Petikan :
Tranung Kite eGroups
KUALA LUMPUR, 19 Jun - Memakai penutup mata semasa di sekolah boleh secara dramatiknya memperbaiki keupayaan membaca bagi ramai kanak-kanak disleksia, demikian rumusan penyelidikan pakar fisiologi British.
Disleksia adalah terma bagi orang yang menghadapi masalah ketidakupayaan membaca.
Menurut artikel yang diterbitkan dalam Malaysian Medical Tribune, akhbar perubatan dua minggu sekali, penyelidikan itu mendapati kanak-kanak disleksia yang menutup sebelah mata semasa membaca bagi tiga bulan, tempoh daya pembacaan mereka meningkat lapan bulan berbanding kanak-kanak disleksia yang tidak memakai penutup mata.
Kajian itu, yang akan membawa banyak manfaat kepada kanak-kanak seumpama itu dan ibu bapa mereka, dijalankan oleh Prof John Stein dan rakannya dari Jabatan Fisiologi Universiti Oxford.
Ia ditaja oleh Amanah Penyelidikan Disleksia dan hasil kajian itu baru-baru ini diterbitkan dalam terbitan saintifik, "Brain". Artikel itu menyatakan bahawa 5 hingga 10 peratus kanak-kanak sekolah rendah gagal belajar membaca pada tahap yang dijangkakan daripada kebijaksanaan am, walaupun mempunyai peluang budaya membaca yang mencukupi.
"Sebuah badan penyelidikan yang besar di dunia telah menunjukkan bahawa ia sebenarnya masalah pembangunan neurologi dan bukan kerana cara pengajaran yang lemah atau perbezaan budaya antara kelas sosial, yang umumya diperdebatkan oleh para pakar," katanya.
Digambarkan dalam terma neurologi, kebanyakan pesakit disleksia mempunyai kecacatan komponen "magnoselular" dalam sistem visual yang penting bagi ketepatan acaravisual dan mengawal pergerakan mata.
Menurut artikel itu, kawalan pergerakan mata yang lemah boleh menyebabkan ketidakstabilan tumpuan binokular dan pandangan yang kabur dan ini menjelaskan kenapa banyak pesakit disleksia melaporkan bahawa huruf bergerak, menyebabkan kekeliruan visual.
"Jika kedua-dua mata tidak memberikan tumpuan pada huruf cetak, huruf-huruf kelihatan menari-nari dan bertukar kedudukannya, jadi kanak-kanak itu menjadi amat keliru.
"Satu cara untuk mengurangkan sebahagian kekeliruan ini ialah membaca dengan hanya sebelah mata yang mengelakkan kedua-dua melihat huruf yang kelihatan bersilang antara satu sama lain," Prof Stein dipetik sebagai berkata.
Semasa projek itu, Prof Stein dan pasukannya menyoal 144 kanak-kanak yang menghadapi disleksia yang teruk berumur kira-kira sembilan tahun dan dengan kawalan mata yang tidak stabil, untuk memakai cermin mata kuning bagi semua pembacaan dan kerja yang memerlukan tumpuan.
Dalam pemilihan rawak itu, separuh daripada mereka diberikan pita hitam untuk menutup mata kiri dan tiga bulan kemudian didapati bahawa kawalan mata dan pembacaan mereka yang memakai penutup mata lebih maju daripada mereka yang tidak memakainya.
Kelebihan itu didapati telah dikekalkan sepanjang kajian sembilan bulan itu, jadi pada akhir projek tahap pembacaan itu, mereka lapan bulan lebih maju berbanding yang tidak memakai penutup mata.
Hasil daripada kajian mereka itu, pasukan berkenaan merumuskan laporan mereka dengan menggesa pendekatan penggunaan penutup mata dicuba terhadap semua kanak-kanak yang menghadapi masalah visual disleksia pada peringkat umur muda.