Laporan asal :
Malaysia Kini
Oleh : Fathi Aris Omar
Segelintir ahli Al-Ma'unah yang "merampas senjata dan membunuh" dihadapkan ke mahkamah untuk ditahan reman tetapi mereka yang tidak terlibat dalam drama di Sauk nampaknya "diculik oleh polis" di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apakah tindakan ini wajar?
Memang benar akta politik ini tidak mewajibkan polis mendedahkan identiti tahanan ISA. Tetapi trend ini nampaknya makin menjadi-jadi sejak peristiwa reformasi tahanan ISA pada September hingga November 1998 lalu.
Semua orang tahu ISA mempunyai motif politik. Melalui ISA yang tidak memerlukan proses mahkamah dan prosedur polis yang lazim, salah laku polis ke atas tahanan kemungkinan besar berlaku.
Misalnya bagaimana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang asalnya ditahan di bawah Kanun Keseksaan bagi tujuan menyiasat kes sodomi tetapi kemudiannya diubah serta-merta di bawah ISA selepas dibelasah sehingga hampir maut oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Begitu juga dakwaan penyeksaan terhadap tahanan-tahanan seperti Sukma Darmawan, Dr Munawar Anees dan aktivis reformasi, Abd Malek Hussain. Apakah anggota Al-Ma'unah yang kini ditahan di bawah ISA akan mengalami nasib seperti mereka?
Rakyat sendiri sedar sudah terlalu ramai aktivis-aktivis politik, badan bukan kerajaan dan badan agama yang bersikap kritis terhadap kerajaan (baca: pemimpin Umno dan Barisan Nasional) dituduh sebagai "anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara."
Apa jenis ISA ini kalau bukan untuk menutup kelemahan kerajaan sendiri?
Jika kerajaan atau polis tidak bersedia mendedahkan identiti anggota-anggota pertubuhan silat Al-Ma'unah yang ditahan ISA tetapi menahan reman mereka yang terlibat dalam insiden di Sauk, nyata sekali kerajaan berniat tidak ikhlas.
Kerajaan akan terbukti lebih tidak ikhlas jika tidak bersedia mendedahkan nama, foto dan identiti ahli-ahli Al-Ma'unah ini, sebaliknya nanti (lihatlah beberapa minggu dari sekarang) bersedia mendedahkan (selalunya dalam televisyen) pengakuan "saya sudah insaf!"
Siapakah yang lebih terbukti berbahaya, 800 anggota Al-Ma'unah atau 27 "penjenayah" yang membunuh di Sauk? Kenapa penjenayah yang merampas ratusan senjata berbahaya dan membunuh anggota pasukan keselamatan dihadapkan ke mahkamah untuk direman - dan akan didakwa atas tuduhan membunuh - tetapi mereka yang tidak berada di Sauk ditahan ISA?
Sikap seperti ini akan membuka ruang kritikan dan syak-wasangka di kalangan masyarakat terhadap ketulusan tindakan polis. Kerajaan boleh ditafsirkan cuba melumpuhkan pergerakan silat Al-Ma'unah dengan berselindung di sebalik drama di Sauk.
Selama ini, taktik menggunakan ISA, misalnya dalam kes Datuk S. Nallakaruppan, menimbulkan keraguan awam. Kes tahanan ISA ke atas penduduk Kg Memali selepas insiden itu -- sampai sekarang kes mahkamahnya belum selesai -- belum lagi terjawab.
Selama ini pun, misalnya dalam Operasi Lalang 1987, kerajaan mencipta drama tertentu dan diakhiri dengan kesudahannya tangkapan ISA terhadap aktivis pembangkang. Selalunya pula, ISA digunakan selepas pilihan raya umum!
Hai, nampaknya kerajaan selalu cuba mengingatkan kepada rakyat dan aktivis masyarakat bahawa: "jaga-jaga ISA akan mengejar kamu."
Rakyat berhak tahu siapakah mereka yang ditahan di bawah ISA itu -- mula-mula 15 orang pada Khamis lalu dan kemudiannya 23 orang lagi Sabtu lalu? Apakah mereka benar-benar terlibat dengan drama rampasan di Sauk? Atau, mereka hanya ingin belajar silat bersama kumpulan ini?
Menurut laporan akhbar, tiga orang profesional anggota Al-Ma'unah yang ditahan di Kuala Lumpur hujung minggu lalu menyimpan tiga parang -- cukupkah "parang" dijadikan bukti untuk meyakinkan rakyat bahawa "gerakan berbahaya" ini sedang wujud di negara ini?
Parang merupakan senjata biasa yang tersimpan di semua rumah orang Melayu, seperti juga pisau, cangkul dan mungkin keris.
Satu lagi persoalannya, apakah anggota Al-Ma'unah ini tidak boleh ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan? Apakah tidak cukup tempoh 14 hari untuk soal-siasat?
Lagipun, imej ISA sudah gagal meyakinkan masyarakat. Janganlah cuba menggunakan drama rampasan di dua buah kem di Grik, ratusan senjata yang dipaparkan di dada-dada akhbar dan dua kematian anggota keselamatan untuk menghalalkan ISA semula.
Cukuplah, kerajaan harus mencari jalan yang lebih kreatif untuk meyakinkan banyak pihak dalam drama terbaru ini.
Kerana, walau bagaimana benar sekalipun insiden di Grik dan Sauk itu, nampaknya kerajaan, media dan polis yang mengalami krisis kepercayaan yang besar akan tetap dipertikaikan.
Dan... ISA akan membesarkan lagi krisis kepercayaan rakyat terhadap cara kerajaan menangani isu Al-Ma'unah.