KOTA BAHARU, - Kerajaan Kelantan akan membayar tunggakan gaji kakitangan awam negeri itu bulan ini dengan kenaikan gaji sebanyak 10 peratus itu berkuatkuasa Januari lepas, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz berkata, tunggakan selama enam bulan itu berjumlah RM2.3 juta dan akan dibayar sekaligus kepada kira-kira 4,000 kakitangan dan pegawai Kerajaan Negeri pada minggu ketiga bulan ini.
"Kakitangan awam berkenaan juga akan menerima gaji baru bermula bulan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Keputusan bayaran tunggakan itu akan dibuat pada mesyuarat Exco berkenaan.
Nik Aziz berkata, ekoran daripada kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan PAS Kelantan terpaksa mengeluarkan tambahan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM4.6 juta setahun, menjadikan keseluruhannya kira-kira RM51 juta setahun.