Sumber :
Laman tMK
Terengganu tidak ada hak dapat royaliti minyak, kata Dr Mahathir Mohamad sekembalinya dari Mesir. Hal ini bercanggah dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi beberapa hari sebelum ini bahawa Kerajaan Pusat akan membayar royalti minyak kepada Trengganu sebanyak RM810 juta tahun ini.
Mahathir kelihatannya cuba mencetuskan satu masalah serupa seperti di Acheh Indonesia. Mahathir mahu ia berlaku di Malaysia pula. Acheh sebuah wilayah di Indonesia yang kaya dengan minyak dan gas. Semua kekayaan hasil bumi Acheh itu dipunggah oleh kerajaan Indonesia yang berpusat di Jakarta. Sedang Acheh tinggal miskin dan mundur. Inikah yang Mahathir mahu lakukan? Trengganu selama ini diketahui sebagai negeri yang ramai rakyat miskin. Allah telah mengurniakan minyak kepada negeri itu. Tetapi Mahathir mahu punggah semua hasilnya ke kantong Kerajaan Pusat.
Ketika Terengganu berada di bawah kerajaan BN tidak timbul masalah undang-undang. Kerajaan Pusat ketika itu memberitahu bahawa Trengganu menerima 5% royaliti minyak yang disedut oleh Petronas dari perut laut negeri itu. Bertahun-tahun lamanya Petronas telah membayar royaliti itu kepada kerajaan BN Trengganu pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Tahun lalu, Kerajaan Trengganu menerima RM 426 juta dari Petronas. Tetapi kenapa apabila Pas memerintah Trengganu selepas pilihanraya November tahun lalu, bayaran royaliti itu mahu ditahan? Adakah kerana jumlah royaliti sekarang semakin meningkat, iaitu sebanyak 75 % sehingga menjadi RM810 juta? Adakah wang itu terlalu besar? Mana lebih besar dengan RM 1800 juta wang Petronas yang Mahathir arahkan Petronas keluarkan untuk selamatkan syarikat anaknya (Mirzan), Konsortium Perkapalan Berhad (KPB)?
Mahathir berkata kerajaan akan meneliti sama ada royalti minyak itu menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan Trengganu sebelum ini. Adakah ini bermakna pemberian royaliti minyak oleh kerajaan Pusat kepada kerajaan BN Trengganu sebelum ini dibuat ikut budi bicara sesuka hati? Penyataan Perdana Menteri menimbulkan banyak pertanyaan. Seterusnya Mahathir berkata, kerajaan mahu mengkaji semula peruntukan undang-undang berhubung pembayaran royaliti minyak. Adakah langkah ini semata-mata kerana Trengganu sekarang diperintah oleh PAS dan Kelantan yang kaya dengan minyak (belum diteroka oleh Petronas) juga diperintah oleh PAS?
Jika kerajaan Pusat telah membayar royalti minyak kepada Trengganu sejak bertahun-tahun ini, maka bayaran itu mesti diteruskan. Undang-undang boleh digubal atau dipinda, tetapi undang-undang itu tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan. Mahathir kena ingat bahawa Malaysia ini sebuah negara persekutuan, bukan kesatuan macam di Indonesia. Malah Semenanjung Malaysia yang dipanggil Malaya atau Tanah Melayu itu juga merupakan sebuah negara persekutuan. Trengganu seperti juga Sabah dan Sarawak adalah satu dari negeri di dalam persekutuan Malaysia. Sebagai Perdana Menteri tentu Mahathir menyedari tentang Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Negeri-negeri persekutuan adalah terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Trengganu. Jadi tidak adil bagi Mahathir membeza-bezakan layanan ke atas Trengganu berbanding Sabah dan Sarawak dalam soal royalti minyak.
Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Pusat mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang diuntukkan oleh Perlembagaan. Begitu juga kerajaan-kerajaan negeri di dalam persekutuan mempunyai bidang kuasa tertentu. Hak-hak ini perlu dihormati oleh Kerajaan Pusat. Bahagian III, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa hasil dari tanah, lombong dan hutan merupakan sumber-sumber hasil yang diserahkan kepada negeri. Memang tidak disebut secara khusus tentang royaliti minyak di dalam perlembagaan. Istilah lombong itu juga terlalu umum.
Bagaimanapun, pengumuman Abdullah Ahmad Badawi dan Mahathir dalam soal royalti minyak bercanggah antara satu sama lain. Abdullah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Pusat bersetuju membayar royalti itu walaupun kajian terperinci menunjukkan Trengganu tidak mempunyai sebarang hak ke atasnya. Ini seolah-olah menyatakan bahawa kajian terperinci sudah dilakukan. Manakala, Mahathir pula berkata, Kerajaan akan meneliti sama ada royalti minyak itu menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan Trengganu sebelum ini. (Berita Harian Selasa 27 Jun). Ini seolah-olah menunjukkan kajian teliti belum dilakukan. Jadi mana satu yang hendak kita percaya. Abdullah atau Mahathir? Tidakah mereka berdua duduk dalam satu kerajaan?
Kita berharap kerajaan Pusat tidak bersikap, "buruk siku, sudah beri ambil balik". Kerajaan Pusat kena iktiraf bahawa kerajaan PAS di Trengganu adalah kerajaan pilihan rakyat Trengganu. Royalti minyak yang sepatutnya diterima oleh Trengganu eloklah diberi kepada Trengganu. Pengawasan audit ke atas penggunaan wang yang diberi itu adalah satu perkara yang baik supaya tidak berlaku penyelewengan ke atas royalti minyak yang agak banyak itu. Tetapi kenapa sekarang baru soal pengauditan itu timbul? Apakah semasa BN memerintah Trengganu dulu tidak ada pengauditan oleh kerajaan Pusat?
Trengganu memerlukan royaliti minyak itu. Itu haknya. Ia tidak boleh dinafikan. Trengganu masih jauh kebelakang dalam pembangunan ekonomi. Rakyatnya masih ramai yang miskin. PAS menang di Trengganu dalam pilihanraya yang lalu, antara sebabnya adalah kerana kemarahan rakyat negeri itu terhadap pembaziran Kerajaan Pusat (BN) yang membelanjakan wang Petronas hasil dari minyak laut Trengganu untuk projek-projek mega.
Wang Petronas hasil dari minyak telah dibazirkan oleh kerajaan Mahathir untuk membina Menara Kembar Petronas (bangunan tertinggi di dunia), sebuah dewan muzik Filharmonik yang berpuluh juta ringgit nilainya untuk golongan elitis yang tidak dapat dirasai oleh rakyat miskin Trengganu. Wang minyak Petronas juga digunakan untuk menyelamatkan beberapa kali Bank Bumiputera yang muflis, membina Putrajaya, menaja kereta Formula One, Petronas-Sauber dan termasuk sama menyelamatkan syarikat KPB, milik Mirzan Mahathir seperti yang disebut di atas tadi.
Royaliti minyak kepada Trengganu hanya sekitar 5% daripada hasil yang diperolehi Petronas. Pulangkan hasil itu kepada yang berhak ke atasnya, iaitu negeri Trengganu dan rakyatnya.n