KUALA KANGSAR, 6 Julai (Bernama) -- Drama rompakan senjata di Gerik yang diikuti penahanan tebusan, berakhir petang ini, apabila kesemua 27 anggota kumpulan itu yang bersembunyi di Bukit Jenalek, Sauk, dekat sini, menyerah diri.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengumumkan penyerahan diri anggota kumpulan itu di Balai Polis Kati, berkata tiga daripada mereka dikenalpasti daripada kalangan anggota tentera atau bekas anggota tentera.
Ketuanya Prebet Mohd Amin Mohd Razali, yang berumur awal 30-an, adalah bekas anggota cawangan khas perisikan tentera dan pernah menjalani hukuman penjara 18 bulan sebelum dibebaskan pada 1998.
Najib berkata kumpulan penjenayah itu membunuh dua tebusan, seorang anggota polis cawangan khas Detektif Koperal R.Sagadevandan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dan Prebet Tupa Mathew A/K Medan, seorang anggota tentera dari Pasukan Gerak Khas Kem Terendak, Melaka.
Tanda-tanda drama itu akan berakhir bermula apabila dua daripada anggota kumpulan itu menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada pukul 5.30 pagi.
Daripada maklumat yang diberikan mereka, kumpulan perompak itu sudah membunuh dua daripada empat tebusan berkenaan dan menanam mayat mereka.
"Anggota polis itu telah ditembak dengan kejam manakala anggota tentera itu juga telah dibunuh dengan kejam, diseksa dengan kedua-dua belah kakinya ditembak hingga hancur," kata Najib dalam persidangan media, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.
"Kerajaan mengucapkan takziah (kepada keluarga anggota keselamatan yang terbunuh) dan merasa sedih atas kehilangan kedua-dua anggota ini," katanya.
Di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota-anggota keselamatan itu dan menyatakan sebarang bantuan kepada mereka akan diputuskan kemudian.
Beliau berkata tindakan ke atas kesemua 27 orang itu akan dibuat mengikut proses undang-undang kerana ia satu kesalahan jenayah manakala pengikut kumpulan itu di tempat lain telah ditahan polis untuk siasatan.
Seorang anggota kumpulan penjenayah itu yang dikenali sebagai Abdul Halim Ali juga terbunuh. Bagaimanapun belum dipastikan setakat ini sama ada dia merupakan anggota kumpulan itu yang dilaporkan ditembak dan rebah dalam operasi pasukan keselamatan memberkas kumpulan perompak itu semalam.
Ketiga-tiga mayat mereka telah ditanam oleh kumpulan penjenayah itu dalam hutan tempat persembunyian terbabit.
Najib menjelaskan bahawa kumpulan penjenayah itu sebenarnya telah menahan empat orang sebagai tebusan sejak Isnin lepas.
Bagaimanapun, katanya, dua daripada tahanan itu iaitu Koperal Mohamad Shah Ahmad dan seorang awam Jaafar Puteh telah dibebaskan. Beliau tidak menyatakan bila kedua-dua mereka dibebaskan.
Drama itu bermula apabila kumpulan penjenayah itu telah mencerobohi dua kem tentera di Gerik awal pagi Ahad lepas dengan menyamar sebagai anggota tentera. Mereka melarikan lebih 100 raifel M-16, pelancar roket, mesingan dan 5,000 peluru.
Najib berkata senjata api dan peralatan senjata yang dicuri telah dijumpai semula. Bagaimanapun jumlahnya masih belum diketahui kerana usaha sedang diambil untuk mengenal pasti senjata-senjata itu.
Pasukan keselamatan mengepung hutan Bukit Jenalek, Sauk, 20 km dari sini mulai Isnin lepas setelah mengetahui kumpulan itu bersembunyi di kawasan berkenaan.
Selain mengadakan kepungan yang ketat, Najib berkata pasukan keselamatan telah mengambil beberapa strategi yang membawa kepada penyerahan diri kumpulan penjenayah itu.
Anggota keluarga -- isteri dan anak -- dibawa untuk membuat rayuan di samping rayuan oleh pihak polis dan tentera.
"Akhirnya apabila segala rayuan tidak diendahkan, kerajaan mengeluarkan kata dua untuk mengambil tindakan jika tidak menyerah diri," katanya.
Najib berkata selain itu Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Zaini Mohamed Said telah bersemuka dengan ketua kumpulan itu dalam usaha memujuknya menyerah diri.
Dalam kejadian itu, Amin enggan menyerah diri dan sebaliknya mengacu raifel automatik M203 kepada Zaini.
Dia cuba menembak Zaini tetapi Zaini dapat menepis raifel itu, lalu tembakan itu terkena kepada seorang anggota kumpulan berkenaan.
Najib berkata kesemua anggota kumpulan itu keluar menyerah diri secara berperingkat-peringkat bermula dengan dua daripada mereka, yang menyerah diri pada 5.30 pagi.
Ini diikuti dua lagi pada tengah hari ini dan selebihnya menyerah diri pada petang ini. Katanya, 22 daripada mereka telah ditahan manakala lima lagi yang cedera, termasuk dua yang parah, dimasukkan ke hospital.
Lima anggota kumpulan itu yang cedera merupakan antara yang terakhir menyerah diri. Najib berkata selain Amin, dua lagi yang dikenalpasti ialah bekas pegawai waran Ibrahim daripada pasukan renjer dan Kapt Jamaluddin Darus yang masih dalam perkhidmatan di unit penyenggaraan kawasan angkatantentera di Kem TUDM, Butterworth.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai ketiga-tiga mereka. Najib berkata ramai daripada anggota kumpulan itu bukan terdiri daripada golongan tegar tetapi telah menyertainya kerana ajaran kerohanian dan kebatinannya.
"Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai motif, dan tidak pernah menggunakan senjata tetapi tertarik kepada ajaran kerohanian dan kebatian (kumpulan itu)... mereka ini jelas disesatkan," katanya.
Norian berkata kesemua penjenayah itu "akan dibawa ke mahkamah secepat mungkin dan akan menghadapi proses undang-undang yang biasa.
"... setakat ini mereka dianggap penjenayah dan tidak ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Penangkapan mereka adalah di bawah undang-undang biasa dan pertuduhan terhadap mereka akan bergantung kepada keterangan yang dikumpul... mereka telah melakukan banyak kesalahan mengikut Kanun Keseksaan," katanya. Menurutnya, polis telah mengenal pasti "beberapa ratus" anggotanya di seluruh negara.
Selain daripada 15 yang ditangkap di Selangor, Perak, Terengganu dan Kelantan, lebih banyak lagi anggota kumpulan itu akan ditangkap, katanya.
Sementara itu, Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata episod itu merupakan satu pengajaran kepada semua pihak agar semua tempat keselamatan dikawal rapi dan tidak "ambil mudah" keamanan berpanjangan yang dinikmati negara ini. -- BERNAMA