Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Ucapan Penangguhan Ahli Parlimen Kemaman - Bebaskah BPR Bertindak ?

Ucapan Penangguhan YB Abd Rahman b. Yusof Ahli Parlimen Kemaman pada 13 Julai 2000

Kebebasan Bertindak Badan Pencegah Rasuah (BPR)

Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah sebuah badan yang ditubuh untuk mencegah dan membanteras segala bentuk jenayah rasuah secara tegas dan adil, tanpa prasangka mengikut undang-undang dan peraturan semasa.

Perlaksanaannya dibuat melalui beberapa kaedah dan di antaranya ialah:

. Menentukan semua pengaduan berkaitan perlakuan rasuah yang berasas diterima dan diproses dengan segera serta identiti pemberi maklumat dirahsiakan;

. Mempastikan tindakan risikan dan siasatan setiap kes perlakuan jenayah rasuah dijalankan secara teliti, menyeluruh dan objektif;

. Mempastikan usaha-usaha pencegahan rasuah dan penghayatan nilai-nilai murni dikalangan pemimpin dan masyarakat umum dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan berkesan;

. Menentukan pendakwaan setiap kes jenayah, rasuah dikendalikan secara cekap dan adil;

. Memastikan maklumat untuk kenyataan media cetak/ elektronik adalah jelas dan tepat tanpa prasangka serta tidak menjejaskan imej dan kepentingan BPR, Kerajaan dan Negara.

Melalui kaedah yang tersebut di atas sepertimana yang terpampang di dalam Piagam Pelanggan BPR ini bermakna BPR cukup teliti dan bebas bertindak. Walau bagaimanapun apakah ini yang diamalkan oleh BPR sekarang? Sudah banyak kes telah dilaporkan oleh pelbagai pihak tetapi setakat ini rakyat tertunggu-tunggu apa tindakan yang sudah diambil oleh pihak BPR. Rakyat sangsi akan kebebasan BPR bertindak terhadap kes-kes yang telah dilaporkan itu.

Diantara kes yang telah dilaporkan termasuklah:-

1) Kes pengumpulan harta yang begitu banyak dalam usia yang muda oleh Encik Ling Hee Loong anak kepada Menteri Pengangkutan yang dilaporkan oleh Encik Lim Kit Siang;

2) Kes pengumpulan harta dan pemberian kontrak yang begitu banyak kepada tiga orang anak Perdana Menteri yang menguasai begitu banyak syarikat-syarikat perniagaan yang dilaporkan oleh pelbagai badan NGO dan Parti Politik;

3) Kes penyelewengan dalam pengurusan Perwaja yang dilaporkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim;

4) Kes perlantikan 'proxy' dengan izin oleh Menteri Kewangan untuk menerima pengagihan saham yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa bagi pihak beliau atau UMNO yang dilaporkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim;

5) Kes pengumpulan harta oleh bekas Ketua Menteri Melaka Dato' Rahim Thamby Chik yang dilaporkan oleh Encik Lim Guan Eng dan Dato' Seri Anwar Ibrahim ;

6) Kes percutian oleh Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dengan peguam V.K. Linggam di luar negara yang didedahkan oleh internet dan akhbar Asian Wall Street Journal;

dan banyak lagi kes-kes yang oleh kerana masa terhad tidak dapat disebut semuanya. Kes-kes yang dilaporkan ini semuanya disertakan dengan dokumen-dokumen dan bukti-bukti kukuh yang boleh dipersahkan.

Persoalannya apakah BPR bebas bertindak terhadap kes-kes ini atau terpaksa menunggu arahan atau 'clearance' dengan izin dari pihak-pihak tertentu sebelum bertindak. Sekiranya kes ini melibatkan orang yang memberi arahan atau 'clearance' dengan izin bagaimana BPR bertindak terhadap orang tersebut? Bukankah arahan-arahan ini merupakan kesalahan mengikut Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta Pencegah Rasuah 1997? Mengapa BPR tidak bertindak atau memang betul BPR tidak bebas bertindak?

Pada 13hb. Jun 2000 satu laporan polis bernombor (polis 55 : 656410) telah dibuat di Lokap Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Diantara kenyataan yang terkandong didalam laporan polis tersebut ialah:

"Bahawa Dato' Seri Dr Mahathir Muhammad, Perdana Menteri telah memanggil Dato' Shafie Yahya (bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah) ke pejabat Perdana Menteri pada bulan Jun 1998 dan memarahi beliau kerana mengeladah pejabat Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan memperolehi wang tunai sebanyak seratus ribu ringgit (RM 100,000). Seterusnya Dato' Seri Dr. Mahathir telah mengarahkan Dato' Shafie supaya menghentikan penyiasatan tersebut dengan serta-merta."

