Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


AKHBAR EKSKLUSIF AKHIRNYA DIHARAMKAN!

Mingguan politik Eksklusif, terbitan syarikat Karangkraf, yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri sejak tiga bulan lalu akhirnya mengulangi keperitan dan nasib malang DETIK, apabila mingguan itu diharamkan secara rasmi awal minggu lalu.

Menurut sumber, Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi sendiri memutuskan agar mingguan berkenaan tidak disambung permit penerbitannya meskipun sebelum ini difahamkan Abdullah, sebanyak dua kali, memberi jaminan akan menyambung semula PP Eksklusif.

Sejak April lalu, penerbit Eksklusif telah berkali-kali membuat rayuan termasuk bertemu Abdullah dan sebelumnya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Zainal Abidin Zin.

Sebelum ini Eksklusif menerima amaran bertulis daripada KDN ekoran kandungan akhbar itu yang dikatakan memberi ruang yang lebih buat pembangkang. Pihak penerbit kemudiannya cuba menyesuaikan isi kandungan Eksklusif seperti yang dikehendaki KDN. Antaranya dengan mengurangkan berita-berita pembangkang dan menyiarkan laporan berita tentang Umno secara lebih positif.

Namun, akhirnya -- selepas Harakah dikurangkan penerbitannya daripada lapan kali seminggu kepada dua kali seminggu, DETIK diharamkan terus, majalah Wasilah diberi surat tunjuk sebab mengapa permitnya tidak boleh dibatalkan --maka nasib malang itu menimpa mingguan Eksklusif yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan, langsung atau tidak langsung, dengan mana-mana parti pembangkang.

"Ramai orang menganggap sikap saya yang keras dengan KDN menyebabkan DETIK diharamkan, tetapi bagaimana pula dengan nasib Eksklusif yang cuba mematuhi apa saja kehendak KDN. Seperti juga dengan Harakah, yang menurut apa saja peraturan baru KDN walaupun kebanyakannya tidak munasabah dan praktikal untuk dilaksanakan," kata Ahmad Lutfi Othman, bekas Ketua Editor DETIK.

"Bagi saya pengharaman Eksklusif lebih buruk, keji dan hina berbanding nasib yang menimpa DETIK. Kerajaan Umno yang korup itu begitu takut dan bacul untuk menghadapi sedikit teguran dan pandangan yang berbeza dengan mereka," hujah Lutfi.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com