KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu akan menganjurkan kejohanan ragbi 10 tertutup bulan depan dalam usahanya mencungkil bakat baru di negeri itu.
Presiden Persatuan Ragbi Terengganu Agil Mustapha berkata kejohanan itu akan dijadikan asas untuk pemilihan pemain-pemain negeri.
Terengganu juga akan menganjurkan kejohanan liga negeri pada Ogos manakala kejohanan 10 terbuka dijadual berlangsung 2-3 Sept ini.
Agil berkata kejohanan itu bertujuan untuk menarik lebih ramai pasukan bermutu dan handal.
Pemenang akan mnerima hadiah wang tunai RM2,000, RM1,300 dan RM800.
Agil berkata sehingga kini, lima pasukan termasuk juara tahun lepas iaitu Tentera Australia telah mengesahkan akan mengambil bahagian.
Empat pasukan lain ialah pusat latihan kejuruteraan Tentera Darat (JLJ), Black Hawk Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bank Bumiputra.
Tarikh akhir penyertaan ialah 10 Ogos.