Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kenyataan Barisan Alternatif (BA) Dr Mahathir guna Sauk alih perhatian rakyat

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Semakin nyata bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta beberapa orang pemimpin tertinggi Barisan Nasional yang lain sedang cuba mengggunakan peristiwa Sauk untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Ada dua matlamat mereka, pertama, untuk membabitkan parti-parti alternatif dengan peristiwa itu, dan kedua, untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada beberapa isu salah guna kuasa yang melibatkan Dr Mahathir, secara langsung atau tidak langsung.

Berhubung matlamat pertama, sekarang ini sudah jelas Dr Mahathir, tanpa segan silu dan tanpa bukti, menuduh PAS terutama sekali terbabit dengan gerakan Al-Ma'unah dan mungkin dengan Peristiwa Sauk itu juga.

Beliau berharap ini akan menimbulkan ketakutan di kalangan kebanyakan orang bukan Melayu khususnya, terhadap PAS dan sekali gus menambah sokongan kepada UMNO.

Ia juga memberikan peluang kepada BN untuk bertindak dengan cara lain bagi melemahkan PAS, misalnya, dengan membuat peraturan melarang penggunaan "Islam" pada nama parti politik, yang memang sudah lama hendak dilakukannya.

Perkara ini telah diulangi oleh Datuk Dr Rais Yatim, Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri.

Dengan menumpukan tuduhan terhadap PAS, Dr Mahathir juga berharap akan dapat menegangkan hubungan di antara parti-parti komponen dalam BA dan seterusnya melemahkan gabungan BA.

Sebenarnya, Dr Mahathir sedang berusaha untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap BN, yang banyak berkurangan dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Dr Mahathir bimbang sokongan terhadap beliau semakin merosot dan kedudukan BN dalam pilihanraya akan datang akan terancam.

Oleh kerana itu, beliau sudah memulakan dari sekarang kempen BN untuk memastikan kemenangannya dalam pilihanraya ke-12 kelak.

Kami ingin memberitahu Dr Mahathir dan meyakinkan rakyat bahawa BA akan terus wujud dan berusaha untuk meluaskan pengaruhnya di kalangan rakyat.

Berkaitan dengan matlamat keduanya itu, kami melihat dengan terang muslihat buruk Dr Mahathir hendak mengalihkan perhatian rakyat ramai daripada isu-isu besar yang lain yang sedang menghantuinya.

Pada 4hb Ogos ini keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan melakukan liwat akan dibuat oleh Mahkamah.

Anwar berkali-kali mendakwa bahawa Dr Mahathir terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkannya dengan membuat berbagai-bagai tuduhan liar.

Berkali-kali Dr Mahathir telah menghina mahkamah dengan mengulangi tuduhan umum bahawa kononnya Anwar dilucutkan daripada jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana salah laku seks.

Dr Mahathir telah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar sebelum pun Mahkamah berbuat demikian. Namun begitu, Dr Mahathir, yang dipanggil oleh pihak didakwa untuk menghadiri sidang mahkamah sebagai saksi, tidak berani tampil untuk mempertahan diri serta membukti tuduhannya.

Selain itu, semasa memberi keterangan dalam Mahkamah sebagai seorang saksi, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shafie Yahya, telah menceritakan bagaimana Perdana Menteri telah mengarah beliau supaya memberhentikan penyiasatan ke atas bekas Gabenor Bank negara, Tan Seri Ali AbulHassan.

Mengikut Datuk Shafie, BPR telah menjumpai wang tunai sebanyak RM100,000 semasa melakukan penyiasatan ke atas beliau di pejabatnya, ketika beliau menyandang jawatan selaku Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, sebelum diangkat menjadi Gabenor Bank Negara.

Ertinya, Dr Mahathir telah menyalah guna kuasanya untuk menyekat BPR menjalankan tugasnya.

Anwar Ibrahim telah dituduh kerana kononnya menggunakan kuasa untuk menyekat pihak polis menyiasat kes yang melibatkan dirinya.

Oleh kerana itu beliau dihadapkan ke Mahkamah dan dihukum enam tahun penjara kerana sabit kesalahan melakukan rasuah.

Dr Mahathir dituduh dalam Mahkamah menggunakan kuasanya untuk menyekat BPR menjalankan tugas.

