Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PEMUDA KEADILAN SEDIA JADI ORANG TENGAH

IPOH, 28 Jun - Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) sedia menjadi orang tengah untuk memulihkan hubungan antara timbalan presiden parti itu Dr Chandra Muzaffar dan bekas naib presiden Marina Yusof.

Ketua pergerakan itu Mohamad Ezam Mohamed Noor berkata perbezaan pendapat antara pemimpin parti itu adalah perkara biasa dan ia menggambarkan sikap terbuka parti Keadilan.

"Sikap terbuka yang kita amalkan telah menjadikan apa yang berlaku seolah-olah pergolakan tapi sebenarnya ia adalah perbezaan pendapat," katanya ketika ditemui selepas membuat satu laporan polis di sini hari ini.

Laporan yang ditandatangani 141 orang itu berkaitan keterangan bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah Datuk Shafie Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan beliau menghentikan siasatan terhadap ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara.

Ezam yang turut mendakwa Marina masih anggota Keadilan, berkata jika perlu pergerakan itu akan mengaturkan pertemuan antara kedua-dua individu berkenaan.

Marina dalam satu temubual dengan sebuah agensi berita asing dan dipetik akhbar tempatan mendakwa perpecahan dalam parti Keadilan sangat teruk dan Dr Chandra suka memerintah secara kuku besi.

Kenyataan yang hampir sama turut diberi oleh Marina kepada sebuah akhbar harian yang menghubungi beliau semalam.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com