Petikan :
Tranung Kite eGroups
Oleh Tarmizi Mohd Jam
Kemenangan Umno dan BN dalam pilihanraya umum lalu tidak lagi bergantung
kepada undi Melayu. Sokongan orang Cina dan India telah menyelamatkan
Umno dari berkubur. Kemerosotan jumlah ahli parlimen Umno kepada 76
orang daripada 104 calon parti itu yang bertanding, membuktikan bahawa
orang Melayu sudah tidak yakin lagi kepada Umno untuk memerintah negara
ini.
Kemenangan ini juga, terangka dari strategi “jahat” BN dengan menafikan
hak ke atas 650,000 pengundi baru yang rata-ratanya mendaftar sebagai
pemilih untuk menolak BN dalam pilihanraya itu. Jika mereka dibenarkan
mengundi, BN dan Umno sudah tentu gagal meraih 2/3 majoriti kerusi
parlimen. Atau lain perkataan, BN dan Umno tentunya sudah menjadi
pembangkang hari ini!
Pada keseluruhannya, calon-calon BA telah mendapat sokongan padu
daripada para pengundi Melayu. Kekalahan tipis mereka di kawasan-kawasan
60 peratus Melayu adalah akibat undi bukan Melayu yang merasakan mereka
perlu menyelamatkan BN.
Sementara itu, pengundi-pengundi di kawasan 80 peratus Melayu seperti di
Kelantan, Terengganu dan Kedah telah memperlihatkan bahawa Umno sudah
tidak lagi relevan untuk politik negara pada milenium baru. Kekalahan
teruk Umno di Kelantan dan Terengganu serta kejayaan PAS memperoleh
kerusi di Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang
membuktikan bahawa keyakinan orang Melayu sudah beralih, memilih BA.
Kepercayaan mereka terhadap “khurafat besar” kononnya hanya Umno sahaja
yang boleh memerintah di negara ini, hampir berjaya dilenyapkan. Ini
telah menyebabkan Umno secara “terpaksa”, terpaksa bergantung kepada
undi bukan Melayu dalam meneruskan kesinambungan kuasanya memerintah
Malaysia, sehingga mereka berjaya menguasai 72 kerusi daripada 148
kerusi BN di Parlimen.
Provokasi yang dilangsungkan oleh BN secara berkesan dengan “ugutan”
yang bertalu-talu melalui media kuasaan mereka terhadap orang bukan
Melayu telah menyeret DAP keluar dari sokongan mereka dan ramai
calon-calonnya yang kalah teruk kepada calon BN. Tindakan biadap media
massa meantream ini, yang telah memomokkan para pengundi bukan Melayu
dengan isu perkauman dan agama serta fitnah-fitnah kepada pemimpin
alternatif telah membantu BN untuk mengauk kemenangan yang tidak
bermoral itu.
Jika provokasi ini tiada, kemungkinan rakyat untuk melakukan perubahan
terhadap kepimpinan negara, berlaku dengan selesa. Akibat provokasi itu,
jumlah ahli parlimen Umno dan ahli parlimen BN yang bukan Melayu
seimbang. Ini menyebabkan, rakyat sangsi melihat masa depan politik
orang Melayu akibat bargaining power ini.
Ini bermakna, Umno kemungkinan akan “menggadai” banyak kepentingan
Melayu demi untuk mendapat sokongan pemimpin BN yang bukan Melayu, yang
kini mulai dominan. Kekalahan DAP telahpun menjanjikan kelemahan yang
ketara kepada Umno kerana meningkatnya jumlah ahli parlimen bukan Melayu
dalam komponen BN.
Namun begitu, kekalahan beberapa orang pemimpin Umno yang bertaraf
menteri dan timbalan menteri serta juga kemenangan tipis beberapa
pemimpin kanan Umno, jelas membuktikan bahawa rakyat telah
menterjemahkan perasaan jijik mereka terhadap kezaliman, kerakusan,
penyelewengan dan penyalahguanaan kuasa pemimpin BN.
PAS secara umumnya, yakin dengan perkembangan baru sikap orang Melayu
terhadap Umno itu. Keputusan pilihanraya di Sanggang tidak boleh jadi
ukuran bagi membaca kecenderungan orang Melayu.. Berikutan penolakan
mereka terhadap Umno dalam pilihanraya 99 itu, telah meyakinkan PAS
sebagai parti saingan terdekat, bahawa karier politik Umno yang kotor
itu akan berkubur dan PAS akan tampil untuk mengambil-alih kepimpinan
baru politik Melayu dengan cekap dan adil, pada masa depan.
Apakah yang hendak dibanggakan oleh BN, jika undi popular hanya berjaya
diraih 56 peratus sahaja dari lebih tujuh juta orang pemilih yang keluar
mengundi?