Mengapakah Dr Mahathir tidak mahu membela diri dalam Mahkamah? Mengapakah tidak ada tindakan undang-undang diambil ke atas beliau, seperti yang diambil ke atas Anwar? Bukankah banyak laporan polis telah dibuat di merata negeri mengenainya?

Dr Mahathir bukannya hendak mengalihkan perhatian rakyat daripada perkara ini saja. Bahkan banyak lagi perkara yang lain.

Beberapa laporan polis telah dibuat yang menuduh bahawa Menteri Tun Daim Zainuddin dan Datuk Rafidah Aziz, serta korporat Tan Seri Eric Chia terlibat dengan berbagai-bagai jenis korupsi.

Mengapakah siasatan ke atas mereka dilengah-lengahkan? Mengapakah sehingga hari ini tidak ada tindakan diambil oleh Peguam Negara untuk mendakwa mereka dalam mahkamah? Adakah semata-mata kerana mereka berkuasa atau rapat dengan pucuk pimpinan pemerintah yang paling berkuasa? Adakah laporan-laporan ke atas mereka ini hendak dilupakan saja, atau sekurang-kurangnya ditenggelamkan dengan membesar-besarkan Peristiwa Sauk?

Selanjutnya, beberapa tuduhan telah dilemparkan oleh bermacam-macam pihak terhadap Ketua Hakim Negara.

Bukti-bukti dikemukakan bahawa Tun Eusoff Chin, selaku Ketua Hakim Negara, telah pergi bercuti di New Zealand bersama-sama seorang peguam yang terlibat dengan satu kes yang didengarnya.

Bahkan ada dakwaan juga bahawa peguam ini telah mengeluarkan belanja untuk percutian Ketua Hakim tersebut bersama keluarganya.

Eusoff Chin telah menafikan segala tuduhan atau dakwaan ini. Akan tetapi, sungguhpun tuduhan dan dakwaan itu serius, namun tidak ada siasatan nampaknya dilakukan.

Bahkan atas perakuan Perdana Menteri, jawatannya telah dilanjutkan selama enam bulan lagi selepas tarikh persaraannya.

Akhir sekali, selain daripada 27 orang yang terlibat secara langsung dengan Peristiwa Sauk, yang akan didakwa dalam Mahkamah, seramai 31 orang lain, yang dituduh sebagai pemimpin atau anggota Al-Ma'unah telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

ISA ini zalim kerana ia membenarkan pihak polis menahan seseorang selama sehingga 60 hari untuk siasatan.

Kemudian, Menteri Dalam Negeri boleh mengeluarkan perintah supaya orang itu ditahan sehingga dua tahun dan, jika perlu, melanjutkan tempoh tahanan itu selama dua tahun lagi dan seterusnya.

Seperti kita ketahui, menghukum atau menahan seseorang manusia tanpa membicarakannya secara adil bukan saja mencabul hak asasi manusia, bahkan bertentangan dengan ajaran semua agama yang dianuti dalam negeri ini.

Oleh kerana itu, kami mendesak supaya nama serta maklumat tentang semua mereka yang ditahan di bawah ISA ini hendaklah diumumkan dan mereka dengan segera dibebaskan tanpa syarat.

Jikalau tidak, mereka hendaklah dituduh secara rasmi dan diadili dalam Mahkamah terbuka.

Kami menentang apa saja percubaan oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan pengakuan daripada mereka yang ditahan ini bagi membabitkan orang lain, terutama sekali yang aktif dalam parti-parti politik, yang wujud secara halal di sisi undang-undang dan bergerak mengikut Perlembagaan.

Pihak pemerintah hendaklah memberi jaminan dan membuktikan bahawa mereka tidak ada rancangan hendak berbuat demikian.

Kami ingin mengulangi tentangan kami terhadap ISA dan menggesa supaya akta yang zalim ini dimansuhkan.

Nampaknya, pihak pemerintah sedang menggunakan Peristiwa Sauk ini untuk melanjutkan penggunaan ISA itu.

Ditandatangani oleh:
YB Datuk Haji Fadzil Noor,Presiden PAS
YB Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Presiden keADILan
YB Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung DAP
Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM

28hb Julai 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com