Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Umat Islam dan Permasalahannya

Oleh Cucu Tok Wang,
Seberang Pintasan, Dungun Terengganu DI.

Ulama dan Pimpinan.

Kalau kita lihat pada dunia umat Islam kini dan kita kaji kelemahan yang ada, kita mampu menulis satu analisa kertas kerja yang tebal. Umat islam yang sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini tidak menampakkan keupayaannya. Dari segi ekonomi, politik, ilmu dan keterbukaan minda, nyata umat islam jauh ketinggalan. Keadaan ini menjadikan tanggapan dan harapan untuk memimpin dunia menyalahi logik dan jauh meleset.

Di manakah salahnya umat islam? Pejuang Islam di mana mana di dunia dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan umat islam, melaung dan mengajak umat islam "kembali kepada islam". Realitinya, perlaksanaan tidak semudah yang kita sangka.

Negara umat islam yang cuba berjinak dengan sistem islam terperangkap akhirnya oleh pimpinan bertaraf ulama yang tidak mahu mengakui kelemahan mereka dalam menangani isu ekonomi dan sosial. Oleh kerana khuatir akan kesedaran rakyat jelata, banyak di antara mereka telah menukarkan corak pemerintahan daripada yang dulunya agak berdemokrasi kepada yang kininya agak berkuku besi untuk mengekalkan tampuk pemerintahan yang dikuasai dan demi mengelakkan kebangkitan rakyat.

Rakyat yang cuba bangun memprotes pula dicap sebagai mereka yang menentang islam. Alasan penentangan terhadap islam digunakan sebagai lesen untuk mematahkan perjuangan meminta perubahan. Pejuang yang cuba mencetus gelombang perubahan ditangkap, diseksa dan dipenjarakan.

Islam dan Persepsi.

Di mata bukan islam, alim ulama islam disalahanggap sebagai mereka yang hanya memandang perempuan sebagai sumber kemaksiatan dan kemungkaran. Adakah kerana penekanan yang berlebihan dalam perkara tertentu oleh ulama membolehkan bukan islam berpendirian sedemikian? Atau adakah kerana penekanan yang tidak seimbang itu menampakkan ulama sebagai mereka yang sempit fikiran di mata bukan islam?

Di dalam satu artikel yang ditulis oleh seorang bukan islam tentang pemerhatiannya pada kehidupan dan budaya umat islam, beliau secara kehairanan menerangkan sikap cerdik pandai islam yang membincangkan perkara yang tidak-kena-pada-tempat seperti perihal keadaan hubungan jenis suami isteri di dalam syurga. Sedangkan, pada pandangan beliau, cerdik pandai islam kini sepatutnya berusaha keras menyumbang idea dan tenaga untuk memperbaiki situasi dan memajukan taraf kehidupan umat islam yang jauh ketinggalan dalam segenap bidang.

Kita dapati terlalu banyak ketidakseimbangan dan ketidakfahaman yang masih mewarisi mentaliti umat islam. Sebagai contohnya penekanan pada kebenaran yang Allah berikan kepada lelaki islam dari segi syarak untuk mengahwini sehingga empat perempuan. Sedangkan apa yang banyak di antara kita lupa menekankan ialah tentang suruhan Allah supaya mengahwini seorang sahaja sekiranya kita takut akan ketidakmampuan kita untuk berlaku adil. Allah juga menegaskan bahawa kita tidak akan mampu berlaku adil walaupun setekad dan sekuat mana usaha kita berikan.

Maka tidak hairanlah jika kesangsian sebegini wujud bukan sahaja di kalangan bukan islam, tetapi juga di kalangan orang islam yang berpendidikan dan berpandangan terbuka. Mereka sangsi dengan keikhlasan cerdik pandai yang berpengetahuan tentang islam. Mereka sangsi dengan golongan yang berkupiah dan berserban. Mereka sangsi dengan golongan yang berjanggut panjang yang dengan cepat dan fasih menuturkan hadis dan Quran.

Kesangsian terhadap kejujuran ulama islam yang wujud sama ada di fikiran bukan islam mahupun orang islam telah menghalang keberkesanan dakwah dan kesedaran yang cuba digerakkan.

Siapa yang lebih islam?

Negara islam di dunia masing masing mempunyai pendirian sendiri tentang keislaman masing masing. Ada yang mengaku mereka lebih islam daripada rakan rakan mereka di negara jiran. Permasalahan siapa lebih islam bukan sahaja menjadi perdebatan negara dengan negara, tetapi juga menjadi perdebatan sesama pengikut aliran yang berbeza - wahabi dengan bukan wahabi, sunni dengan syi'i, salafi dengan bukan salafi, dan hanafi dengan shafie dan banyak lagi.

