Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PEGUAM FAIL SAMAN ISYTIHAR MESYUARAT PEGUAM SALAH DI SEGI UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR, 19 Jun - Seorang peguam hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini memohon diisytiharkan mesyuarat agung luarbiasa yang dijadual diadakan oleh Majlis Peguam Malaysia Jumaat ini, sebagai salah di segi undang-undang.

Writ saman itu difailkan menerusi Tetuan D.P. Vijandran di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Wisma Denmark pada kira-kira pukul 11 pagi.

Raja Segaran a/l S. Krishnan, 35, telah menamakan Majlis Peguam dan 11 anggota jawatankuasa eksekutifnya sebagai defendan termasuk presiden Sulaiman Abdullah.

Yang lainnya ialah naib presiden Majlis Peguam Roy Rajasingham dan setiausahaa Kuthubul Zaman Bukhari, bendahari Mohamed Apandi Ali, peguam-peguam R.R. Chelvarajah, Cyrus V. Das, Raja Aziz Addruse, Hendon Mohamed, Mah Weng Kwai, Tommy Thomas dan Mohamed Sofian Abdul Razak.

Dalam writ itu, Raja Segaran juga memohon injunksi sementara untuk menghalang Majlis Peguam dan jawatankuasa eksekutifnya daripada mengadakan mesyuarat agung luarbiasa Jumaat ini (23 Jun).

Perbicaraan injunksi sementara antara kedua-dua belah pihak akan didengar di hadapan Hakim Datuk Dr. R.K.Nathan esok.

Dalam writ itu, Raja Segaran memohon diisytiharkan bahawa mesyuarat agung itu adalah salah, tidak sah di sisi undang-undang, cacat, batal dan tidak sah dan bertentangan dengan Akta Amalan Guaman.

Beliau juga memohon diisytiharkan bahawa notis yang dikatakan dikeluarkan oleh jawatankuasa itu dengan secara mengiklankan mengenai mesyuarat agung itu adalah salah, tidak sah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah dan/atau bertentangan dengan Akta dan merupakan kesalahan mengikut Akta Fitnah.

Dalam afidavit bagi menyokong samannya, beliau berkata pada 10 Jun, jawatankuasa itu mengeluarkan kenyataan umum bertajuk Kenyataan Umum Majlis Peguam mengenai Cadangan Mesyuarat Agung majlis itu, meminta bagi mesyuarat agung itu diadakan.

Raja Segaran berkata pada 12 Jun, beliau menulis kepada defendan meminta supaya mesyuarat agung itu tidak diadakan dan memberikan mereka (para defendan) 48 jam untuk menjawab permintaannya.

Bagaimanapun, Raja Segaran berkata beliau menerima satu faks daripada Majlis Peguam yang menyatakan bahawa mesyuarat itu akan diadakan walaupun beliau membantah.

Katanya pada 15 Jun, jawatankuasa itu mengeluarkan notis bagi mengiklankan mesyuarat itu akan diadakan pada 23 Jun di Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Katanya notis itu menyatakan bahawa mesyuarat itu dijadual diadakan untuk mengundi terhadap cadangan bagi pelantikan Tribunal atau Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin.

Kontroversi itu timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim mengulas dalam satu temuramah di Australia pada 30 Mei apabila ditanya mengenai gambar yang disiarkan dalam internet menunjukkan Eusoff sedang bercuti di New Zealand dengan seorang peguam, Datuk V.K.Lingam.

Notis itu juga menyatakan beberapa cadangan resolusi turut akan diambil pada mesyuarat itu antaranya adalah untuk melantik Tribunal atau Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan terhadap Eusoff.

Raja Segaran mendakwa antara lain bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan oleh Majlis Peguam untuk memutuskan sama ada bagi mengadakan mesyuarat agung luarbiasa seumpama itu, dan menurutnya notis itu adalah lemah kerana tidak memberikan notis yang mencukupi terhadap cadangan mesyuarat itu.

Beliau mendakwa bahawa dengan mengadakan mesyuarat tu dan menggunapakai resolusi yang dinyatakan dalam notis yang disebutkan itu akan membawa kepada kesalahan menghina mahkamah yang jika dibenarkan diadakan akan menyebabkan kerosakan terhadap keadilan pentadbiran di negara ini.

Katanya notis umum dan mukadimah cadangan resolusi itu jelas menunjukkan asas mesyuarat itu merupakan cadangan resolusi terhadap dakwaan yang dibuat terhadap Eusoff.

Raja Segaran juga menuntut ganti rugi, kos dan faedah-faedah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com