SIK, 23 Jun - Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad yang terbabit dengan kontroversi peletakan jawatan sebagai anggota Parlimen Sik, hari ini erikrar akan menyerahkan 80 peratus elaun wakil rakyat yang diterimanya kepada lebih kurang 55,000 penduduk kawasan terbabit.
Beliau melafazkan ikrar itu ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin daripada 78 cawangan Pas di Sik, pertemuan pertamanya dengan masyarakat setelah isu peletakan jawatannya dipaparkan media tempatan.
Elaun tersebut tidak termasuk 20 peratus untuk disumbangkan kepada parti, akan diuruskan oleh Pusat Pembangunan Komuniti dan Komunikasi Wakil Rakyat Sik (PKWR), katanya.
Beliau turut menjelaskan hasratnya untuk meneruskan tugas sebagai wakil rakyat dan isu peletakan jawatan yang digembar-gemburkan oleh media dalam pertemuan itu yang berlangsung selama sejam di Markas Pas Kawasan Sik, Sungai Pau di sini.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shahnon berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai anggota parlimen walaupun menghadapi masalah kesihatan.
"Memang kesihatan saya terganggu tetapi ia menuju ke arah pemulihan," katanya yang kali terakhir melakukan lawatan kerja ke kawasan Sik bulan lepas.
Beliau berkata PKWR akan ditugaskan untuk menggembeling usaha bagi mengatasi masalah kemiskinan penduduk di Sik.
Ia ditubuhkan selepas pilihan raya umum lalu dan dianggotai oleh lapan petugas di dua buah pejabat dan Shahnon membiayai segala aktiviti pentadbiran dengan mengeluarkan RM2,500 sebulan.
"Pusat ini juga menjalankan aktiviti ekonomi, pendidikan, kewangan politik, sosial, kebajikan dan kemudahan infrastruktur," katanya.
Sementara itu, Shahnon berkata beliau tidak pasti lagi akan menghadiri persidangan parlimen bermula 10 Julai ini dan ia bergantung kepada keadaan esihatannya.
"Jika sihat, saya akan hadir. Jika tidak sihat, saya akan kemukakan surat cuti dengan disertai surat sokongan doktor," katanya.