Pengikut faham yang berbeza ini bertelagah tentang isu isu luaran seolah olah isu tersebut merupakan isu dasar. Kita juga bertelagah tentang perkara yang shariah telah membenarkan kewujudan pendapat dan pegangan yang berbeza seolah olah tidak wujud cara penyelesaian yang lainnya. Kekadang kita prihatin dalam sesuatu perkara tetapi kita luahkan dengan cara yang salah dan menjemput ketegangan. Seringkali, kita menimbulkan pergeseran dari mengajak ke arah perdamaian.

Peperangan antara Iran dengan Iraq di tahun 80an yang berlangsung selama hampir 10 tahun telah merugikan kedua dua pihak. Walaupun kedua dua pihak mendakwa merekalah juara, kenyataannya tiada siapa yang menang. Kesan peperangan adalah di luar keupayaan fikiran kita untuk digambarkan. Peperangan yang dulunya didalangi oleh Amerika Syarikat dengan tujuan melumpuhkan Iran, akhirnya menjadi peperangan fahaman agama di antara golongan sunni dan syi'i.

Arab Saudi, Kuwait dan negara negara teluk lainnya membantu Saddam Hussien dalam bentuk kewangan menentang Ayatollah Khomeini dan rakyat Iran. Saddam Hussien yang memang gilakan kuasa telah sanggup menggunakan senjata kimia menentang lawannya. Beliau juga telah dengan kejamnya menguji keberkesanan senjata kimia tersebut terhadap rakyatnya sendiri yang berbangsa Kurdis yang menentang pemerintahannya untuk menuntuk kemerdekaaan.

Pertubuhan Negara Umat Islam.

Selepas Iran dan Iraq mengangkat senjata masing masing, Iraq yang kecewa dengan peperangan yang tidak membawa keuntungan telah mendakwa Kuwait mencuri hasil minyaknya. Dakwaan tersebut walaupun ada kebenarannya kerana kedua dua negara berkongsi reservoir minyak yang sama dan oleh kerana sibuk dengan peperangan industri minyak Iraq sedikit tergendala, tetapi Iraq di bawah pimpinan Saddam tidak seharusnya mencipta masalah baru kepada masalah yang telah sedia ada.

Penaklukan Kuwait oleh Iraq telah menjemput pelbagai masalah baru kepada umat islam terutamanya dalam bentuk pemikiran dengan kedatangan kaum bukan islam sebagai pendamai untuk mengseimbangkan kuasa Iraq di Timur Tengah. Kita menyaksikan pelbagai reaksi daripada negara negara umat islam tentang penaklukan tersebut. Penduduk Palestin dan Lubnan yang banyak menerima bantuan kewangan daripada Kuwait telah berpaling menyokong pendudukan Iraq ke atas Kuwait setelah Saddam menyatakan hasratnya membahagikan negara Kuwait kepada beberapa bahagian.

Pertubuhan Negara Negara Umat Islam (OIC) tidak mampu memainkan peranan yang sepatutnya. Arab Saudi tidak patut dipersalahkan walaupun menjemput Amerika Syarikat kerana telah diakui oleh majoriti umat islam bahawa negara negara umat islam tidak mampu bersepakat sebulat suara untuk membantu dan menyelesaikan pertelingkahan yang ada kerana masing masing mempunyai pendapat dan agenda yang berbeza. Ramai mengatakan, kalau tidaklah kerana kedatangan tentera Amerika Syarikat, Arab Saudi sudah tentu akan menjadi negara yang kedua di bawah taklukan Iraq.

Lebih malang, sesama negara Arab, tidak satupun negara yang sanggup duduk semeja berbincang secara damai tentang permasalahan umat islam. Masing masing mahu menunjukkan pengaruh yang ada. Arab Saudi tidak mahu mengakui kepimpinan dan peranan Mesir. Jauh lagi untuk Mesir mengakui kepimpinan dan peranan Arab Saudi.

Sumber Alam dan Ekonomi.

Penguasaan Suharta selama 32 tahun telah membolehkan beliau mengumpul harta yang bernilai lebih daripada 40 bilion US Dollar. Harta sejumlah itu kalau dilaburkan pada tempat yang sesuai akan menjadikan Indonesia sebuah negara yang kuat dari segi ekonomi kerana kapasiti pasarannya yang besar disebabkan jumlah penduduknya yang melebihi 200 juta orang.

