KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyifatkan pemberian peruntukan RM100,000 kepada semua wakil rakyat sebagai petanda ketelusan dan keadilan Kerajaan Baru.
Beliau berkata dasar pembahagian peruntukan sama rata ini jelas membezakan cara pentadbiran adil dan telus di bawah kerajaan baru berbanding kerajaan lalu.
"Kita (kerajaan sekarang) membahagikan peruntukan kepada semua wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan berbeza dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu," katanya ketika ditemui WARTA di Pejabatnya di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Menurut beliau, yang penting ialah semua rakyat di semua kawasan pilihan raya mendapat hak mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa dari peruntukan kerajaan mengira siapa yang mereka dalam pilihan raya sama ada dari parti pembangkang atau kerajaan.
Negeri Terengganu memecah tradisi dengan memberi peruntukan kepada semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk empat dari pembangkang Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta merta.
Mereka terdiri dari ADUN Seberang Takir, Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah, ADUN Telemong, Tengku Putera Tengku Awang. ADUN Kemasek, Dato’ Haji Mohamad @ Abu Bakar Ali dan ADUN Ajil, Encik Rosol Wahid.
Lazimnya menjadi amalan Kerajaan BN, peruntukan untuk membiayai projek-projek kecil itu diberi kepada wakil rakyat kerajaan sahaja. Sejak peruntukan itu diadakan untuk wakil-wakil rakyat, kerajaan BN hanya memberi kemudahan itu kepada wakil rakyat parti pemerintah sahaja.
Tindakan yang diambil oleh Kerajaan Terengganu itu sepatutnya dicontohi oleh semua negeri dan Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa dukacitanya kerana Kerajaan Pusat tidak mengamalkan amalan terbuka dan adil ini untuk mempercepatkan pemberian geran wajib kepada rakyat negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Pusat juga memperlambat-lambatkan projek Lebuh Raya Pantai Timur yang dijanjikan untuk dilaksanakan segera.
Sementara itu Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata semua wakil rakyat terbabit mesti terlebih dahulu mengemukakan senarai projek yang mahu dilaksanakan di kawasan masing-masing kepada Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut. Setiap Kawasan Dewan Undanagan Negeri (DUN) diberi peruntukan sebanyak RM100 ribu setahun untuk ADUN.
Ini bererti Kerajaan Terengganu menyediakan sejumlah RM3.2 juta untuk ADUN seluruh negeri Terengganu tahun ini.
Peruntukan bagi Ahli Parlimen dibiayai oleh Kerajaan Pusat. Sementara itu seorang pegawai kerajaan Kamarul Zaman Abdullah , 43 dari sini menyokong usaha kerajaan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai suatu tindakan adil dan telus.Katanya sepatutnya itu menjadi amalan sejak dahulu kerana kepentingan rakyat perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.
"Kita bukan mahu utamakan wakil rakyat tetapi yang mustahak projek rakyat perlu dilaksanakan tanpa memilih bulu," ujarnya.
Beliau mengharapkan peruntukan diberikan itu digunakan untuk menunaikan kehendak rakyat tanpa mengira parti dan kaum. Sepatutnya Kerajaan Pusat turut menunaikan tanggungjawab ini dengan berlaku adil kepada rakyat termasuk di negeri bukan BN memerintah seperti Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu seorang peniaga dari Besut, Haji Abdul Halim Tausah mengucapkan syabas kepada kerajaan Negeri kerana berjaya memecah tradisi dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh kerajaan terhadap rakyat selama ini. Beliau berkata peruntukan projek kecil itu disediakan kerajaan untuk setiap DUN tetapi kerajaan lalu mengabaikan tanggungjawab mengeluarkan peruntukan itu untuk DUN yang dimenangi parti pembangkang.
"Ia tiada tujuan politik tetapi ia menggambarkan betapa kesungguhan kerajaan sekarang menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat," katanya.