Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


DUA PEMIMPIN KANAN KUMPULAN AL-MA'UNAH DITAHAN

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Polis telah menahan dua lelaki secara berasingan di Kelantan dan Pahang dipercayai pemimpin negeri kumpulan sesat Al-Ma'unah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohamed Yunus Othman memberitahu pemberita di Kota Baharu, Selasa bahawa seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di rumahnya di Pulai Chondong, Machang pada Khamis lalu bagi membantu siasatan.

Di KUANTAN, Ketua Polis Pahang Datuk Mohamed Noor Hamat, Selasa, berkata seorang pekerja syarikat swasta, juga berusia 42 tahun, ditangkap di rumahnya di Cenderawasih pada kira-kira pukul 8 malam Khamis lepas.

Mohamed Yunus memberitahu pemberita di pejabatnya bahawa polis percaya lelaki yang ditahan itu boleh membantu siasatan walaupun dia tidak terlibat dengan kumpulan penjenayah merompak senjata di kem tentera di Gerik pada 2 Julai.

Kumpulan penjenayah itu, yang disertai anggota kumpulan Al-Ma'unah, kemudian bersembunyi di Bukit Jenalik, Sauk, Perak sebelum dikepung dan menyerah diri Khamis lalu selepas membunuh dua tebusan, anggota pasukan keselamatan.

Polis mengesahkan bahawa kumpulan Al-Ma'unah wujud di Kelantan dan "polis sedang mengenalpasti aktiviti dan seramai mana anggota kumpulan itu di Kelantan atau adakah mereka terlibat dalam rancangan merompak senjata api di Gerik."

Katanya polis tidak menjumpai sebarang senjata api daripada lelaki itu.

Mohamed Yunus juga berkata polis turut mengenalpasti wujudnya beberapa kumpulan lain seperti Al-Ma'unah di Kelantan dan kumpulan itu sedang diawasi.

Mohamed Noor pula berkata polis turut menemui beberapa tangkal, kitab-kitab dan senjata yang merupakan pedang kecil di rumah pemimpin Al-Ma'unah yang ditahan di Pahang itu.

"Dia masih ditahan dan dalam siasatan polis untuk mendapat pengesahan sejauh mana keadaan Al-Ma'unah di Pahang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Memeterai Pembentukan Jawatankuasa Bersama Mencegah Rasuah antara Polis Kontinjen Pahang dan Badan Pencegah Rasuah negeri.

Dua lelaki dalam lingkungan umur 30an dan 40an turut dipanggil polis Pahang untuk memberi keterangan pada petang Khamis lepas.

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai kontraktor dan peniaga bagaimanapun dibebaskan setelah memberi keterangan, katanya.

Menurut beliau berdasarkan siasatan awal, anggota kumpulan Al-Ma'unah di Pahang dianggar 100 orang dan pengaruhnya tidak begitu ketara kerana hanya berpusat di Kuantan dan didapati membuat perhubungan terus dengan di ibu pejabat mereka di Klang.

Mohamed Noor berkata kumpulan itu tidak mempunyai pejabat di Kuantan dan dipercayai perjumpaan anggota dibuat di rumah atau di tempat-tempat lain.

-- BERNAMA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com