Sumber Berita :
Harakah Daily
KUALA LUMPUR, 3 Julai (hrkh) - Serbuan terhadap dua buah Pub di Damansara Utama di sini bulan lalu oleh JAIS dilakukan setelah penduduk Islam di kawasan itu, terutamanya ahli qariah Masjid Mujahidin (masjid berdekatan Pub tersebut) mengadu dan membuat bantahan bertalu-talu terhadap kegiatan pusat hiburan di situ yang 'melampau batas'.
Ini dinyatakan oleh seorang ustaz (namanya dirahsiakan) yang ikut serta dalam serbuan tersebut.
Menurut ustaz tersebut, rancangan untuk menyerbu Pub tersebut telah diatur lama memandangkan penduduk Islam di situ tidak tahan lagi menyaksikan kemungkaran di situ dengan jamuan arak dan kelakuan tidak senonoh pelanggan di pusat hiburan itu.
Katanya, hampir 90 orang terlibat dalam serbuan di dua buah Pub di situ. Mereka ini terdiri dari penguaatkuasa JAIS, ahli Badar (badan mencegah mungkar) tiap masjid dan surau seluruh Petaling, ahli Rela dan lain-lain.
Mereka, katanya, mula berkumpul selepas Isya' di sebuah masjid di mana ketua kumpulan memberi taklimat terperinci dan mengatur strategi bagaimana serbuah tersebut perlu dilakukan.
Menurut ustaz itu, mereka telah diberitahu bagaimana umat Islam di kawasan Damansara dan kawasan berdekatan tidak tahan lagi dengan keadaan suasana yang ditimbulkan oleh pertumbuhan Pub berdekatan di kawasan itu, di mana suasana hingar bingar tidak kira waktu Maghrib, Isyak, tengah malam malah hingga menjelang Subuh.
"Umat Islam merasa keadaan ini sangat memalukan Islam dan kemungkaran yang berleluasa ini mestilah dihentikan," katanya. Selepas taklimat dan mendengar arahan, kumpulan yang menyerbu berjumlah kira-kira 90 orang dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyerbu dua Pub berdekatan.
Mereka pun memulakan serbuan seperti yang dirancang - dengan beberapa kumpulan di dua buah Pub. Lebih 10 buah van dan kereta telah digunakan. Kenderaan itu, kata ustaz itu, diletakkan di beberapa kawasan berdekatan Pub itu.
Di dapati dalam Pub itu suasana hingar bingar, bau arak, lampu berwarna warni, muzik, arak dihidangkan oleh pelayan di situ dan pelanggan duduk-duduk bersembang dengan perempuan yang ada di situ. Asap rokok, arak dan hilai tawa serta bunyi muzik menguasai suasana.
Yang ada di dalam Pub itu terdiri dari Melayu, Cina, India, Bangladesh (pekerja di situ). "Keadaan di dalam Pub itu memang sangat menghina Islam, penuh dengan kemungkaran," katanya.
Menurutnya, tidak munasabah orang yang mengunjungi pusat hiburan itu tidak minum arak kerana suasana di situ adalah merupakan pesta hiburan yang penuh dengan arak.
Ketika pihak pasukan penguatkuasa JAIS tiba di Pub itu, semua yang ada telah terperanjat, botol dan tin arak bersepah, keadaan bercelaru, mereka tidak sangka serbuan dilakukan.
Orang Islam yang benar-benar sedang minum arak dan pelayan diasingkan dengan orang bukan Islam lain. Semuanya diambil nama dan alamat masing-masing. Mereka diberitahu kesalahan meminum arak bagi orang Islam, sementara orang bukan Islam tidak dikenakan tuduhan.
Oleh kerana begitu ramai yang ada di dalam Pub dua tingkat itu, maka urusan membawa mereka ke balai polis berlansung hingga jam 3.30 pagi, sementara yang bukan Islam dibebaskan dan orang Islam yang tiada bukti minum arak di situ juga dibebaskan setelah diambil kenyataan mereka.
Yang ditahan hanyalah orang Islam yang menghidang dan minum arak kerana ini dianggap menghina Islam. "Apapun keputusan selepas ini, kami puas hati dan bersyukur kepada Allah bahawa kami sebagai orang Islam yang prihatin telah melaksanakan tanggungjawab kami mencegah kemungkaran seperti yang diperintah oleh Allah kepada setiap orang mukmin. Kami mahu memelihara maruah Islam," kata ustaz itu.
Apa yang berlaku ini dan walauapapun keputusannya, kes ini membuka mata dan pintu hati kebanyakan umat Islam untuk membezakan yang makruf dan mungkar. "Kami percaya umat Islam yang cintakan agamanya bersama kami dan menyokong segala usaha mencegah kemungkaran di mana saja di bumi Allah ini," katanya.
Sementara itu, malam minggu lalu (1 Julai) Pub ini membuat majlis besar-besar meraikan kemenangan mereka apabila dakwaan ke atas mereka ditarik balik oleh JAIS.
Penyanyi Pub tersebut yang mendapat publisiti besar-besaran selepas beliau juga turut didakwa telah turut memberikan ucapan di majlis tersebut.