Kepala Batas – 30hb Julai 2000, kira-kira jam 10.30 pagi, Balai Polis Daerah
Kepala Batas hari ini telah mencipta sejarah apabila menerima laporan polis
yang ditandatangani oleh 1550 orang pelapor yang membuat aduan ke atas Dato’
Seri Dr. Mahathir Mohamad berhubung pendedahan Dato’ Syafie Yahya di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12hb Jun lalu.
Dalam keterangan Dato’ Shafie Yahya (Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah
Rasuah) ketika menjadi saksi utama peguambela Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
beliau menyatakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pada 12hb Jun
1998, beliau telah dipanggil oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan
dimarahi kerana beliau telah mengeledah pejabat Ketua Unit Perancang
Ekonomi, Dato’ Ali Abul Hassan Sulaiman dan menemui wang tunai berjumlah
RM100,000. Dalam keterangannya juga beliau menjelaskan bagaimana beliau
merasa begitu kecewa kerana Dr. Mahathir sanggup melindungi pelakuan rasuah
dengan mengarahkan beliau menghentikan siasatan ke atas Ali Abul Hassan
serta merta.
Memandangkan tindakan Dr. Mahathir ini adalah merupakan satu kesalahan di
bawah seksyen 2 Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta Pencegah Rasuah 1997,
maka Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan laporan polis yang pertama
ke atas Dr. Mahathir. Tindakan beliau telah disusuli oleh beberapa pihak
dan Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia telah melancarkan Program Jelajah
Semenanjung “Gerakan Menghukum Mahathir” yang merupakan satu agenda khusus
untuk memastikan Dr. Mahathir dibawa ke muka pengadilan.
Bermula dari 25hb Jun lalu, Sdr Ezam Mohd Nor dan beberapa Exco Kanannya
telah turun ke seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia bermula dari Wilayah
Persekutuan dan berakhir di Johor pada 23hb Julai lalu. Selain daripada
membuat laporan polis secara beramai-ramai, mereka juga telah selesai
mengedarkan sebanyak 1 juta salinan Laporan Polis Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ke atas Dr. Mahathir berhubung isu tersebut. Malangnya sehingga kini
Dr.Mahathir masih lagi belum dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan
keterangan berhubung dengan laporan polis yang telah mula dibuat oleh ribuan
rakyat sejak 48 hari yang lalu. Sehingga kini pihak Polis hanya mengambil
keterangan Sdr Ezam Mohd Nor, Sdr Tian Chua dan telah memanggil Dato’ Syafie
Yahya sebanyak tujuh kali. Malangnya sehingga kini pihak polis langsung
tidak menunjukkan minat mereka untuk menyiasat Dr. Mahathir yang merupakan
tertuduh dalam kes ini.
Sehubungan dengan itu, Sdr Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda KeADILan) diiringi
oleh Prof. Dr. Mansur (Pengerusi Perhubungan KeADILan Pulau Pinang), Sdr
Chia Kah Peng (Tim Pengerusi Perhubungan), YB Sdr Rahman Kadir (Adun
Penanti), Sdr Johari Kasim (Ketua Pemuda Negeri) dan ramai lagi pimpinan
alternatif lain telah melancarkan laporan polis terbesar (1,550 orang) di
Balai Polis Kepala Batas yang terletak di dalam Kawasan Parlimen Menteri
Dalam Negeri, Dato’ Seri Abdullah Badawi hari ini.
Menurut Sdr Ezam yang berpeluang berucap sebelum laporan polis dibuat, “Kita
memilih Kepala Batas kerana sudah puluhan laporan polis dibuat berhubung isu
ini oleh ribuan rakyat, mungkin dengan membuat laporan di kawasan Parlimen
Menteri Dalam Negeri akan menarik minat polis untuk melakukan sisatan ke
atas Dr. Mahathir.” Ezam juga telah memberikan notis 30 hari kepada pihak
polis untuk mengambil tindakan ke atas Dr. Mahathir dengan membawa beliau ke
muka pengadilan. Sekiranya pihak polis tidak melakukan apa-apa dalam masa
30 hari, beliau sekali lagi akan turun di Kepala Batas untuk mengetuai
Demonstrasi Besar-besaran mendesak agar Dr. Mahathir dibawa ke muka
pengadilan.
Lokman Adam
Exco Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia