Oleh Johari Alwi,
Marang, Terengganu.
Sejurus selepas Gus Dur dilantik menjadi presiden ketiga Indonesia,
akhbar dua-kali-seminggu Harakah, sebelum pengurangan 'frequency'
penjualannya, dengan pantas mengucapkan syabas kepada Gus Dur dan
memaparkan kenyataan yang berbunyi "Siapa kata ulama tidak boleh
memerintah?". Persoalannya, mampukan ulama memerintah?
Negara umat islam terbesar yang memiliki lebih daripada 200 juta
orang penduduk masih tidak menampakkan prestasi yang membanggakan
walaupun setelah menerima bantuan kewangan daripada IMF yang
berjumlah berbilion dollar. Pertumbuhan ekonomi tidak mencapai tahap
yang boleh dibanggakan apatah lagi dengan harga matawang yang terus
menjunam.
Gus Dur sebagai pengganti Suharto yang didakwa akan membawa ekonomi
Indonesia pulih semula, telah berkali kali membuatkan rakyat
Indonesia kebingungan dengan gelagat beliau yang tidak pasti arah
tujunya. Tindakan beliau yang sibuk membuat lawatan ke luar negara
walaupun di atas dasar hubungan luar tidaklah menampakkan kecekapan
dan kesungguhan beliau mengendalikan permasalahan ekonomi yang
melanda.
Perkataan ulama yang asalnya daripada bahasa Arab bermaksud orang
yang berilmu. Di sudut bahasa kita, ulama dimaksudkan dengan mereka
yang memiliki dan memahiri ilmu agama iaitu islam. Adalah amat
mengelirukan jikalau 'title' ulama dikaitkan dengan kredibiliti dan
keupayaan memerintah walaupun memanglah ulama sepatutnya dan
seeloknya diberikan kuasa memerintah.
Mentadbir negara bukanlah merupakan sesuatu yang senang dan mudah.
Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang rasul dan sebagai pentadbir kota
Madinah, telah menggunakan prinsip syura - perbincangan untuk
mendapatkan persetujuan terhadap idea yang lebih bagus dan bernas.
Hal ini harus dijadikan contoh dan ikutan kepada mereka yang memimpin
sesebuah organisasi mahupun kenegaraan.
Ustaz Harun Taib semasa Muktamar PAS tempohari mencadangkan supaya
ulama bersiap sedia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terkini
untuk menangani permasalahan ekonomi dan sosial. Cadangan ini
merupakan satu langkah yang baik untuk menjadikan ulama sebagai
golongan cerdik pandai yang serba tahu dan serba boleh.
Tetapi haruslah disedari, perkembangan dalam bidang ilmu dan
teknologi secara mendadak di akhir kurun yang lepas telah menjadikan
bidang ilmu dan teknologi sebagai satu bidang yang amat luas dan
begitu mendalam. Hal ini telah menjadikan penguasaan bidang ilmu
secara total dan menyeluruh seperti yang telah dilakukan oleh cerdik
pandai islam zaman lampau tidak lagi munasabah dan tidak lagi
memungkinkan.
Oleh itu sebagai alternatif, selain dari cuba melengkap diri ulama
dengan pelbagai ilmu, apa yang sepatutnya dilakukan ialah menjemput
cerdik pandai di bidang ilmu lain untuk menyumbang ke arah kebaikan
dan kemajuan bersama. Adalah menjadi satu polisi yang bagus
sekiranya kerajaan pimpinan PAS dapat menggunakan sepenuhnya tenaga
professional yang terdiri dari kalangan ahli ahli PAS untuk
menyumbangkan idea dan pengalaman mereka.
Tidaklah merugikan, bahkan menguntungkan kesemua pihak terutamanya
rakyat jelata sekiranya sebarang polisi dan keputusan dalam bidang
tertentu dirujuk terlebih dahulu dengan mereka yang memiliki ilmu dan
pengalaman di bidang tersebut. Dengan itu, pentadbiran yang
dijalankan akan menjadi lebih cekap dan lebih bermutu. Hal ini akan
menambahkan keyakinan rakyat dan menjadikan rakyat mempunyai alasan
yang kukuh untuk terus memilih PAS sebagai parti alternatif kepada
UMNO.