman dikenakan pendakwaan "menghina mahkamah". Dan yang terakhir sekali hujah-hujah hakim kelihatan bodoh.

Misalnya dalam kes, "Hakim Dr R.K.Nathan Lawan Sulaiman Abdullah", peguam bagi pihak Sulaiman Abdullah, iaitu Muhammad Shafee berhujah, bahawa jika mahkamah tidak bersetuju dengan kes rujukan itu (Locabail (UK) Ltd lawan Bayfield Properties Ltd & others), ia perlu menolaknya dan tidak perlu mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Sulaiman. Ini jelas menunjukkan hakim-hakim di mahkamah sekarang cepat melenting dan panas baran. Mereka hanya berani kepada peguam-peguam. Tetapi menikus terhadap Perdana Menteri yang kerap kali berterang-terangan menghina mahkamah.

Seperti tajuk persoalan di atas: Siapa yang memulakan penghinaan ke atas Kehakiman? Dalam buku kecil bertajuk, "Assault on the Judiciary" yang diterbitkan oleh Lawyers Committee for Human Rights, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah memulakan penghinaan dan serangan ke atas bidang Kehakiman di Malaysia sejak tahun 1986 lagi. Satu petikan kata-kata Dr Mahathir pada 1 January 1988 dalam satu wawancara majalah Malaysian Business, Perdana Menteri telah melemparkan beberapa kritikan terhadap bidang Kehakiman. Para peguam Malaysia percaya kritikan-kritikan itu ditujukan kepada Hakim Harun Hashim. Mahathir dilaporkan berkata :

"There are black sheep in every group who want to be fiercely independent…When you want to be fiercely independent, you are implying that you’d forget your duty to be just and fair…You stretch things a bit. You have to prove that you can hammer the government." Serangan demi serangan dilakukan oleh Eksekutif yang dikepalai oleh Mahathir, sejak tahun 80-an itu ke atas Kehakiman, maka inilah sekarang wujudnya keadaan "lintang-pukang dan tunggang-langgang" di mahkamah negara kita. Mahathir tidak boleh lari. Dia mempunyai saham amat besar dalam kemusnahan, keruntuhan dan kehancuran institusi Kehakiman yang menjadi satu daripada tiga tiang seri dalam kehidupan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Orang kata sejarah kadang-kadang berulang. Tetapi kali ini sejarah berulang secara terbalik. Pada tahun 1988 Majlis Peguam Malaysia mempertahankan Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara. Sebab Mahathir waktu itu berusaha memecat Tun Salleh Abbas. Majlis Peguam bangun dengan berani cuba mempertahankan Tun Salleh Abbas. Tetapi pada tahun 2000 lain pula jadinya. Mahathir berdiri mempertahankan Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin. Majlis Peguam pula mahu adakan mesyuarat agung tergempar untuk bincangkan perilaku Eusoff Chin.

Begitu juga parti-parti pembangkang. Dalam kes Tun Salleh Abbas masing-masing membantah tindakan Mahathir memecat Tun Salleh Abbas. Tetapi dalam kes Eusoff Chin mereka mendesak Ketua Hakim Negara itu dilucutkan jawatan. Paling tidak adakan siasatan. Tubuhkan Tribunal, desak mereka.

Rais Yatim yang sekarang jadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menjaga hal ehwal mahkamah serta undang-undang pun berubah kedudukan. Pada tahun 1988 dulu beliau mempertahankan kebebasan Kehakiman dan mengecam keras tindakan Mahathir memecat Tun Salleh Abbas. Rais Yatim yang suka "bakar jambatan" serius sekali dalam soal mempertahankan kebebasan Kehakiman. Sampaikan dia pergi bercuti politik beberapa tahun untuk buat Phd di University of London, UK. Kemudian, dia tulis tesis Phdnya tentang campurtangan Eksektuitif terhadap institusi Kehakiman di Malaysia.

Sekarang Rais Yatim dalam keadaan serbasalah. Interviewnya di Australia menjadikan Ketua Hakim Negara tiba-tiba bermasalah. Tetapi ramai orang simpati dan hargai sikap Rais Yatim yang pada pandangan mereka, sekurang-kurangnya berani tegur kelakuan tak manis seorang Ketua Hakim. Namun begitu, kedudukan Rais Yatim agak bermasalah kini. Mahathir telah umumkan bahawa jawatan Eusoff Chin sebagai Ketua Hakim Negara akan disambung semula. Jadi Rais tidak ada pilihan. Dia sepatutnya letak jawatan. Sebab Mahathir tidak hormati teguran Rais terhadap Eusoff Chin. Rais Yatim elok "bakar jambatan" sekali lagi. Rais Yatim lebih sesuai kembali menjadi seorang peguam biasa. Bersama dengan lain-lain peguam Rais sepatutnya terus berjuang mempertahankan kebebasan Kehakiman di negara ini. Perjuangan ini lebih bermakna baginya.

Tetapi yang ketawa besar sekarang ialah Dr Mahathir. Dia telah berjaya menghancurkan institusi Kehakiman sebagai satu badan yang berwibawa. n


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com