Pilihanraya umum masih jauh lagi di hadapan. Tetapi persediaan
hendaklah dilakukan mulai dari sekarang. Sebagaimana yang kita sedia
maklum, persediaan merupakan di antara faktor penting yang menyumbang
ke arah kejayaan dan keberkesanan sesuatu perancangan.
Berdasarkan insiden dan peristiwa yang berlaku di tanahair kita
dewasa ini, peluang untuk BA mengambil alih tampuk pemerintahan
daripada BN adalah cerah. Apa yang berlaku banyak berpihak kepada BA.
Setakat ini, walaupun BN berusaha keras untuk memadamkan pengaruh BA
dan PAS terutamanya dengan pemanipulasian isu JAIS dan Sauk, itu
semua tidak mampu mencipta reaksi yang mereka inginkan daripada
rakyat jelata. Sebaliknya usaha tersebut telah banyak mencemarkan
kredibiliti mereka.
Penguasaan PAS di Kelantan adalah merupakan ujian besar yang pertama
untuk PAS dan penyokongnya dalam mentadbir selaras dengan temanya
"membangun bersama Islam".
Walaupun Kelantan adalah negeri yang agak malang dari segi hasil bumi
yang tidaklah banyak kecuali daripada hasil hutannya, namun langkah
kerajaan Kelantan yang berjimat dan bercermat di dalam pentadbirannya
telah membuka mata rakyat tentang kemampuan dan kebolehan PAS
mentadbir.
Dengan 'resource' yang terhad PAS mampu menguruskan pentadbiran
dengan agak berkesan, bagaimana pula sekiranya PAS mempunyai hasil
yang banyak (?). Perbandingan sebeginilah yang bermain di benak dan
di fikiran rakyat semua yang sedang berjinak dan memerhati PAS.
Langkah PAS berdialog dan menjaga kepentingan kaum bukan Islam telah
juga berjaya mengurangkan prasangka buruk terhadap ajaran Islam dan
seterusnya melonjak imej PAS satu tahap ke hadapan dibandingkan
sebelumnya.
Pembuangan Anwar daripada UMNO yang disusuli dengan pembongkaran dan
pendedahan salahlaku dan penyelewengan BN telah banyak membantu parti
pembangkang dan telah membuka kesedaran rakyat terhadap kepincangan
yang selama ini telah berakar umbi.
Pembangkang dari dulu telah berusaha mendedahkan penyelewengan dan
salahlaku, tetapi dengan ketiadaan bukti yang agak kukuh dan dengan
sorokan dan sekatan kepada data tertentu di dalam belanjawan daripada
dibentangkan dan dibincangkan secara umum, usaha mereka amatlah
terhad.
Alhamdulillah, DIA maha kaya. Penyingkiran Anwar, walaupun melalui
tindakan yang amat memalukan dan menggemparkan, telah banyak membawa
rahmat kepada negara kita dan umat Islam di Malaysia terutamanya.
Hari demi hari, tiadalah tindakan yang BN lakukan melainkan menjerat
dan menikam diri sendiri.
Kalaulah penguasaan PAS di Kelantan merupakan ujian besar yang
pertama dan PAS melepasi ujian itu dengan berjaya, penguasaan PAS di
Terengganu perlu dilihat sebagai ujian besar yang kedua yang perlu
dilepasi dengan kejayaan yang sama tahapnya atau lebih bagus daripada
itu.
Kenapa (?), kerana tanggapan seperti ini selalu timbul di kalangan
rakyat yang sedang mengkaji dan memerhati kemampuan dan keikhlasan
PAS, iaitu "memanglah sikap manusia untuk merendah diri,
berjimat-cermat, berhati-hati dan berkelakuan mulia sebelum mereka
senang, tetapi setelah menjadi kaya, ramailah nanti yang lupa daratan
dan memandang kuasa bukan lagi sebagai amanat tetapi sebagai kurnia
yang mesti dikawal dan tidak harus dilepaskan."
Oleh itu, kerajaan PAS Terengganu selain daripada menjalankan
tanggungjawab mereka memerintah, mereka juga perlu menjaga peribadi
dan perlakuan mereka supaya tidak disamakan lagak dan gaya dengan
pemimpin BN dan UMNO terutamanya yang terlalu gilakan harta dan
terlebih cintakan dunia.
