KENYATAAN AKHBAR
Perdana Menteri dan kerajaan bertanggungjawab mengembalikan semula keyakinan
rakyat terhadap kemampuan pemerintah untuk menangani masalah keselamatan
negara selepas peristiwa rompakan senjata di Grik, Perak. Cara yang terbaik
untuk mengembalikan keyakinan rakyat ialah dengan menubuh sebuah Suruhanjaya
Diraja untuk melakukan siasatan sehingga ke akar umbi. Menyediakan satu
kertas putih mengenai peristiwa tersebut adalah tidak cukup dan tidak akan
mengembalikan keyakinan rakyat kerana ia merupakan siasatan dari sebelah
pihak dan akan dilihat oleh rakyat sebagai 'damage control exercise' atau
sekadar usaha untuk memulihkan imej beberapa individu termasuk Perdana
Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan dan mereka-mereka yang
bertanggungjawab.
Kes keselamatan yang sebegini besar seharusnya ditangani secara
bertanggungjawab dan Perdana Menteri tidak boleh mengambil kesempatan untuk
meraih keuntungan politik pada UMNO dan juga Barisan Nasional. Kenyataan
Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab dan berpihak adalah punca kepada
timbulnya pelbagai keraguan di kalangan rakyat terhadap peristiwa tersebut.
Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed seharusnya sedar bahawa
beliaulah yang memulakan kontroversi. Peristiwa rompakan senjata di Grik,
Perak sebagai satu kontroversi politik kerana beliaulah orang yang pertama
membuat kenyataan menuduh penglibatan parti-parti pembangkang dalam
peristiwa tersebut sebelum satu siasatan yang menyeluruh dilakukan.
Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pemuda
Parti keADILan Nasional
18 Julai 2000