Tarikh : 20 September 2000
Tempat : Kuala Lumpur
Peserta : Anak-anak reformasi jiwa merdeka
Pada 20 September 1998, rakyat Malaysia yang berani
dan cintakan perubahan pernah menunjukkan keperkasaan
mereka melimpahi jalan-jalan ibu kota.
Pakcik, makcik, teruna dara, siswa dan teknokrat,
Melayu, India dan Cina, Islam dan bukan Islam
seterusnya mengasak kerajaan pimpinan Dr Mahathir
sepanjang bulan itu hingga November.
Sebulan dua lagi, September datang lagi.
September kali ini adalah ulang tahun kedua perjuangan
rakyat untuk menuntut maruah dan harga diri. Golongan
yang bacul dan boleh dibeli akan berkata mereka ini
dengan apa sahaja tuduhan tetapi sejarah tidak akan
membohongi penyokong reformasi yang menuntut keadilan
dan kebenaran.
September tahun lepas disambut oleh sekumpulan anak
muda di Pasar Seni dan perarakan mereka sampai ke
Kompleks Kota Raya.
September itu juga mengejutkan kita dengan keracunan
arsenik bekas Timbalan Perdana Menteri, Sdr Anwar
Ibrahim.
Sekali lagi, rakyat melimpahi padang dan jalan untuk
menuntut penjelasan yang tulus dan benar daripada
kerajaan.
Rakyat yang berani walaupun berkali-kali dibelasah dan
ditangkap akan tetap mengunjungi gelanggang
kepahlawanannya. Mereka tidak pernah gusar.
Pada 20 September 2000 akan datang, rakyat akan
melimpahi lagi medan-medan pertempurannya.
Laungan Re-for-ma-si bergema lagi. Kekudusan laungan
ini berkumandang memecahkan hiruk-pikuk kota.
Di sini medan perayaan demokrasi tulen. Jeritan
kebenaran anak-anak reformasi akan tersingkap lagi.
Suara mereka menembusi tujuh lapis langit mencari
kebenaran hakiki. Tidak ada penghalang kepada jiwa
yang bebas.
Bangsa yang merdeka di bumi bertuah ini harus bersedia
memacak tugu kebenaran. Panji-panji keadilan harus
tertegak semula. Hari itu ialah 20 September 2000.
Tiang-tiang seri kepalsuan yang ditegakkan atas
penipuan oleh tali barut-tali barut Dr Mahathir akan
bergoncang kali ini. Mereka akan jatuh
berkeping-keping kecil-kecil seperti dirobek
anai-anai. Rakyat-lah anai-anai itu.
Lihat anai-anai itu, busutnya sahaja gagah perkasa.
Binaan pejal punah-ranah dek ketekunannya. Kamilah
anak-anak reformasi, anai-anai yang memusnahkan jiwa
firaunisme Mahathir.
Lupakanlah persengketaan, atas nama kebenaran, kita
laungan reformasi. Lupakanlah barang sejenak khayalan,
atas nama keadilan, kita maju beriringan bersama
re-for-ma-si.
Kepalsuan biar sekukuh mana tiba masanya akan tumbang.
Tuhan tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Re-for-ma-si!
Re-for-ma-si!
Re-for-ma-si!