Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


JANGAN SAMPAI RAKYAT "GETEK" DENGAN KDN

KDN jelas mengamalkan sikap talam dua muka dalam menguatkuasa 'undang-undang' di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Bagi penerbitan pro-reformasi dan condong kepada pembangkang, yang mengkritik kezaliman pemerintah dan konco-konconya, tindakan keras dikenakan.

Lihat saja nasib majalah Detik, sudah menjadi arwah. Majalah Wasilah yang hanya mengisahkan alam remaja itupun berada di ambang maut. Baru sebulan diterbitkan, Wasilah sudah mendapat 'surat tunjuk sebab' mengapa ia tidak boleh diharamkan. Buku politik saya pernah dirampas hanya kerana kesalahan tidak meletakkan nama pencetak.

Tapi tahukah anda, buku Getek, tulisan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri paling lama di dunia (yang menjaga urusan penerbitan di negara ini) langsung tidak mempunyai nama dan alamat penerbit. Lebih jelek lagi, Umno Terengganu di bawah ketua perhubungannya, Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Dalam Negeri, menerbitkan Al-Haq, sedangkan Umno negeri itu tidak pernah mendapat permit penerbitan.

Umno Terengganu menggunakan permit penerbitan orang lain, satu kesalahan cukup serius yang membolehkan KDN mengharamkan permit berkenaan. Itulah dakwaan yang dikenakan ke atas Detik!

Lebih menjolok mata apabila lidah rasmi Umno, Wawasan Merdeka juga dikesan melakukan kesalahan sama, tidak mempunyai alamat penerbit dan pencetak - satu kesalahan yang membenarkan pegawai penguatkuasa KDN merampas akhbar berkenaan. Yang peliknya, Wawasan Merdeka diedarkan secara percuma semasa hari penamaan calon di Teluk Kemang kelmarin, termasuk kepada bukan ahli Umno, satu lagi kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak bagi penerbitan parti-parti politik.

Diharap KDN lebih prihatin dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kroni mereka, dan dalam kes Al-Haq oleh Menterinya sendiri. Akhbar-akhbar harian menyiarkan dengan jelas Pak Lah sedang melancarkan Al-Haq!

AHMAD LUTFO OTHMAN
BEKAS KETUA EDITOR DETIK


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com