Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PERNYATAAN AHLI-AHLI MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI keADILan

Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Nasional [keADILan] yang bersidang pada 05 Julai 2000 amat menyedari betapa seriusnya perancangan jahat dan konspirasi seteru politik untuk melemahkan kekuatan, kestabilan dan keyakinan rakyat kepada keADILan pada masa ini.

Peristiwa-peristiwa yang direkayasa oleh seteru-seteru politik Parti Keadilan Nasional adalah bertujuan untuk menimbulkan keresahan, kemarahan, rasa tidak percaya, keliru dan kekecewaan para ahli dan penyokong Parti memang telah dapat dikesani oleh jentera Parti. keADILan yakin bahawa segala taktik kotor yang dilaksanakan adalah semata-mata untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu-isu yang lebih besar yang melanda kepimpinan Barisan Nasional [BN] seperti kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kami percaya rakyat tidak mudah tertipu dengan dakyah, tohmahan dan taktik murahan BN ini.

Ahli-ahli MPT juga amat menyedari bahawa ada di antara segelintir bekas ahli-ahli Parti yang sedang diperalatkan oleh seteru-seteru politik untuk merosakkan imej dan nama baik pemimpin-pemimpin dan organisasi.

Dengan menggunakan berbagai-bagai muslihat dan tipu helah jahat seteru-seteru politik keADILan amat berharap untuk memecah-belahkan perpaduan Parti dan melemahkan semangat para pendokong gerakan reformasi.

Dengan penuh rasa keinsafan dan kefahaman yang mendalam, seluruh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan menegaskan kesepakatan dan perpaduan yang tidak berbelah bagi untuk memperkukuhkan pasukan kepimpinan Parti dalam menentang semua perancangan dan konspirasi politik pimpinan utama UMNO-BN. Ahli-ahli MPT akan sentiasa siap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal dilakukan oleh seteru politik ini demi mempertahankan kesinambungan perjuangan Parti.

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com