Laporan polis ini dibuat berdasarkan kepada keterangan Dato' Sahfie Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12hb Jun 2000 yang tidak dicabar oleh pihak pendakwa.

Persoalannya, mengapa BPR tidak meneruskan penyiasatan atau pendakwaan terhadap bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ali Abu Hassan Sulaiman yang terbukti melakukan kesalahan rasuah? Bukankah ini merupakan tanggungjawab dan kewajipan pihak BPR mendakwa pegawai tersebut melalui proses undang-undang dan peraturan semasa secara cekap dan adil? Atau memang benar BPR tidak bebas bertindak? Yang peliknya beliau dinaikkan pangkat pula sebagai Governor Bank Negara setelah ditangkap melakukan rasuah.

Saya ingin penjelasan di mana letaknya kebebasan BPR bertindak sekiranya kes sebegini rupa boleh diarahkan ditutup oleh Perdana Menteri. Bukankah arahan ini merupakan penyalahgunaan kuasa, melindungi perasuah serta menghalang perjalanan proses keadilan? Dan ini adalah kesalahan mengikut Ordinan 22 Akta Darurat dan Akta Pencegah Rasuah 1997. Apakah pihak BPR atau polis atau Pendakwaraya akan mendakwa Perdana Menteri yang terbukti mengarahkan penyiasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abu Hassan Sulaiman ditutup setelah begitu banyak laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak termasuk Sdr. Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional dan Y.B. Wakil dari Pokok Sena?

Yang lebih menggemparkan lagi ialah kenyataan media yang dibuat oleh Ketua Pengarah BPR sekarang Dato' Ahmad Zaki Hussein di Pulau Langkawi baru-baru ini bahawa:

" Perdana Menteri tidak pernah menggangu penyiasatan oleh BPR."

Bukankah ini perbuatan melindungi perasuah dan membuktikan bahawa BPR bersengkongkol dalam menghalangi penyiasatan yang mesti dilakukan oleh pihak BPR terhadap Perdana Menteri apabila menerima laporan seperti yang dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim?

Persoalannya bagaimana Ketua Pengarah BPR sekarang boleh membuat kenyataan sedemikian. Beliau menjadi Ketua Pengarah BPR baru setahun sedangkan BPR telah wujud lebih dari 32 tahun dan Dr. Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri lebih daripada 19 tahun? Apa yang diperkatakan oleh Dato' Shafie Yahya, bekas Ketua Pengarah BPR adalah kenyataan bersumpah di mahkamah dan tidak dicabar oleh pihak pendakwa pula. Apakah Ketua Pengarah BPR sekarang diarahkan membuat kenyataan sedemikian sebagai usaha terbaru Perdana Menteri melindungi beliau dari diambil tindakan? Bukankah kenyataan ini berunsur politik dan bercanggah dengan Piagam Pelanggan BPR iaitu:

" Memastikan maklumat untuk kenyataan media cetak/ elektronik adalah jelas dan tepat tanpa prasangka serta tidak menjejaskan imej dan kepentingan BPR, Kerajaan dan Negara."

Kenyataan ini jelas dan terang menunjukkan bahawa BPR bukannya lagi sebuah badan bebas tetapi terikat kepada arahan oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimana pula dengan kenyataan media Dato' Ahmad Zaki Hussein berhubong dengan Akuan Berkanun Dato' Murad mengenai akaun RM 3.0 billion kepunyaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan begitu pantas dimana beliau menyatakan:

"...... hampir setiap ayat dan perenggan didalam Pengakuan Berkanun Dato' Murad mengandongi 'unsur rasuah'." dan disiarkan secara besar-besaran melalui arus media Perdana dalam dan luar negara.

Saya nak tanya kedudukan muktakhir penyiasatan Akuan Berkanun Dato' Murad yang sudah lebih 8 bulan dibuat atau bertanggongjawab diatas kenyataan beliau yang berunsur politik dan tidak bertanggongjawab apatah lagi apabila ia dibuat pada masa hampir pilihanraya berlangsung baru-baru ini. Bukankah ini kenyataan yang berunsur politik dan dibuat atas kehendak atau arahan pihak-pihak tertentu?

Tindakan dan kenyataan-kenyataan BPR ternyata menunjukkan bahawa BPR tidak bebas bertindak. Sekiranya benar BPR tidak bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya, keyakinan rakyat terhadap kewibawaan badan ini akan hilang dan rakyat tidak yakin lagi bahawa kerajaan bersungguh dalam usaha untuk menghapuskan amalan rasuah yang berleluasa sekarang ini dan dilaknat Allah SWT.

Terima kasih.

Abd Rahman b Yusof
Ahli Parlimen Kemaman


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com