Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Al-Syeikh Abdul Halim mufti baru Terengganu

KUALA LUMPUR: Seorang ulama’ berwibawa, Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir dilantik sebagai Mufti Baru Negeri Terengganu berkuatkuasa 1 Julai lalu menggantikan Dato’ Engku Alwi Engku Ambak yang bersara baru-baru ini.

Al-Syeikh Abdul Halim, 65 yang berasal dari Besut, Terengganu menerima tawaran berkenaan dari Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Menjelang tengah malam Rabu, 21 Jun lalu Al-Syeikh Abdul Halim menerima panggilan telefon dari Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) memintanya melapor diri dan membuat persiapan awal sebagai mufti negeri itu, 2 Julai lepas.

Al-Syeikh Abdul Halim, mempunyai hubungan keluarga dengan tokoh ulama, terkemuka Kelantan zaman silam, Tok Kenali. Beliau lahir di Jertih, Besut tahun 1935 memulakan pengajian awal di bidang agama di Pondok Jertih, Kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negeri di sekolah Menengah Rendah, Darul Ulum, Makkah, Arab Saudi dari tahun 1953 hingga1956. Masjid al-Haram, Makkah (1955 hingga 1959), Menengah Atas, al-Ma’ahad al-‘Ilmi al-Saudi, Madinah (1957) hinga 1959).

Al-Syeikh Abdul Halim berjaya meneruskan pengajian di Kuliah al-Syariah Universiti al-Azhar, Mesir (1960 hingga 1965) dan mendapat Diploma Pendidikan Universiti al-Azhar, Mesir (1966).

Sebagai sumbangan khidmatnya kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia, beliau pernah memegang jawatan sebagai Penolong Nazir Guru-guru Agama Kerajaan Kelantan )1967 hingga 1977), Pensyarah Pendidikan Agama Islam Maktab Perguruan Seri Kota, Kuala Lumpur (1978 hingga 1984), Penolong Pengarah Agama dan Dakwah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia (1985 hingga 1990) dan Pensyarah Kontrak Maktab Perguruan Islam Malaysia, Bangi Selangor (1993 hingga 1994)

Al-Syeikh Abdul Halim tidak ketinggalan berkecimpung dalam aktiviti sosial dan berpesatuan di mana beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Bharu, Kelantan (1975 hingga 1978), Pengerusi ABIM Wilayah Persekutuan (1981 hingga 1988) dan Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia, Wilayah Persekutuan (1984 hingga 2000) kecuali tahun 1993 hingga 1994)

Beliau seorang pendidik dan pendakwah yang begitu dikenali di Lembah Kelang kerana sering mengajar dan menyampaikan ceramah agama di masjid-masjid dan Jabatan-jabatan Kerajaan di kawasan berkenaan.

A-Syeikh Abdul Halim turut memberi sumbangan dalam bidang koperat sebagai Penyelaras Lajnah Tarbiyyah Koperasi Muslimin (M) Berhad, Ahli Panel Syariah Koperasi Muslimin (M) Berhad dan Ahli Panel Syariah Amanah Saham Darul Iman (ASDI).

Beliau selalunya menjadi pengapit dan juru bahasa kepada ulama' luar egeri yang berkunjung ke tanah air seperti syeikh Yusuf al-Qardawi, almarhum syeikh Mohamad al-Ghazali dari Universiti al-Azhar Mesir dan lain-lain.

Sesiapa yang tinggal disekitar Gombak, Kuala Lumpur akan mengenalinya kerana selain dari memberi kuliah di Lembah Kelang, al-Syeikh abdul Halim adalah seorang dari imam Masjid Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur.

Sebelum menjadi Mufti Terengganu beliau dicalonkan menjadi ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan.

Mempunyai seorang isteri, Hajjah Rohana Omar dan lima anak yang berjaya dalam pelajaran dan profesion termasuk Ahmad Hilmy (Pegawai Bank), Hisyam (Akauntan), Huwaida (Doktor Perubatan), Hamdi menuntut sebagai Mahasiswa Tahun Dua, Universiti Utara Malaysia dan Husna, pelajar Tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur.

Dipetik daripada Warta Terengganu


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com