Dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO ke-54, pada 11 Mei lalu, Dr Mahathir Mohamad telah menyangkal kewujudan konspirasi terhadap Anwar Ibrahim sebagaimana yang didakwa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Di hadapan lebih dua ribu para perwakilan, pemerhati dan jemputan di dewan PWTC, Kuala Lumpur serta disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen Malaysia, Perdana Menteri berkata, "Penyingkirannya (Anwar) bukan kerana konspirasi, dia bukan disingkir kerana politik saya atau politik UMNO. Dia disingkir kerana moralnya yang buruk yang menjadikannya tidak sesuai untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia."
Ucapan Mahathir itu dibuat di khalayak umum. Pada waktu itu perbicaraan kes tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim sedang berjalan. Kes itu akan diputuskan pada 4 Ogos ini. Ucapan Mahathir yang bersifat "sub judice" itu boleh ditafsirkan sebagai satu usaha sengaja Mahathir untuk mempengaruhi mahkamah. Dari segi undang-undang apa yang Mahathir lakukan itu merupakan satu kesalahan menghina mahkamah.
Ini bukan kali pertama Mahathir berusaha mempengaruhi Mahkamah dan dalam masa yang sama menghina mahkamah. Pada 17 Februari lalu Mahathir berkata dia hanya akan memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan Anwar jika diperintahkan berbuat demikian tetapi dia mempersoalkan bahawa peguambela-peguambela Anwar sengaja mahu main politik. Kemudian Mahathir berkata dia tidak fikir keterangannya perlu.
"Saya tidak tahu banyak tentang perkara ini. Saya fikir semua bukti telah diberi... Terdapat keinginan politik untuk meletakkan saya di kandang saksi," komen Mahathir.
Di mahkamah, pada sebelah petang hari yang sama, para peguambela telah membantah komen Mahathir itu. Mereka berkata komen Mahathir itu sebagai satu usaha mempengaruhi mahkamah. Ia boleh dianggap menghina mahkamah. "Sebelum Hakim membuat keputusan, PM telah membuat keputusan lebih dulu," kata Gobind Singh Deo, peguambela bagi Sukma Darmawan, adik angkat Anwar yang dituduh sama meliwat Azizan Abu Bakar.
Pada keesokannya, 18 Februari, Hakim Dato' Ariffin Jaka telah mengeluarkan arahan. "Saya telah berkata berkali-kali sepanjang perbicaraan ini bahawa semua orang, tidak kira menteri-menteri atau ahli politik, hendaklah berhenti dari membuat komen terhadap kes yang sedang berjalan ini," Jelas Hakim Ariffin Jaka memberi teguran kepada Mahathir.
Hanya sekadar teguran saja. Tetapi dua orang peguambela Anwar, Zainur Zakaria dan Karpal Singh masing-masing telah dikenakan tindakan undang-undang kerana bercakap sesuatu di dalam mahkamah semasa perbicaraan. Zainur Zakaria dihukum penjara oleh Hakim Dato' S.Augustine Paul kerana menghina mahkamah dalam perbicaraan Anwar yang terdahulu. Sementara Karpal Singh dituduh menghasut oleh Pendakwa raya kerana mengatakan Anwar Ibrahim diracun semasa perbicaraan Anwar yang kedua di depan Hakim Ariffin Jaka. Tetapi Mahathir yang memburuk-burukkan nama dan peribadi Anwar berkali-kali dan berterang-terangan, hanya setakat teguran sahaja, tanpa tindakan yang lebih tegas dari itu.
Dua bulan selepas Mahathir memberi komen yang membawa maksud dia enggan ke mahkamah, maka pada 21 April lalu, Hakim Ariffin Jaka memutuskan bahawa Mahathir tidak perlu hadir sebagai saksi pembela untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Anwar Ibrahim. Jadi kehendak Mahathir dipatuhi.
Kini sekali lagi Mahathir mendahului keputusan hakim. "Bolehkah saya berdiam diri dan membiarkan orang seperti ini (Anwar ) terus berada dalam kerajaan dan bakal menjadi Perdana Menteri?" tegas Mahathir dalam ucapan dasarnya selaku Presiden UMNO dalam perhimpunan Agung pada 11 Mei lalu.
Mahathir telah menghukum Anwar lebih awal dari keputusan Hakim Ariffin Jaka. Ucapan ini dibuat tidak sampai tiga bulan yang lalu. Jelas Mahathir cuba menekan hakim yang mendengar kes perbicaraan Anwar Ibrahim.
Jika Mahathir seorang biasa dan bercakap seperti apa yang dikatakannya itu, kesannya tidak seberapa walaupun ianya salah dari segi undang-undang kerana "sub judice". Tetapi Mahathir adalah seorang Perdana Menteri. Hakim-hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri Malaysia agak besar. Jadi setiap patah perkataan seorang Perdana Menteri, seperti Mahathir dianggap serius, lebih-lebih lagi jika diulang berkali-kali.
Terlalu banyak bukti dalam perbicaraan kes Anwar Ibrahim ini, minat Mahathir untuk mempengaruhi mahkamah, menekan hakim dan memperalatkan Peguam Negara dan Pendakwa raya serta polis amat nyata sekali. n
tMK