INFOMEDIA
KG. BUKIT TEMBUSU, CHERAS BARU : MANGSA TEKANAN POLITIK.
Walaupun persetujuan telah dicapai di antara pihak pemaju dan penduduk Kg. Bukit Tembusu tentang jumlah pampasan yang patut dibayar namun nasib yang menimpa Kg. Bukit Tembusu masih menimbulkan beberapa persoalan yang belum lagi terjawab.
Kg. Bukit Tembusu adalah di antara beberapa penempatan-penempatan peneroka bandar yang telah wujud sejak bertahun-tahun di Ampang Jaya. Ianya bukanlah penempatan yang pertama diarahkan untuk dikosongkan oleh pihak pemaju yang telah mendapat hak milik tanah dari kerajaan negeri.
Namun begitu mengapakah tindakan ke atas Bukit Tembusu dilaksanakan dengan begitu pantas ? Mengapakah Bukit Tembusu merupakan di antara penempatan-penempatan warga tempatan yang pertama mendapat perintah untuk dikosongkan selepas pilihanraya umum November lalu ?
Mengapakah penguatkuasa-penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) tidak terlibat seperti biasa ? Mengapakah pihak pemaju telah turun dengan pihak Polis yang dikerahkan dengan sepenuh kekuatan ?
Dan yang paling mengejutkan penduduk kampung dan masyarakat di Ampang Jaya mengapakah penduduk pada mulanya diarahkan untuk keluar tanpa sebarang penyelesaian dicapai ?
Ketika itu penduduk tidak ditawarkan apa-apa pampasan untuk mengosongkan tanah yang telah mereka duduki dan bangunkan sejak awal tahun 70-an lagi. Hanyalah setelah campurtangan pihak-pihak yang tertentu seperti PAS Kawasan Ampang Jaya maka pemaju telah bersetuju untuk membayar pampasan dan menawarkan sebuah rumah kos rendah untuk dibeli oleh penduduk.
Apa yang jelas adalah Bukit Tembusu merupakan teras bagi PAS di Kg. Cheras Baru. PAS di Kg. Cheras Baru telah bermula di Bukit Tembusu dan ianya telah berkembang dengan begitu pesat sehingga jumlah cawangan-cawangan PAS di kampung tersebut hampir menyamai cawangan-cawangan UMNO. Selain dari itu ramai tokoh-tokoh UMNO di Kg. Cheras Baru sekarang ini sudah menyertai PAS.
Dan apa yang mengejutkan UMNO adalah pada pilihanraya umum tahun lalu di mana PAS telah menyapu bersih peti-peti undi di kampung tersebut. Daripada enam saluran, PAS telah memenagi lima. Malah saluran yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional ( BN ) adalah dengan kelebihan undi yang terlalu tipis.
Dan yang paling memalukan UMNO calon BN yang bertanding, Haji Ismail Kijo, berasal dari Kg. Cheras Baru.
Dengan itu semenjak pilihanraya tersebut pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk "menghukum" penduduk Kg. Cheras Baru. Usaha-usaha juga telah dijalankan untuk memastikan pengaruh PAS dapat disekat.
Walau bagaimanapun PAS Kawasan Ampang Jaya yakin apa yang berlaku kepada Kg. Bukit Tembusu tidak akan melemahkan PAS di Kg. Cheras Baru. Malah di dalam majlis kesyukuran di Kg. Bukit Tembusu pada 30 Jun yang baru lalu cawangan-cawangan PAS di kampung itu telah berjanji untuk menggandakan sebanyak dua kali jumlah cawangan-cawangan PAS di sana menjelang tahun 2001.
Dengan itu kami menyarankan kepada pihak-pihak yang tertentu yang sedang merancang untuk menyekat pengaruh PAS dengan "menghukum" peneroka-peneroka bandar supaya melupakan hasrat mereka itu.
PAS Kawasan Ampang Jaya difahamkan bahawa selepas Kg. Bukit Tembusu beberapa penempatan-penempatan peneroka bandar di Lembah Jaya Selatan telah dikenalpasti untuk menjadi mangsa-mangsa yang selanjutnya.
Kami menggesa agar pemaju-pemaju yang terlibat supaya tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik tetapi satu penyelesaian yang adil dan saksama perlu dicapai untuk kepentingan semua pihak.
InsyaAllah ketabahan dan kecekalan penduduk Bukit Tembusu menghadapi segala tekanan akan dicontohi oleh mana-mana peneroka bandar yang cuba dizalimi.
ISKANDAR ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA PAS
KAWASAN AMPANG JAYA
1 JULAI 2000
Tel : 019-3840784
E-Mail : pas_ampangjaya@hotmail.com
Laman Web : http://members.tripod.com/pas2000