Sejak kebelakangan ini, beberapa orang penulis mula
mengalihkan tumpuan mereka daripada mengkritik UMNO
dan BN kepada PAS, Keadilan dan BA. Sebagai seorang
penulis (walaupun masih baru), saya menghormati
keputusan mereka ini untuk menjadi golongan watch-dog
kepada perjalanan BA ini.
Sayuti dengan bukunya, Tiga Abdul, dan Fathi Aris Omar
melalui Malaysiakini, dengan secara terbuka menjadikan
sasaran mereka adalah PAS, Keadilan dan BA. Mereka ini
menulis sama ada buku atau artikel yang menyentuh soal
penyelewengan, kelemahan dan kegagalan dalam parti
pembangkang tersebut.
Mereka ini adalah antara kalangan penulis politik yang
dihormati kerana pandangan, idea dan fikrah yang
mereka lontarkan mempunyai kreadibiliti yang boleh
diterima. Apatah lagi, pengalaman yang mereka miliki
menjadikan penulisan mereka sebagai antara penulisan
yang boleh diterima pakai dalam dunia politik.
Walau bagaimanapun, sudah pasti sebagai manusia,
mereka terdedah kepada kesilapan. Sebagaimana yang
mereka sering kritik PAS, Keadilan dan BA, sama ada
penyelewengan, kelemahan dan kegagalan, maka mereka
sendiri tidak lari daripada unsur-unsur tersebut.
Melainkan sekiranya mereka mendakwa hanya mereka
sahaja yang betul, dan mereka yang lain, tidak kira
sama ada UMNO dan BN, atau PAS, Keadilan dan BA adalah
total salah.
Saya melihat keghairahan mereka ini dalam mengkritik
pembangkang, kadang-kadang membawa kepada kelalaian
mereka dalam menjaga kesahihan maklumat yang mereka
muatkan dalam tulisan mereka. Seolah-olah, mereka
terkena tempias sikap yang diambil oleh media utama
tempatan yang tidak lagi menjaga kesahihan sumber dan
maklumat yang diperoleh.
Sebagai contoh, Sayuti dalam bukunya Tiga Abdul,
mendedahkan salah seorang daripada tiga Abdul yang
dimaksudkan telah melakukan jenayah, iaitu, menyimpan
dan menonton vidoe lucah. Barangkali, Sayuti
tergelincir sewaktu beliau ghairah untuk menyingkap
isu ini.
Secara sedar, Sayuti telah terlibat, sama ada jenayah
fitnah atau jenayah mengumpat. Saya kira, Sayuti
bernasib baik apabila dia tidak menentukan antara tiga
Abdul tersebut yang melakukan jenayah tersebut. Dengan
tidak berbuat demikian menyebabkan beliau terlepas
daripada kemungkinan disaman.
Begitu juga dengan Fathi, melalui artikelnya, dia
mengambil maklumat tanpa menyatakan sumber sehingga
seolah-olah mengabaikan kepentingan unsur thiqoh
(kepercayaan) dalam artikelnya. Walaupun dia berhak
untuk menyembunyikan sumber tersebut, tetapi tindakan
yang diambil menyebabkan berlaku pandangan serong
terhadap kekuatan pembangkang.
Adakah wujud grand design di sebalik kritikan mereka?
Hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu. Atau adakah
kerana mereka tidak puas hati? Hanya mereka dan Allah
sahaja yang tahu. Atau adakah sebab-sebab lain? Kita
hanya menunggu pengakuan ikhlas daripada mereka!
Hj Mohnas
Mesir