Parti Rakyat Malaysia (PRM) berpendapat adalah sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mempersembahkan kepada Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong supaya tempoh khidmat Tun Eusoff Chin sebagai Ketua Hakim dilanjutkan.
Eusoff Chin telah membuat beberapa penafian terhadap tuduhan bahawa beliau telah bercuti bersama dengan seorang peguam, Datuk Lingam, di New Zealand pada tahun 1994. Melalui Internet, khususnya Malaysiakini, telah dikemukakan bukti-bukti nyata bahawa tidak benar Eusoff menemui Lingam secara kebetulan. Segala bukti tersebut jelas menunjukkan bahawa Eusoff dan Lingam bersama-sama dalam satu penerbangan ketika pergi balik dari Singapura dan New Zealand, dan semasa berada di New Zealand. Bahkan ada keterangan bahawa mereka bersama-sama makan angin dalam sebuah bot.
Eusoff memilih tidak mahu membuat apa-apa penjelasan atas bukti serta keterangan yang diberi dalam Malaysiakini. Perdana Menteri pula tidak menghiraukannya dan tidak mahu berusaha sama sekali melakukan penyiasatan. Ini menimbulkan berbagai-bagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Mereka mahu mengetahui: adakah kemungkinannya segala bukti dan keterangan ini benar? Jikalau begitu, adakah bererti bahawa Eusoff tidak bercakap benar? Mengapakah Dr Mahathir tidak mahu memulakan siasatan? Adakah beliau bimbang bermacam-macam perkara yang hendak disembunyikan akan terbongkar?
Sekarang perkhidmatan Eusoff sudah tentu akan dilanjutkan. Mengapa? Mahathir mengatakan Eusoff memerlukan masa untuk menyelesaikan beberapa hal. Tetapi mengapakan hal-hal ini tidak boleh diselesaikan sebelum tempoh khidmatnya tamat? Seterusnya Mahathir menerangkan tempoh khidmat ini perlu dilanjutkan supaya Eusoff boleh meneruskan khidmat baiknya. Apakah dia khidmat itu? Tidak bolehkah ia dilakukan oleh orang lain yang menggantinya. Kami ingin bertanya: adakah perlanjutan tempoh ini sudah dijanjikan? Jikalau demikian mengapa? Benarkan bahawa perlanjutan tempoh itu diperlukan untuk melihat kes Anwar tamat dulu?
Sama ada Eusoff menjelaskan yang sebenarnya atau tidak, dan sama ada Mahathir melakukan siasatan atau tidak, yang nyata ialah wibawa Tun Eusoff sebagai seorang individu dan apatah lagi sebagai Ketua Hakim telah dipersoalkan. Oleh itu PRM berpendapat bahawa khidmatnya hendaklah jangan dilanjutkan. Lebih penting lagi, sebuah Suruhanjaya atau Tribunal hendaklah dibentuk oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk menyiasat tingkah laku Eusoff, terutama sekali berhubung gambarnya bersama Lingam serta isteri mereka. Nama beliau perlu dibersihkan. Kredibiliti serta integriti kehakiman perlu dipulihkan.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
17hb Jun 2000