Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Dakwaan Perdana Menteri Menghalang Tugas Ketua Pengarah, Badan Pencegah Rasuah

11.10 pagi

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor [Pendang]: Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Sejahtera. Bismillahir-rahmanir-rahim.

Tuan Yang di-Pertua, saya Ahli Parlimen Pendang, Fadzil Md. Noor dengan ini mengusulkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk Dewan yang mulia ini, merundingkan isu dakwaan bahawa Perdana Menteri menghalang tugas seorang pegawai awam iaitu Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah. [Tepuk]

Perkara ini isu tertentu, berkenaan kepentingan ramai, perlu disegerakan. Justeru itu sangat perlu diperbincangkan.

Tuan Yang di-Pertua, Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diberitahu oleh seorang saksi pembela bekas Ketua Pengarah BPR, Shafie Yahya, tanpa dicabar dan tidak dinafikan oleh pihak berkuasa bahawa beliau telah dihalang daripada terus melakukan siasatannya telah dimarahi oleh Perdana Menteri selepas beliau membuat serbuan ke atas Ketua Pengarah EPU pada waktu itu di pejabatnya.

Jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim akhirnya dipenjarakan di atas kes pertuduhan salah guna kuasa, maka tragedi salah guna kuasa Perdana Menteri seperti tersebut di atas adalah suatu jenayah yang lebih serius iaitu campur tangan kuasa politik eEksekutif peringkat tinggi mencemar kewibawaan dan ketelusan pimpinan kerajaan sendiri dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa. [Tepuk]

Penindasan terhadap kebebasan dan kewibawaan Badan Pencegah Rasuah sekiranya tidak ditangani akan menghakis ketelusan dan keadilan dalam negara kita ini. Kenyataan bersumpah Dato’ Shafie Yahya di mahkamah mestilah diambil pandang secara serius oleh Perdana Menteri dan seluruh jentera kehakiman negara.

Beratus-ratus laporan polis telah dibuat tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan jelas oleh pihak berwajib. Justeru, saya berpandangan isu ini spesifik atas kepentingan ramai dan perlu disegerakan. Sekian, terima kasih. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Pendang pada 10 Julai 2000 jam 4.10 petang. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini, saya sebagai Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat.

Syarat yang pertama ialah bahawa perkara itu tertentu; syarat yang kedua ia adalah bagi kepentingan orang ramai; dan syarat yang ketiga ialah ia berkehendak disegerakan.

Setelah saya meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini adalah perkara yang tertentu, ia adalah bagi kepentingan orang ramai. Tetapi pada fikiran saya perkara ini tidak perlu disegerakan.

Jika kejadian ini telah pun ada laporan polis, tindakan menyiasat akan diadakan mengikut proses undang-undang. Sebagai kebiasaan setiap laporan polis itu akan diadakan siasatan yang terperinci untuk mendapat keterangan yang sahih sebelum diambil apa-apa tindakan yang selanjutnya.

Oleh yang demikian saya menolak usul ini. [Tepuk]

Beberapa Ahli: [Bising]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat-Yang Berhormat, sila jaga tertib mesyuarat ya.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com