KUALA LUMPUR, - Polis mengenal pasti dua murid lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes serangan terhadap seorang murid perempuan tahun satu di sebuah sekolah di Pandan Indah, Ampang, semalam.
Polis juga turut menemui sepasang gunting dengan kesan darah yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk menikam mangsa.
Sumber polis berkata, identiti dua murid lelaki yang dipercayai menyerang mangsa diketahui melalui keterangan awal mangsa kepada polis.
Katanya, gunting itu pula dijumpai berhampiran tempat mangsa dipercayai diserang kumpulan berkenaan.
“Menurut mangsa, murid yang menyerangnya adalah murid sekolah itu sendiri,” kata sumber berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata hingga kini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian itu kerana siasatan lanjut masih dijalankan.
“Murid yang dikatakan menyerang mangsa itu tiada di sekolah ketika polis ke sana untuk menjalankan siasatan. Jika dakwaan mangsa benar, mereka akan ditahan selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa melakukan proses pengecaman itu selepas polis membawa beberapa keping gambar pelajar yang disyaki ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa cedera parah akibat ditikam sekurang-kurangnya lapan kali oleh sekumpulan murid. Mangsa dipercayai ditikam di bahagian belakang, paha kiri, rusuk kiri.
Mangsa yang dipercayai mangsa peras ugut itu dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran tempat menunggu bas kira-kira jam 4 petang dan kini dirawat di wad kanak-kanak HUKM.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil tetapi polis tidak boleh mendapatkan keterangan lebih lanjut kerana keadaannya masih lemah.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Majib Abdullah, 34, berkata beliau tidak menyangka anaknya, Nurul Shuhadah, menjadi sasaran peras ugut sehingga hampir meragut nyawanya.
Katanya, sebelum ini Nurul tidak pernah mengadu mengenai sebarang gangguan oleh murid sekolah itu.
Beliau berkata, anaknya juga tidak pernah mengadu wang saku sebanyak RM1.50 hingga RM2 sehari yang diberinya tidak mencukupi atau diambil oleh murid lain.
“Saya tak tahu sama ada anak saya takut untuk menceritakan ugutan yang diterimanya. Nurul biasanya suka berterus terang dan akan bercerita kepada ibunya apa yang dilakukan di sekolah.
“Saya tidak sangka anak saya dicederakan oleh murid sekolah itu sendiri kerana apa yang saya tahu tidak pernah ada laporan mengenai kes seumpama itu di sekolah berkenaan. Rekod sekolah itu bersih,” katanya ketika ditemui di HUKM, hari ini.
Abdul Majib berkata, beliau pada mulanya bimbang selepas melihat kecederaan yang dialaminya anaknya tetapi bersyukur kerana terselamat dalam serangan yang disifatkan sebagai keterlaluan untuk dihadapi oleh seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun.
“Daripada cerita Nurul, beliau memberitahu bahawa murid itu turut membenamkan kepalanya ke dalam air longkang sehingga menyebabkannya hampir lemas. Anak saya pengsan tetapi sempat berpegang ke palang besi di dalam longkang berkenaan.
“Nasib baik air di dalam longkang itu tidak terlalu dalam. Jika hari hujan tentu nasib Nurul sukar dipastikan,” katanya.
Mengimbas kembali pada hari kejadian, Abdul Majib berkata kehilangan Nurul diberitahu oleh anak sulungnya selepas gagal mencarinya di kawasan sekolah.
“Ketika itu, anak sulung saya menghantar Nurul ke tempat menunggu bas di hadapan sekolah itu sementara beliau mengambil seorang lagi adiknya sementara mengunggu bas untuk pulang ke rumah.
“Bagaimanapun ketika anak sulung saya kembali semula ke tempat menunggu bas itu, kira-kira beberapa minit kemudian, beliau mendapati Nurul tiada. Anak sulung saya kemudian menghubungi saya mengenai kehilangan Nurul.
“Saya cuba mencari Nurul dan terperangkap apabila melihat Nurul di dalam longkang berhampiran sekolah berkenaan,” katanya.
Sementara itu Guru Besar sekolah itu, Bisiri Singat, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan.