Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Terengganu yakin Pusat patuhi perjanjian dengan Petronas

Sumber Berita :
Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 3 Jul (Hrkh)- Kerajaan Negeri Terengganu yakin kerajaan Pusat tidak akan mencabul perjanjian yang telah dibuat dengan sah antara kerajaan negeri itu dengan Petronas berhubung dengan royalti minyak kepada negeri itu.

Exco kerajaan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Petrolium dan Sumber Manusia Terengganu, Haji Mustafa Ali berkata, perjanjian yang ditanda tangani oleh Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Terengganu adalah satu perjanjian yang sah sehingga kini.

"Ia telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak pada tahun 1975 dengan disaksikan oleh pelbagai pihak," katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Harakah dekat sini baru-baru ini.

Menurut Mustafa, mengikut perjanjian itu, Terengganu memberikan segala hak untuk mencari, mengeluar dan menjual minyak yang diperolehi di perairan Terengganu kepada Petronas.

Sebagai timbalbalasnya, Petronas akan memberikan royalti lima peratus dari hasil minyak yang dikeluarkannya kepada kerajaan negeri Terengganu.

Ketika ditanya kenapa Mahathir boleh membuat kenyataan sedemikian rupa, Haji Mustafa menjangka dua sebab mengapa kenyataan yang sangat tidak wajar itu boleh dibuat iaitu mengalih pandangan rakyat dari segala masalah yang dihadapi oleh Umno dan kerajaan Pusat sekarang dan, Percubaan menghilangkan keyakinan pihak luar terutama pelabur untuk melabur di Terengganu dengan anggapan negeri itu tidak mempunyai cukup wang dan apa yang diperolehi dari royalti minyak sekarang tidak semestinya akan kekal.

Ketika ditanya, adakah cadangan PAS sebelum ini untuk mendapatkan royalti yang lebih banyak untuk Terengganu akan diteruskan, Mustafa berkata, memang ada cadangan sebegitu sebelum ini.

Bagaimanapun, buat masa sekarang ia tidak berbangkit dan kerajaan negeri yang di terajui oleh PAS meneripakai segala perjanjian yang telah dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini dengan Petronas.

Menurutnya, walaupun dari segi pendapatannya, Terengganu adalah negeri kedua terkaya di negara ini tetapi dari segi jumlah penduduk miskinnya, Terengganu adalah negeri ketika termiskin di negara ini.

"Ini adalah satu kenyataan yang perlu dikaji dan diperbetulkan oleh kerajaan negeri yang ada sekarang. Kita yakin, kalau kita menguruskan hasil negeri yang ada dengan baik, kadar kemiskinan di negeri ini tidak akan jadi begini. Melihat kepada fenomena inilah, kita pernah bercadang agar jumlah royalti minyak untuk negeri ini ditambah," katanya.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com