Rakyat, terutamanya golongan profesional dan cerdik pandai, sedang
memerhati dan mengkaji kerajaan PAS Terengganu. Mereka sedang
melihat sejauh manakah jumlah wang yang banyak itu boleh dimanfaatkan
dan diuruskan dengan cara yang sebaik mungkin. Mereka juga mahu
melihat keterbukaan PAS dalam menangani permasalahan ekonomi dan
sosial.
Sebagai langkah menghapuskan tanggapan dan kesangsian rakyat dan
pemerhati, kerajaan PAS Terengganu perlu membuktikan kemampuan mereka
menyediakan suasana kehidupan yang mampu menyeimbangkan tuntutan
kemanusiaan iaitu keinginan rohani dan keinginan material.
Alhamdulillah, buat masa sekarang banyak tindakan kerajaan negeri
Terengganu yang harus dipuji dan diberi sokongan selaras dengan
tututan kerohanian yang mulia seperti pengurangan lesen menjual arak,
saranan agar golongan wanita di dalam kerajaan dan di tempat
kerja awam agar memakai pakaian menutup aurat, dan peningkatan
bilangan ceramah dan bengkel agama.
Namun begitu, rakyat juga ingin melihat usaha yang lebih ke arah
membangunkan struktur sosial dan ekonomi. Mengurangkan kadar
kemiskinan dan meninggikan taraf kehidupan bukanlah satu usaha yang
boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat. Walaupun begitu,
perancangan dan tindakan ke arah itu hendaklah dilakukan bermula dari
sekarang.
Sebagai cadangan, kerajaan PAS Terengganu boleh melaksanakan
rancangan jangka pendek seperti pembangunan yang mampu dilihat
hasilnya dalam masa setahun atau dua tahun sahaja selepas
perlaksanaannya. Tahun yang akan datangnya, dilaksanakan perancangan
yang lainnya. Langkah seperti ini amat bagus dan berguna kerana
sebagaimana kita sedia maklum, kebanyakan rakyat buat masa sekarang
ingin melihat buktinya.
Selepas pengaruh dan penguasaan PAS di Terengganu agak kukuh dan
selesa, kerajaan negeri bolehlah maju selangkah lagi dengan
memperkenalkan rancangan jangka panjang seperti projek yang mampu
dilihat hasil dan kesannya empat tahun selepas perlaksanaan dan
penyiapannya.
InsyaAllah, sekirannya PAS berjaya melepasi ujian besar ini dengan
cemerlang dan rakyat pula dapat diyakinkan, PAS akan menempuhi ujian
besar yang seterusnya iaitu mengetuai pentadbiran negara di bawah
pakatan BA selepas pilihanraya ke-11 nanti.
Masa depan perjuangan BA menegakkan keadilan adalah cerah. Harapan
rakyat Islam Malaysia melihat agama Islam didaulatkan adalah juga
cerah. Tahap toleransi dan kesefahaman di antara parti di dalam
gabungan BA pula sudah meningkat.
DAP sudah menunjukkan keterbukaan mereka menerima konsep keislaman
yang dipelopori oleh PAS walaupun mereka, sebelum daripada bergabung
dalam BA, telah secara terang-terangan menentang. Masing-masing
sudah faham. Masing-masing sudah sedar.
DAP faham, untuk menjaga kepentingan kaum minoriti adalah melalui
pakatan dengan parti kaum majoriti. PAS juga sedar, untuk mengambil
alih kerajaan, bergabung dengan parti minoriti tidak dapat dielakkan.
Mereka yang agak sangsi dengan PAS dan DAP tetapi tidak pula mahu
menyokong kerajaan yang sedia ada, keADILan dan PRM boleh dijadikan
landasan selesa. Menyokong KeADILan dan PRM adalah juga bermakna
menyokong pakatan BA.
Untuk mencapai hasrat dan matlamat perjuangan, masing-masing
hendaklah meneruskan usaha. Parti-parti di dalam BA perlu terus
memantapkan organisasi dan kempen mereka. Rakyat pula perlu menjaga
sistem demokrasi dan keharmonian yang ada semoga pengambilalihan
kuasa nanti dapat dilakukan secara aman dan tanpa bencana.
Johari Alwi,
Marang, Terengganu.
Julai 26, 2000