Kenyataan Akhbar Presiden PAS : Ahli PAS Diminta Bertenang
Berikutan dengan berbagai fitnah yang cuba dilontarkan kepada PAS oleh Umno dan Barisan Nasional, dan cubaan mengaitkan PAS dengan peristiwa di Sauk, Perak, PAS menerima banyak aduan daripada ahli dan penyokong yang merasa tertekan dan marah atas tuduhan yang tidak bertempat ini.
Sebagai sebuah parti politik yang bermaruah, yang telah lama turut menbentuk aliran pemikiran rakyat ke arah Islam, masyarakat yang cintakan keamanan dan hidup dalam sistem demokrasi berparlimen, PAS merasa amat dukacita apabila Presiden Umno dan pemimpin Umno serta Barisan Nasional yang lain berterusan membawa rasa kebencian orang ramai terhadap PAS, dengan mengaitkan PAS dengan jenayah berat yang langsung tidak boleh diterima akal.
Kami ingin menegaskan bahawa PAS mendapat amanah besar rakyat yang diperolehinya dalam pilihan raya yang lalu bagi mentadbir dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.
Umun mengetahui bahawa PAS melaksanakan amanah ini dalam batas yang diizinkan oleh perlembagaan, sejajar pula dengan aspirasinya menegakkan sistem sosio-budaya dan politik yang berlandaskan Islam.
Sokongan rakyat terhadap PAS semakin meninggkat sejajar dengan peningkatan tarat pendidikan dan sosio-ekomoni rakyat.
Sokongan datang daripada orang Islam dan bukan Islam, tanpa mereka berasa curiga sedikitpun akan kemampuan PAS dan rakan-rakannya dalam Barisan Alternatif.
Kami memahami kekecewaan yang ditangung oleh Umno dan Barisan Nasional akibat daripada anjakan sokongan kepada BA ini.
Tetapi inilah harga yang mesti dibayar oleh Umno dan BN hasil daripada pemerintahannya selama ini yang cacat oleh kerana kerosakan akhlak pemimpinnya dan angkara politik kezaliman dan kepincangan serta penyelewengan pengurusan ekomoni dan pembangunan negara, yang mengamalkan politik wang, rasuah, salahguna kuasa, nepotisme dan kronisme.
Jika pihak pembangkang selama ini boleh menerima kekalahan dengan sikap terbuka, mengapa BN tidak boleh berlapang dada dengan hukuman yang dijatuhkan oleh rakyat?
Mengapa mereka mengambil pendekatan bermusuhan secara besar-besaran dengan pihak lawannya?
Peristiwa di Sauk adalah satu sejarah malang bagi rakyat Malaysia. Tidak ada sesiapa yang waras pemikirannya mahu sejarah sedemikian berlaku atau berulang.
PAS bersimpati dengan keluarga anggota keselamatan yang terkorban.
Apa yang menjadi buah mulut di kalangan orang ramai ialah bagaimana peristiwa itu boleh berlaku dalam keadaan pihak tentera kita dikatakan sangat profesional, dan pihak polis berada dalam keadaan paling efisien.
Terlalu banyak ruang-ruang yang memimbulkan tanda -tanya yang tidak terjawap.
Ini berpunca daripada berbagai kenyataan media dari berbagai pihak berkuasa sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Ketua Polis Negara dan lain-lain individu yang sama ada bercanggah antara satu sama lain, atau pun yang tidak munasabah.
Peristiwa ini telah diulas oleh berbagai media penyokong kerajaan yang akhirnya memimbulkan kekeliruan.
Rakyat cuba membuat bacaan, analisa dan andaian sendiri akibat kecelaruan yang mungkin sengaja diwujudkan.
Ini adalah krisis keyakinan terhadap sistem keselamatan negara kita. Nampaknya kita tidak serik dengan apa yang terjadi di Pulau Sipadan dan kehilangan senjata Steyr dari Kem Kemunting.