Dilimpahi dengan kekayaan hasil bumi seperti minyak asli (simpanan sebanyak 5 bilion barel), hutan tropika yang luas, mineral dan tanah yang subur untuk perladangan, Indonesia tidak sepatutnya tergolong di antara negara membangun yang paling miskin di dunia. Jauh untuk dibandingkan dengan negara kita. Indonesia selepas ekonomi krisis 1997-98, perkapita pendapatan tidak melebihi daripada 500 US dollar setahun dibandingkan sebelum krisis sebanyak lebih kurang 3000 US dollar setahun.

Rakyat Indonesia kini adalah 6 kali ganda lebih miskin dibandingkan dengan keadaan mereka sebelum krisis ekonomi. Walaupun angka tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar di Indonesia yang nyata lebih ramai rakyatnya hidup jauh lebih miskin daripada itu, ia membayangkan betapa daifnya taraf kehidupan yang dimiliki oleh rakyat Indonesia setelah prestasi ekonomi yang dulunya tumbuh sebanyak 6 peratus, kini tumbuh dengan tidak melebih 2 peratus sahaja ditambah pula dengan kedudukan mata wang yang tidak stabil dan terus menjunam.

Iran, semenjak revolusi di tahun 70an, ekonomi Iran telah jauh ketinggalan. Di bawah pemerintahan ulama(?), ekonomi iran merundum dan di tahap yang paling teruk di dalam sejarah negara iran, walaupun negara tersebut memiliki hampir 90 bilion barel simpanan minyak. Nilai tukaran asing jatuh kepada 1 US dollar bersamaan dengan 1800 Iranian Riyals dibandingkan dengan dulunya 1 US dollar bersamaan dengan 6 Iranian Riyals di bawah pemerintahan Syah. Yang nyata, harga yang dibayar oleh rakyat Iran untuk revolusi adalah terlalu tinggi.

Pakistan di zaman 50 an merupakan negara yang sedikit lebih kaya daripada negara kita. Kini, ia merupakan negara yang jauh lebih miskin daripada kita. Di mana silapnya? Memang benar, Pakistan tidak mempunyai hasil bumi yang banyak kalau hendak dibandingkan dengan negara kita, tetapi Pakistan mempunyai ramai cendikiawan yang sepatutnya boleh digembelingkan tenaga dan kepakaran mereka untuk membantu menaikkan taraf kehidupan. Tambahan pula sejak kemerdekaan, Pakistan mendapat bantuan kewangan daripada Bank Dunia dan terutamanya juga bantuan peribadi daripada Amerika Syarikat kerana menjadi rakan rapat.

Pakistan membelanjakan lebih daripada 30 peratus daripada hasil ekonominya kepada industri pertahanan berbanding dengan negara kita yang hanya membelanjakan sebanyak 5 peratus sahaja daripada jumlah budget negara. Tidak dapat disalahkan, kerana kedudukannya yang terletak di tengah tengah kuasa besar India dan China telah meletakkan kerajaannya sentiasa dalam keadaan cemas dan berjaga jaga. Oleh itu, sebahagian besar perbelanjaan ketenteraannya dihabiskan untuk membangunkan persenjataan nuklear.

Raja dan Autokrasi.

Sistem beraja merupakan penyakit dalaman umat islam. Arab Saudi, negara yang memiliki lebih daripada 200 bilion barel simpanan minyak dan merupakan simpanan terbesar dibandingkan dengan negara negara umat islam yang lain, lebih 50 peratus daripada rakyatnya masih tinggal di dalam kemiskinan. Kerabat di raja dan waris yang terdekat mendapat habuan secara langsung daripada hasil negeri.

Selain daripada itu, rakyat dan terutamanya ulama di negara tersebut tidak dapat memainkan peranan. Banyak di antara ulama dan rakyat telah dipenjarakan kerana memberi kenyataan yang mengkritik kerajaan. Sistem autokrasi yang diamalkan sudah begitu tertanam sehinggakan perbincangan tentang sesuatu perkara berkaitan dengan polisi kerajaan cuba dielakkan kerana kekhuatiran tentang kewujudan spy upahan kerajaan yang akan membuat laporan. Bahkan, kekhuatiran sebegini menghantui pemikiran pelajar tajaan kerajaan yang sedang menuntut di institusi pengajian di luar negara.

Umat Islam Itu Bersaudara?

Kerajaan Turki membelanjakan hampir 30 bilion US Dollar membina 3 buah empangan besar merentangi sungai Tigris dan Euphrates dalam usaha mereka memberika tekanan kepada Syria dengan mengurangkan jumlah pengaliran air kepada Syria kerana kedua dua negara tersebut mempunyai fahaman politik dan agenda ketenteraan yang berbeza.

