Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


KEGAGALAN ADUN LEMBAH JAYA AMAT DIKESALI.

INFOMEDIA

KEGAGALAN ADUN LEMBAH JAYA AMAT DIKESALI.

Penduduk peneroka bandar Kg. Bukit Tembusu yang pada 29 Jun lepas telah mencapai satu persetujuan dengan pihak pemaju, Metroplex Sdn. Bhd. tentang pampasan bagi mereka telah menyatakan rasa kesal di atas kegagalan ADUN Lembah Jaya, YB Haji Ismail Kijo untuk menyelesaikan masaalah penduduk.

PAS Kawasan Ampang Jaya juga menyatakan rasa kesal kerana ADUN tersebut telah tidak sekalipun bertemu dengan penduduk yang ketika itu memerlukan sokongan dari semua pihak.

Di sini PAS Kawasan Ampang Jaya ingin mengingatkan ADUN Lembah Jaya bahawa beliau adalah merupakan wakil rakyat bagi seluruh penduduk Lembah Jaya dan bukan hanya mereka yang mengundi Barisan Nasional. Dengan itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk menangani masaalah semua penduduk dan bukan hanya ahli-ahli UMNO sahaja.

Keadaannya berbeza pula dengan ADUN Sg. Besar, YB Ustaz Sallehen Mukhyi dari PAS yang telah berusaha untuk datang ke Ampang Jaya dan telah mengadakan pertemuan dengan pihak Polis memohon agar sebarang tindakan perobohan dapat ditangguhkan.

Di dalam perkembangan yang sama PAS Kawasan Ampang Jaya telah mendapat satu laporan dari penduduk dari sebuah penempatan peneroka bandar di sini bagaimana seorang pemimpin Kerajaan Negeri Selangor telah enggan berjumpa dengan mereka sekiranya mereka bukan ahli UMNO.

Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggung-jawab oleh kerana pemimpin-pemimpin kerajaan negeri seperti Ahli Majlis Mesyuarat ( Exco ) dan ahli-ahli Parlimen atau ADUN-ADUN oleh kerana mereka dibayar gaji oleh rakyat dan bukan oleh UMNO atau Barisan Nasional.

Dengan itu PAS Kawasan Ampang Jaya menggesa agar mereka melaksanakan tanggung-jawab mereka dengan adil tanpa mengamalkan sebarang sikap pilih-kasih. PAS Kawasan Ampang Jaya akan sentiasa memantau prestasi dan tindakan wakil-wakil rakyat di Ampang Jaya untuk memastikan keperluan penduduk tidak diabaikan.

ISKANDAR ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA PAS
KAWASAN AMPANG JAYA
1 JULAI 2000
Tel : 019-3840784
E-Mail : pas_ampangjaya@hotmail.com
Laman Web : http://members.tripod.com/pas2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com