Kini berlaku lagi. Bilakah kita akan mula mengedari kelemahannya dan tidak terus-menerus menafikan kelemahan ini? Bolehkah mereka menjawap segera bagaimana dua buah kem tentera boleh dirompak dalam satu pagi, oleh 15 orang yang berkepalakan seorang bekas prebet tentera yang di sifatkan oleh Ketua Polis Negara sebagai tidak stabil?
Bolehkah Ketua Polis Negara menjelaskan bagaimana pihak Cawangan Khas yang terkenal berbisa itu tidak boleh mencium aktiviti sekumpulan manusia dalam kebun durian Sauk yang mencurigakan orang kampung itu sendiri?
Dapatkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memberikan rasional bagaimana mereka boleh mengiktiraf kumpulan Al- Maunah sebagai satu kumpulan yang sahih dari segi Islam, sementara bagaimana pula Pendaftar Pertubuhan boleh meluluskan pendaftaran kumpulan ini kalau tidak kerana mereka meyakini tentang kesahihan mereka?
Adakah mereka pernah merujukkan pekara ini kepada PAS? Mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka dan mencari kambing hitam bagi menutup aib mereka sudah menjadi taktik kotor biasa BN.
Mempolitikan isu ini, lebih-lebih lagi membusukkan nama PAS, adalah taktik kotor yang sama kotornya dengan peristiwa Sauk itu sendiri.
Presiden Umno berharap kita akan lupa dengan kelemahan kerajaan, lupa dengan dengan sistem keselamatannya yang ketinggalan zaman, lupa dengan amalan kesetiaan membuta tuli orang bawahan kepada pemimpin yang bermula dari sistem penjajah, lupa dengan kelalaian pihak yang bertangungjawab memimpin organisasi masing-masing dan lupa bahawa kepimpinannya sudah tidak di terima rakyat lagi.
Beliau cuba menagih simpati orang bukan Melayu dengan menakut-nakutkan mereka seolah-palh mereka seperti budak-budak yang boleh ditakut-takutkan.
Beliau menakutkan orang Melayu kepada Islam dengan mengaitkan Islam dengan keganasan, dengan harapan orang Melayu menolak Islam dalam kehidupan mereka yang menyeluruh. Umno akan berarak ke seluruh negara untuk kononnya menjelaskan peristiwa Sauk kepada rakyat.
Apakah mereka tidak mahu menunggu kertas putih yang di katakan sedang disiapkan oleh Jawatankuasa Penyiasat yang baru ditubuhkan?
Apakah mereka mahu mendahului Parlimen yang akan membahaskan Kertas Putih itu terlebih dahulu? Apakah sebenarnya Umno lebih mengetahui peristiwa ini daripada pihak berkuasa yang lain? Inilah persoalan yang bermain di kepala rakyat.
Saya menyeru kepada ahli dan pengokong PAS dan Barisan Alternatif supaya bertenang dan bersifat terbuka.
Janganlah ada di antara kita yang termakan hasuatan Umno dan melakukan pekara-pekara yang akan mengeruhkan lagi suasana dan memberi modal kepada Umno.
Ini adalah jerat mereka. Kita akan terus menuntut supaya pihak berkuasa memberikan penjelasan sebenar mengenai peristiwa dan menjawap semua soalan yang bermain di dalam pemikiran rakyat.
Semua peringkat parti hendaklah melakukan sembahyang hajat bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT serta memohon Allah menunjukkan kebenaran kepada kita.
Teruskan usaha kita mendakwahkan Islam melalui program penerangan yang tersusun.
PAS akan mendapatkan perintah mahkamah seberapa segera bagi menghalang mana-mana pihak daripada cuba meracuni pemikiran rakyat untuk menbenci PAS dan mengaitkan PAS dengan peristiwa Sauk.
Biarlah ini menjadi pengajaran kepada rakyat erti perpaduan dan keamanan serta pemerintahan yang baik.
Dato' Fadzil Mohd Nor
22 Julai 2000