Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Terengganu peruntuk RM100,000 setahun untuk wakil rakyat

Sumber Berita :
Harakah Daily

KUALA LUMPUR 11 Julai 2000 (Hrkh): Kerajaan Negeri Terengganu mengambil keputusan untuk memberikan peruntukan RM100,000 setahun untuk setiap wakil rakyat (Dewan undangan Negeri dan Parlimen) di negeri itu tanpa mengambil kira dari parti pembangkang atau kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengesahkan perkara ini berkata, perkara itu telah diputuskan oleh Mesyuarat Exco Kerajaan negeri sebelum ini dan berkuatkuasa segera.

"Peruntukan itu diberikan kepada semua wakil rakyat samada pembangkang atau penyokong kerajaan negeri dan kita berharap kerajaan negeri lain serta Pusat juga memberikan layanan yang sama kepada wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat di setiap negeri," kata Menteri Besar di pejabat Harakah Isnin 10 Julai lepas.

Dengan tindakan ini, kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS melangkah selangkah lagi ke depan kerana kerajaan negeri yang ditadbir oleh Umno atau BN hanya memberikan peruntukan tersebut kepada wakil rakyat kerajaan sahaja. Wakil rakyat pembangkang samada Parlimen atau Dun tidak mendapat peruntukan tersebut.

Menurut Ustaz Hadi, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini adalah sebagai tanda tulus dan ikhlas kerajaan negeri untuk memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat samada yang menyokong kerajaan negeri atau tidak.

"Semua rakyat adalah sama taraf bagi kita," tegas beliau kepada Harakah. Menurutnya, peruntukan itu diuruskan oleh Pejabat Daerah dan wakil rakyat berkenaan bolehlah membuat kemitmen dengan rakyat masing-masing berdasarkan peruntukan tersebut.

Antara yang boleh dilakukan adalah projek pembangunan infrastruktur serta bantuan am di kawasan masing-masing berdasarkan nisbah yang telah ditetapkna oleh kerajaan negeri.

"Bagi ahli Parlimen, mereka hendaklah membahagikan peruntukan itu samarata di setiap empat kawasan DUN yang terletak di kawasan mereka," tambah Ustaz Hadi.

Negeri Terengganu mempunyai 32 Adun dan lapan anggota Parlimen.

Empat Adun di Terengganu adalah dari Umno manakala semua ahli Parlimennya adalah dari BA iaitu tujuh PAS dan satu KeADILan.

Dengan peruntukan ini bermakna, kerajaan negeri membelanjakan RM4 juta setahun untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan am melalui wakil rakyatnya.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com