Di Indonesia, beribu ribu orang telah menjadi korban keganasan tentera Indonesia yang dihantar ke Acheh untuk membendung kebangkitan kaum Melayu Islam di sana yang menuntut kemerdekaan. Walaupun sudah berkali kali kenyataan dikeluarkan oleh President mereka tentang pengunduran tentera dari wilayah tersebut, namun kekejaman masih berterusan.

Hampir 120 tahun, Acheh berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Kalau dulunya sebelum 1949 mereka menentang Belanda, kini mereka berperang untuk melepaskan diri daripada cengkaman kerjaan Indonesia. Mereka menuntut kemerdekaan atas alasan ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia yang rata ratanya merupakan berketurunan Jawa yang membolot kekayaan sumber minyak daripada hasil bumi Sumatera dan membiarkan rakyat Melayu Acheh di dalam kemiskinan.

Apa yang jelas, dari yang sepatutnya mengamalkan sikap persaudaraan sesama islam, umat islam lebih mementingkan kenasaban. Tidak kurang juga yang mementingkan sikap assabiyah, kenegerian dan juga kenegaraan - satu sikap yang menjadi benteng kukuh memisahkan usaha kearah penyatuan umat islam.

Islam dan Sekular?

Dalam menangani permasalahan umat islam, banyak pendapat dan ideologi baru yang cuba diterapkan dan digunakan dengan harapan akan mengubah nasib umat islam dan membantu kebangkitan Islam. Ajaran islam dipersalahkan atas dakwaan menghalang kemajuan dan membunuh kekreatifan. Maka banyaklah di antara negara umat islam yang cuba memisahkan agama jauh daripada bidang pemerintahan. Kesannya, umat islam kehilangan identiti diri. Umat islam dengan membuta menerima budaya dan ideologi barat tanpa melihat dan mengkaji kesan penerimaannya.

Kesan yang lebih mendalam ialah terhadap keyakinan dan kepercayaan kepada islam. Sistem sekular yang diamalkan membawa umat islam jauh dan semakin menjauhi ajaran syumul yang dibawa oleh islam. Umat islam lupa, permasalahan yang mencengkam umat islam kini bukanlah kerana mengamalkan ajaran islam, tetapi kerana tidak mengikut dan mengamalkan ajaran islam dengan sepenuhnya.

Kesimpulan.

Memanglah islam tidak mengajar kita di dalam hadis dan Quran tentang resepi membuat senjata moden, membina komputer dan memajukan bidang eletronik. Tetapi harus difahami bahawa islam mengajarkan kita asas asas untuk mencapai kejayaan dunia - dan terutamanya kejayaan yang berkekalan iaitu di akhirat nanti. Berbekalkan dengan asas ajaran dari hadis dan Quran, akal yang dianugerahkan olehNYA haruslah digunakan untuk mencari kebenaran, kemajuan dan penyelesaian kepada permasalahan.

Ciri ciri demokrasi seperti perbincangan dan mencapai kata sepakat malalui undian yang diamalkan di Barat telah lama diperkenalkan oleh islam melalui sistem syura. Ciri ciri yang perlu ada di dalam business dan pengkopratan seperti 'accountability', 'honesty', 'hardwork' dan lain lainnya telah lama menjadi teras ajaran islam seperti kejujuran dan pertanggungjawaban. Malah sistem islam itu jauh lebih 'superior' daripada sistem sistem yang pernah wujud kerana tunjak utama islam ialah taqwa. Melalui taqwa akan lahir semua sifat sifat mulia yang lainnya seperti amanah, rajin usaha, beradab, berakhlak dan bertawakkal.

Taqwa yang akan melahirkan iman adalah hiasan yang paling baik dan sempurna yang akan memimpin kita menjalani hidup di dunia ini sebagai umat yang diberkati dan mendapat petunjuk. Taqwa boleh dihasilkan melalui tarbiyah dan pendidikan. Pendidikan bermula di rumah. Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa sebagai orang yang akan menghiasi anak anak dengan pendidikan yang akan melahirkan insan yang bertaqwa yang akan menyumbang ke arah kebaikan dan keharmonian masyarakat sejagat.

Rujukan.

1. Amnesty International, London, United Kingdom
2. CIA World Factbook.
3. John M. Miller, Aceh Conference in New York.
4. National Geographic.
5. Petroleum Nasional Berhad (Petronas)
6. World Bank


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com