Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Reformasi & Perang Terhadap Korupsi

Sumber :
Laman tMK

Tentu kita tidak lupa akan Deklarasi Permatang Pauh yang diisytiharkan oleh Anwar Ibrahim sebelum beliau ditahan di bawah ISA pada 20 September 1998. Deklarasi itu merupakan manifesto bagi gerakan reformasi. Satu tuntutan penting dalam Deklarasi Permatang Pauh itu ialah menentang amalan rasuah atau korupsi yang berleluasa di dalam negara kita.

Kita lihat Anwar Ibrahim konsistent di dalam hal memerangi rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan. Cuba kita teliti kembali sudah banyak laporan Polis yang Anwar telah buat ketika dia di dalam penjara. Semuanya mengenai rasuah pemimpin negara. Dua dari beberapa laporan polis itu berhubung kesalahan rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Pertama kerana Dr Mahathir menyekat Peguam Negara daripada mengambil tindakan mendakwa Rafidah Aziz di mahkamah berhubung kes rasuah memberi saham kepada menantunya sendiri. Kali kedua, kerana Mahathir menyekat BPR daripada meneruskan siasatan tentang aduan rasuah terhadap bekas Ketua Pengarah EPU, Ali Abul Hassan Sulaiman. Selain itu Anwar juga membuat laporan-laporan polis tentang perlakuan rasuah oleh Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, dan Rahim Thamby Chik.

Apa sudah jadi dengan laporan-laporan Polis Anwar Ibrahim itu? Ada apa-apa tindakan telah dilakukan oleh pihak Polis? Melainkan laporan yang terbaru, laporan-laporan Polis itu telah dibuat lama sebelum pilihanraya umum November tahun lalu. Sampai hari ini tidak ada apa-apa tindakan baik di pihak Polis atau Peguam Negara. Dari BPR juga senyap sunyi. Laporan-laporan Polis yang Anwar buat itu semacam dia mencampakkan batu ke dalam telaga yang dalam. Terpercik sedikit air, kemudian batu tidak timbul-timbul. Permukaan telaga kemudian tenang seperti sediakala.

Jadi di sini kita kena ambil perhatian. Anwar Ibrahim telah memberi teladan bahawa rasuah di kalangan pemimpin kerajaan ini mesti terus diperang. Satu laporan demi satu laporan Polis telah Anwar kemukakkan. Jadi apakah kita yang bercakap tentang perlunya reformasi hanya setakat memandang saja dan duduk diam? Anwar Ibrahim tentu tidak minta kita yang mendukung gerakan reformasi ini hanya memikirkan tentang nasib dirinya sahaja.

Kita tidak nafikan. Isu Anwar penting. Pembebasan Anwar adalah penting. Kempen membebaskan Anwar mesti segera dilancarkan di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa seperti yang pernah ANC lakukan untuk membebaskan Nelson Mandela tidak lama dahulu. Orang yang rasional dan sedar tentu memahami bahawa penahanan Anwar di dalam penjara sekarang bukan kerana kes jenayah atau sex. Ini penahanan politik yang bertujuan menyisihkan Anwar dari rakyat jelata. Hal ini sama seperti Mandela dulu. Dia juga ditahan kerana tuduhan di bawah kesalahan jenayah yang direka-reka. Tetapi hal sebenarnya ialah kerana regim apartheid sengaja mahu mengurung dan membelenggu Mandela bertahun-tahun di dalam penjara, sehingga 25 tahun lamanya. Begitulah yang Mahathir mahu lakukan ke atas Anwar Ibrahim.

Gerakan reformasi tidak hanya terbatas kepada golongan anak-anak muda reformasi jalanan. Ia juga tidak terbatas kepada ahli-ahli Parti Keadilan Nasional sahaja. Reformasi sebenar didukung secara meluas oleh seluruh rakyat jelata yang cintakan keadilan dan negara ini. Jadi pendukung reformasi yang luas ini mesti melancarkan perjuangan ketika ini dengan matlamat serampang dua mata. Kita mesti melancarkan kempen pembebasan Anwar Ibrahim sekarang juga. Di samping itu kita juga mesti lancarkan kempen besar-besaran memerangi korupsi atau rasuah.

Ini bermakna perlu berlaku anjakan paradigma dalam gerakan reformasi. Iaitu kita tidak boleh hanya tertumpu kepada isu Anwar satu sahaja. Tetapi gerakan reformasi mesti meluas dan melebar menjangkau lebih jauh ke depan. Kita mesti isytiharkan perang terhadap korupsi. Kita kena bertindak tegas sebab semua laporan polis yang Anwar Ibrahim kemukakan terhadap para pemimpin kerajaan yang korup telah dibakul sampahkan dan tidak dipedulikan oleh kerajaan. Apakah kita masih percaya mereka yang berkuasa akan membanteras gejala rasuah yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan yang ada sekarang dan kroni-kroni mereka? Apakah kita lupa tentang skandal Syarikat Perwaja milik kerajaan yang kerugian dan hutang hampir RM10 bilion dan lain-lain kes rasuah seperti itu?

Sebagai perbandingan, anak-anak muda di Indonesia; pelajar-pelajar Indonesia, dan pendukung sebenar reformasi di Indonesia tidak berhenti sekadar apabila Suharto telah turun jawatan Presiden. Gerakan reformasi sampai kini diteruskan di Indonesia dengan menuntut Suharto dibicarakan kerana tuduhan rasuah. Presiden Abdurrahman Wahid sendiri berkata bahawa Suharto memiliki aset bernilai RM 171 bilion. Jumlah itu katanya, cukup untuk membayar hutang Indonesia kepada IMF dan Bank Dunia.

Di Malaysia, Anwar Ibrahim secara sendiri tidak boleh lakukan lebih daripada apa yang dia termampu dengan dirinya terbelenggu sekarang ini. Beliau tentu tidak mengharap kita setakat bimbang dan mengharap-harap dia dibebaskan dari segala tuduhan perbicaraan. Kita sendiri kena mengambil inisiatif sendiri. Satu daripadanya ialah kempen memerangi korupsi. Agitasi mesti diteruskan. Korupsi mesti dilawan. Forum, ceramah, bengkel, seminar, termasuk demonstrasi dan tunjuk perasaan di jalanan dan kampus universiti perlu dihidupkan kembali.

Reformasi bukan sekadar isu Anwar seorang diri. Anwar sendiri tentu tidak setuju isu reformasi berkisar pada hal dirinya sahaja. Anwar tentu tidak mahu kita lupa kepada Deklarasi Permatang Pauh yang beliau lancarkan dulu, iaitu perjuangan kita untuk menegakkan keadilan, menentang kezaliman, membentuk sebuah masyarakat yang demokrasi. Kita mahu membina sebuah negara yang bebas , telus dan bersih dari rasuah. Jadi korupsi perlu ditentang habis-habisan. Isu menentang korupsi boleh menyatukan kita semua seperti kita bersatu menentang kezaliman ke atas Anwar.

Kita bermula dengan langkah pertama. Kita mahu tuntut jawapan dari kerajaan. Kita mahu tahu apa tindakan kerajaan terhadap sekian banyak laporan Polis mengenai kes rasuah yang Anwar Ibrahim telah kemukakan?


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com