Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Tangkapan JAIS Dibuat Dengan Bukti Dan Saksi

Laporan Khas : Tangkapan Dibuat Dengan Bukti Dan Saksi

Interviu oleh wartawan kami dengan Mohd Sharif Iskandar, Pengerusi BADAR Puchong, yang menjadi ketua operasi dalam serbuan ke atas pub The Ship, anjuran JAIS, pada 10 Jun 2000.

Tolong ceritakan daripada awal bagaimana operasi itu dijalankan.

Saya dapat panggilan untuk operasi bersepadu yang dianjurkan oleh Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi daerah Petaling Jaya, Ustaz Nasir. Pada malam tersebut kami berkumpul di Masjid Mujahidin, Damansara Utama, sejak Maghrib. Kami mula bergerak sebelum pukul 1.00 pagi. Selain daripada beberapa premis di Damansara Utama, operasi juga dijalankan di tempat-tempat lain, termasuk di Jalan Othman, Petaling Jaya.

Saya diminta pergi ke The Ship bersama beberapa anggota operasi. Sampai di situ saya naik ke tingkat atas. Saya dengan Penghulu Amir (Penghulu Mukim Petaling) orang yang mula-mula masuk, diikuti oleh pegawai-pegawai JAIS yang lain.

Ada berapa orang pegawai JAIS?

Ada beberapa orang, termasuk yang bukan daripada Petaling. Ustaz Azizi daripada Petaling menyusul kemudian.

Mula-mula apa yang sdr buat?

Saya meminta semua yang ada di situ memberikan kerjasama, dan jangan cuba membuat sesuatu. Saya minta mereka keluarkan IC masing-masing dan letakkan di atas meja.

Ada lebih kurang berapa orang dalam tempat itu?

Semuanya lebih daripada 50 orang, tetapi orang Islam sahaja tidak kurang 35 orang. Mereka yang kita tangkap terdiri daripada orang-orang Islam, lelaki dan perempuan yang tengah minum arak, atau yang sedang menghidangkan arak, atau yang berpakaian tidak senonoh.

Siapa yang mengambil gambar?

Pada mulanya tidak ada siapa pun yang mengambil gambar. Setelah kira-kira setengah jam, saya teringat kamera saya di dalam kereta. Saya menyuruh sahabat saya, Sdr Azman, pergi mengambilnya. Jadi banyaklah yang tidak dapat dirakamkan di dalam gambar. Mereka yang berpakaian tidak senonoh telah sempat menukar pakaian. Ini termasuklah beberapa orang pondan yang baru selesai membuat persembahan lucah ketika kami membuat serbuan.

Sebagai contoh, kami sempat mengambil gambar seorang wanita yang sedang bertukar pakaian di bilik bersalin. Dia baru saja memakai seluar, dan tersedar bahagian dadanya terdedah, lalu dia cuba menutup dengan kedua tangannya.

Selain gambar, apa bukti-bukti lain yang ada?

Kita ada ambil botol arak. Mereka yang ditahan kerana sedang minum arak, kita juga ambil gelasnya sebagai bukti. Dan kita mempunyai saksi yang melihat kemungkaran-kemungkaran itu.

  

Selepas itu mereka yang ditahan itu dibawa ke balai polis?

Ya, malam itu juga mereka dibawa ke Balai Polis Damansara Utama, tidak jauh daripada The Ship. Ada gambar yang menunjukkan saya mengiringi orang-orang yang ditahan itu kr balai polis.

Sewaktu kita membuat laporan itu ada satu kejadian berlaku. Ada seorang tauke Cina datang dengan Mercedes, dia memarahi polis kerana tidak memberitahu dia mengenai serbuan itu, dan memaki hamun JAIS. Ada seorang pegawai JAIS cuba mempertahankan tindakan JAIS itu, hingga nyaris-nyaris berlaku pergaduhan sekiranya tidak dileraikan oleh anggota polis.

Premis The Ship itu ada dua bahagian, iaitu restoran dan pub. Akhbar-akhbar melaporkan ia berlaku di bahagian restoran. Sebenarnya ia berlaku di bahagian mana?

Ia berlaku di bahagian pub, di tingkat atas. Gambar-gambar yang dirakamkan itu membuktikannya.

Semua sekali yang terlibat dalam operasi malam itu berapa orang?

Semua sekali yang terlibat saya agak lebih daripada 120 orang, terdiri daripada anggota BADAR, Penguatkuasa SUK, RELA, dan JAIS daripada seluruh Selangor. Tetapi yang bersama-sama saya membuat operasi di premis The Ship kira-kira 30 orang.

  

Operasi itu tidak dianjurkan oleh JAIS pusat?

Ia dianjurkan oleh JAIS Petaling, tetapi turut disertai oleh pegawai-pegawai JAIS dari seluruh Selangor - dari Kuala Selangor, Sepang, Kuala Kubu, Kelang, Shah Alam dan sebagainya. Ustaz Nasir, Ketua Penguatkuasa Petaling, menjadi Ketua Operasi keseluruhannya pada malam itu.

Selepas membuat laporan polis, apa pula yang terjadi?

Kita balik ke tempat masing-masing. Beberapa hari selepas itu saya mendapat panggilan Ustaz Azizi, daripada ibupejabat JAIS di Shah Alam, memaklumkan yang pihak pendakwa mengatakan perkara ini tidak boleh dibawa ke mahkamah, kerana tidak cukup bukti.

Apa pandangan sdr terhadap apa yang berlaku itu?

Saya rasa terkilan, kerana bagi saya kita mempunyai bukti-buktinya. Tetapi orang-orang yang tak tahu hujung pangkal dan tak nampak kejadian itu, seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, boleh mengatakan tidak ada kemungkaran yang berlaku di situ.

Berkenaan dengan BADAR tadi, ada berita mengatakan ia telah dihapuskan. Bagaimana yang sebenarnya?

Memang betul ia pernah dihapuskan suatu masa dulu. Tetapi selepas itu ia dihidupkan semula oleh Datuk Nahwari, Pengarah JAIS ketika itu, yang perasmiannya diadakan di Masjid Muhajirin, Seri Damansara. Ahli-ahli BADAR dilantik daripada kalangan Nazir atau Pengerusi masjid, Imam masjid atau AJK masjid.

Wawancara ini akan di siarkan dalam Akhbar "Protes " (Editor: Ahmad Lutfi Othman) yang akan berada dipasaran tidak lama lagi .Sila hubungi pihak kami unutuk keterangan lanjut:019 2796362 (Encik Zabidi Bin Morad)

Sumbangan Ikhlas Daripada http://detik.daily.tripod.com/

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com