Petikan :
Tranung Kite eGroups
Oleh TARMIZI MOHD JAM
Undi orang Melayu berubah. Umno hampir tumbang dibanyak kawasan. Protes
terhadap Mahathir berterusan. Ezam dan rakan-rakannya mengistiharkan
setiap tanggal 14 April mulai tahun ini, adalah Hari Kezaliman Mahathir.
Kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno, dilarang dari
dipertandingkan.
Kecenderungan Mahathir untuk menjadi PM dan Presiden Umno seumur hidup
mula dibahas. Implikasinya, kemarahan rakyat terhadap Mahathir ini,
telah mendedahkan Umno kepada kemerosotan nilai dan pengaruh yang amat
sangat.
Benar atau tidak, Umno kini telah memasuki zaman kejatuhannya.
Pandangan ini agak meluas dan dominan dibicarakan orang. Usia Umno kini
sudah menjangkau 54 tahun sejak dilahirkan pada 11 Mei 1946. Tempoh 43
tahun "berkuasa" juga telah banyak mengundang "kebencian" rakyat dalam
menghirup pembangunan. Apakah kewujudan Umno dapat dipertahankan untuk
setengah abad lagi?.
Umno sebagai sebuah organisasi tidak dapat mengelak dari mengalami zaman
kemerosotan dan kejatuhan. Lambat-laun, masanya akan tiba jua. Kini,
usianya telah menjangkau era menopaus iaitu satu era Umno akan
kehilangan daya tahan badan melawan penyakit. Pertambahan ahlinya ke
angka 2.4 juta sebenarnya tidak mampu untuk memperkuatkan organisasi,
apatah lagi penyertaan genarasi baru dikatakan memiliki komitmen yang
rendah dalam memperkukuhkan idealisme parti.
Hakikatnya, orang Melayu menyokong Umno kerana Umno memaut kuasa. Tanpa
kuasa, Umno dengan mudah dilonggokkan ketepi. Orang Melayu tidak akan
menyokongnya lagi seperti sekarang. Setelah berusia 53 tahun, Umno
ibarat seorang wanita yang memasuki usia menopaus atau "putus haid".
Beberapa pemimpin utama Umno berpendapat, selagi Umno berkuasa dan
selagi kuasa tidak disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, sehingga
berlaku ketidakadilan yang “menjolok mata” dan seterusnya boleh
menyisihkan rakyat yang menyokongnya, maka selagi itulah Umno akan
menjadi satu-satunya parti Melayu yang unggul dan didokong oleh
orang-orang Melayu 100 tahun akan datang.
Perkhabaran ini benar jika "ketidakadilan yang menjolok mata" itu tidak
kelihatan. Namun begitu, faktor berkenaan sudah dilihat, dibahas dan
diadili rakyat. Presiden Umno sendiri dikatakan sebagai pemegang kuasa
yang sudah korup, tidak adil dan bermain kuasa secara “menjolok mata”.
Sekalipun, dalam minda dan psyche orang Melayu, terutama di luar bandar
terdapat semacam kepercayaan karut, tanpa Umno orang Melayu hancur; bagi
mereka, Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno, namun tanggapan itu sudah
banyak berubah.
Perubahan kian meledak. Parti-parti alternatif rasanya mampu membawa
perjuangan yang adil dan saksama. Rakyat mula celik melihat adanya
alternatif kepada Umno. Selama ini, mereka menyokong Umno bukan secara
dirancang tetapi terpaksa kerana tidak terdapat pilihan yang viable.
Mungkin juga tidak benar, tetapi banyak pihak merasakan hal yang
demikian.
Pengaruh PAS dilihat terbatas di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan
Utara Perak. Begitu juga Semangat 46 yang didalangi rasa geram dengan
kebencian terhadap Dr. Mahathir, dianggap alternatif paling "serasi"
dengan Umno, tetapi mengalami nasib lebih teruk dari PAS dalam
pilihanraya 1990 dan 1995 hinggalah ianya berkubur.
Gabungan pembangkang musim ini, PAS, KeAdilan, DAP dan PRM dikatakan
lebih mantap. Rakyat mula menerima ia sebagai parti-parti alternatif
yang kuat dan berketrampilan dalam menggantikan BN. Usia Umno yang
telah tua meyakinkan rakyat untuk memilih kerajaan baru yang lebih
kuat. Apatah lagi sayap Pemuda dan Wanita Umno telah lumpuh. Malah
tulang belakangnya, Anwar Ibrahim patah di tengah jalan. Semua faktor
ini dilihat sebagai kekuatan kepada pembangkang dan kelemahan Umno yang
sukar diperbaiki.
Kejatuhan Umno Kelantan adalah bukti klasik betapa kehancuran parti itu
bukannya disebabkan oleh pembangkang tetapi oleh anasir dari dalam.
Ini diakui sendiri oleh Wan Mokhtar dalam mengiyakan kejatuhan
kerajaannya di Terengganu.
Umno hari inipun begitu. Penyingkiran biadap Timbalan Presidennya,
Anwar dan diikuti penukaran Ketua Pemudanya, Zahid Hamidi dan
pemencilan Ketua Wanita, Zaharah Sulaiman adalah isyarat kejatuhan parti
itu. Bukankah perpecahan 1987 juga menjadi faktor keruntuhan Umno yang
menyaksikan pertandingan merebut jawatan Presiden parti oleh Ku Li?.
"Umno mustahil runtuh dari luar. Parti itu terlalu kuat untuk
ditumbangkan. Yang boleh menghancurkan Umno ialah percakaran sesama
sendiri di kalangan elit-elit politiknya atas apa jua alasannya," tegas
Rustam A. Sani.
Kalau pada waktu itu terdapat alternatif yang sama viable dengan Umno,
maka masalah utama orang Melayu mencari parti atau kerajaan alternatif
dapat diselesaikan. Hari ini rakyat melihat kelas menengah yang
menyertai parti itu tidak lebih untuk mengisi "temolok" mereka dan bukan
untuk berkongsi idealisme dalam perjuangan. Golongan petani dan
guru-guru sudah mulai terhakis dan kini digantikan oleh korporat dan
usahawan.
Untuk apa mereka berada dalam Umno? Kerana Umno sudah dilihat sebagai
"lombong emas" yang boleh memberikan kekayaan kepada mereka dan bukan
untuk membalas budi kepada bangsanya.
Sebagai sebuah parti yang pragmatik, "pragmatik" itulah yang menyebabkan
Umno mengalami menopaus atau "putus haid" dan memaksa perjuangannya
menuju ke arah politik wang, penyalahgunaan kuasa, meterialistik dan
korupsi.
Dapatkah Umno mempertahankan kuasanya 2004 nanti? Mampukah "Tongkat
Ali" atau "Viagra" mengubati penyakit menopaus itu? Atau parti itu akan
tersingkir dari dokongan rakyat setelah "kezaliman" dilakukan terhadap
orang nombor duanya, Anwar? Mungkinkah juga gabungan pembangkang kali
ini viable setanding dengan Umno dan Barisan Nasional?